30 April 2011

~Bab 1~


KAWASAN di sekitar Kedai Buku berjenama Hasani nampak tenang. Buku-buku tersusun rapi mengikut bahagian masing-masing di atas rak. Termasuk alat tulis dan peralatan-peralatan lain yang turut dijual di situ. Kelihatan pelanggan-pelanggan yang hanya boleh dikira dengan jari yang berada di situ. Membelek-belek buku yang berkenan di hati.
Riana sejak dari tadi sedang meliar mencari buku di suatu sudut bahagian buku ilmiah. Telefon bimbit yang dipegang di tangan diintainya sebentar. Memandang ke arah aplikasi nota yang tertulis tajuk buku yang ingin dibeli. “Buku rujukan Sejarah, Ekonomi.. Tingkatan Lima dan Empat. Hah! dah jumpa!” Riana tersenyum sendiri sambil tangan mengambil kedua-dua buku itu dan diamatinya lama. Takut tersalah subjek.
Pada masa yang sama, Khairul sedang berada di hadapan rak buku yang tersusun buku yang ingin dicari. “Buku Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris Form Two.” bisik hati Khairul sendirian sambil melihat nota yang ditulis di atas sehelai kertas di tangannya itu.
        Hampir 10 minit berada di kawasan itu, masing-masing mula melangkah ke kaunter pembayaran dengan buku yang ingin dibeli. Kelihatan seorang gadis belasan tahun sedang asyik menyusun buku di satu sudut bersama rakan kerjanya. Bibirnya mula tersenyum apabila memandang ke arah Riana dan Khairul yang telah sama-sama berada di kaunter pembayaran. Cuma bezanya Riana berada di hadapan Khairul. Buku di tangan mereka itu sama-sama diletakkan di atas meja kaunter. Anak mata kedua-duanya saling berpandangan. Cuma seketika. Khairul tersenyum manis buat Riana turut sama membalas senyuman sesaat itu.
            “Berapa adik?” tanya Riana setelah pandang penuh ke arah gadis tadi yang sedang menekan mesin kira sambil mengesan kod bar yang ada pada buku dengan alat pengesan kod. Tangan sempat membawa keluar dompet duitnya dari beg tangan yang digalas di bahu kanan.
            “RM 25.90 aje kak.” jawab gadis itu sopan setelah memasukkan buku tersebut ke dalam beg plastik.
            Riana tersenyum faham lalu menghulurkan duit sekeping RM 50.00 yang dipegangnya sambil menarik beg plastik yang terkandung buku rujukan adiknya itu.
            Gadis kaunter itu menekan kembali mesin kira dan memberikan wang baki berserta resit kepada Riana. “Terima kasih kak.” ucap gadis itu tersenyum manis. Riana lantas membalas ucapan tersebut dan beredar dari situ.
            “Err. berapa adik?” Khairul pula menyoal gadis kaunter itu setelah melihat Riana beredar dari situ. Tidak sedar dia sejak dari tadi hanya memberi perhatian kepada tingkah laku wanita di hadapan barisannya itu sahaja.
Gadis kaunter itu kembali melakukan tugasnya semula dengan cekap. “Ermm.. RM 35.90 ya bang.” kata gadis itu setelah selesai menekan mesin kira.
            Khairul turut melakukan perkara yang sama seperti lagak wanita yang dipandangnya tadi. Setelah selesai membuat pembayaran, Khairul cuba melihat semula nota pesanan yang ditulis adiknya itu agar buku yang dipesan tidak tersalah beli. Tidak sampai seminit dia memeriksa semula buku yang dibeli, riak wajahnya mula berubah serta-merta. Tidak jadi keluar dari kedai itu walaupun langkah kakinya hamper beberapa tapak ke arah pintu kedai. “Adik, tadi abang rasa abang bagi kat adik bukan dua buku subjek ni la. Tapi buku subjek Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris, Form Two.” Khairul menunjukkan buku tersebut kepada gadis di kaunter pembayaran itu semula sebagai bukti. Kerutan dahi kehairanan jelas kelihatan di wajahnya.
“Ya ke bang? Kejap saya check balik, ya?” Gadis itu segera melihat ke arah resit dan buku yang dihalakan ke arahnya dengan penuh teliti. Dia menekan mesin kiranya semula dan meneliti setiap data yang terdapat di situ satu persatu. Riak wajahnya turut sama berubah. Jadi serba salah.  “Alamak.. sorry abang, saya rasa saya dah tersalah bagi pada…”

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

RIANA berjalan perlahan ingin menuju ke arah kereta kesayangannya yang berada di hadapan mata. Perodua Kelisa, kereta yang menjadi peneman hidupnya sebulan sebelum dia mula masuk ke dalam bidang perkerjaannya kini. Beg plastik yang dibawa keluar sebentar tadi setia di tangan. Sejuk pagi mula terasa apabila angin yang bertiup perlahan menyapa kulit. Kawasan tempat letak kereta di situ nampak tenang daripada manusia yang menghuni bumi. Mungkin sedang sibuk mengejar destinasi kerja masing-masing. Namun, kakinya mula bergerak perlahan apabila kedengaran sayup-sayup suara seseorang yang cuba mengejarnya dari arah belakang. Riana cuba untuk menoleh ke belakang tetapi fikirannya lantas menyuruhnya berlari pantas mendapatkan kereta yang semakin hampir dengannya itu.
            “Cik.. cik.. Tunggu dulu!” Suara seorang lelaki lagak memanggil-memanggil dirinya ditangkap sayup. Riana kalih pandang ke kiri dan kanan. Pandang belakang sekejap. Dia pasti suara itu adalah milik lelaki yang dijumpai di dalam kedai buku itu tadi. “Isy.. apa mamat tu nak? Dah la tadi senyum-senyum kat aku. Kenapa dia ikut aku pulak ni? Isy.. entah-entah, dia nak rompak aku! Alamak! habislah aku. Kena cepat ni.” detus hati Riana cemas setelah terpandang lagak lelaki yang berada di kedai buku tadi kelihatan sedang cuba pula berlari ke arahnya.
            Riana segera meraba-raba dalam beg tangannya mencari kunci kereta. Kunci dipegang dan ditarik keluar. Lantas masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Terketar-ketar tangannya memegang stereng. Jantung pula berdegup kencang. Keretanya lantas dipandu laju keluar dari tapak letak kereta itu. Meninggalkan lelaki yang kelihatan sedang melambai-lambai ke arahnya itu dengan kadar segera.
            “Ya Allah. Kenapalah dia lari? Aku cuma nak bagi balik buku dia ni aje..” keluh Khairul sendirian. Menggelengkan kepala dua tiga kali. Tidak faham. Sebelah tangannya memegang pinggang manakala sebelah lagi setia memegang beg plastik buku. Nafas pula dilepas pantas. Tercunggap-cunggap. Dia kepenatan. Hanya mampu memandang kereta wanita itu keluar dari tapak letak kereta.
            “Fuhh.. nasib baik.. nasib baik kau Riana!” ngomel Riana sendiri sambil mengintai-intai ke arah cermin pandang belakang keretanya. Lega melihat lelaki misteri itu telah jauh ditinggalkannya. Tangan membetulkan sedikit tudung bawal yang dipakai. Nafas pula masih tercungap-cungap dek berlari-lari anak tadi. Tidak dapat membayangkan sekiranya dia tidak sempat berlari sebentar tadi. Pasti menjadi salah satu berita keesokkan harinya. Fikirnya jauh.
Riana geleng kepala beberapa kali. Radio di kereta dibunyikan pula. Lagu Melayu berkumandang jelas. Membuang jauh fikirannya dari pagi yang sedikit cemas sebentar tadi itu. Kereta terus sahaja dipandu ke Syarikat Gema Holding, syarikat tempat kerjanya.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“ASSALAMUALAIKUM, selamat pagi Kak Syida.” Salam pagi diberi kepada wanita yang sedang leka menulis sesuatu di atas kertas, Nur Syahidah Malik atau lebih senang disapa dengan nama ‘Kak Syida’ oleh pekerja-pekerja di dalam syarikat itu. Riana melintasi hadapan meja kerjanya pantas. Lagak seekor lipas!
            “Waalaikumusalam, selamat pagi. Err.. Riana?” panggil Kak Syida hairan sambil bangun dan mengikuti langkah laju Riana ke meja kerjanya yang tidak jauh dari mejanya.
Yup?” balas Riana sedikit kelam kabut. Sekilas memandang Kak Syida yang suka memakai selendang itu.
“Kenapa ni? Akak tengok Riana macam kena kejar dek anjing aje ni?” tanya Kak Syida ingin tahu. Wajah Riana yang sedikit pucat jelas di matanya.
            Riana meletakkan briefcase berwarna coklat kepunyaannya ke atas meja. Kerusi ditarik lalu duduk serta-merta. Tangan membetulkan tudung bawal yang dipakainya seketika. Nafas pula ditarik perlahan-lahan. “Bukan anjing Kak Syida, tapi penjaga anjing. Kak Syida nak tau tak? tadi Riana singgah la Kedai Buku Hasani kejap, beli buku rujukan untuk Riz. Tiba-tiba pulak Riana kena kejar dengan mamat yang beli buku kat kedai tu jugak. Riana pun apa lagi Kak Syida, lari nak selamatkan diri la. Nasib baik Riana sempat lari. Kalau tak, tak tau la Kak Syida apa nak jadi tadi.” geleng Riana dengan nada sedikit cemas. Menjelaskan situasi menakutkan tadi satu persatu.
Kak Syida yang setia mendengar terkejut besar. “Ya ke? Alhamdulilah.. Riana selamat. Tu la, lain kali nak pergi mana-mana tu.. hati-hati sikit. Ajak teman, ajak Kak Syida ke.. Ni tak, nak jugak pergi sorang-sorang. Sekarang ini kan banyak kes.” nasihat Kak Syida prihatin. Walaupun perkenalan mereka hampir mencecah dua tahun sejak Riana mula bekerja di syarikat itu sebagai Kerani Am namun ikatan antara mereka berdua agak rapat seperti kakak dan adik, mungkin bezanya tidak tinggal sebumbung di rumah.
            Riana mengangguk tersenyum faham. “Sorry la Kak Syida. Riana tak tahu pulak nak jadi macam ni. Okey la Kak Syida, kita tutup la cerita tu. Riana tak nak ingat dah. Riana nak kena siapkan kerja yang semalam tu. Oh ya Kak Syida, Encik Hairie dah masuk office?” tanya Riana. Sekilas mengintai ke arah pintu bilik pejabat tuannya yang lebih kurang beberapa meter dari tempatnya sahaja itu.
            “Belum lagi. Encik Hairie masuk office lewat sikit hari ini, ada persidangan di Syarikat Delima. Err.. Oh ya.. kalau kertas kerja Riana yang semalam tu dah siap, Riana letak je kat atas meja dia tu macam biasa, okey?” pesan Kak Syida lagak ambil berat.
            “Hmm.. okey la Kak Syida, nanti Riana hantar. Nak buat double check kejap. Kak Syida, Thanks..” ucap Riana sempat mengenyitkan sebelah matanya pada wanita itu sambil menarik keluar fail yang perlu disiapkannya segera.
            Kak Syida hanya tersenyum mengangguk faham dan berjalan menuju ke mejanya semula yang terletak berdekatan dengan pintu bilik Pengurus Besar Syarikat Gema Holding, Hairie Azmin Datuk Haikal. Kak Syida bertindak sebagai setiausahanya.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“SUZY, bos dah masuk bilik?” tanya Johan manja sambil memusing-musing pen yang terletak di atas meja Suzy, setiausaha Pengurus Besar Syarikat Suria Trading, Khairul Faiz Datuk Kamil atau lebih dikenali dengan nama Faiz daripada nama Khairul.
Johan Johari, lelaki yang agak berbadan besar sedikit dan bercermin mata. Suka mengusik tatkala dirinya dihimpit rasa bosan. Dia juga merupakan kawan karib Khairul sejak di bangku sekolah menengah lagi dan telah lama bekerja di Syarikat Suria Trading yang hampir 25 tahun dibangunkan oleh Datuk Kamil Jamaludin, ayahnya Khairul. Kini dia sedia berkhidmat pula dengan Khairul yang memegang jawatan selaku pengurus besar di situ setelah ayah kawannya itu pergi mengadap Ilahi hampir dua tahun yang lalu.
          “Kau ni Jo, kata member rapat Encik Faiz. Tak kan Encik Faiz ada ke tak ada dalam bilik tu, tak perasan kut.” balas Suzy sambil menarik pen yang berada di tangan Johan. Dia berjaya!
            Johan tersenyum seketika. “Macam mana I nak perasan Suzy? Asyik you je I tenung tiap-tiap hari.” Johan cuba mengusik. Bersuara manja.
            “Isy.. Encik Faiz ada la kat dalam tu..” balas Suzy yang lagak malas melayan kerenah Johan yang terkenal dengan sifatnya yang suka mengusik itu.
            “Okey sayang.. Nanti kita lunch sama-sama, okey? I masuk dalam dulu, ya? Bye sayang..” Johan melambai nakal sebelum memulas tombol pintu bilik di hadapannya itu.
            “Isy.. pergi la masuk. Gatal!” jegil Suzy tarik muka. Sempat mencebir bibirnya ke arah Johan. Geram.
            Johan hanya tersenyum sendiri kerana lagak berjaya membuat Suzy terusik. Dia segera melangkah masuk ke dalam bilik pejabat Khairul lagak sesuka hati. Tanpa mengetuk pintu. “Hello my big boss, how are you today, haa?” sapa Johan bersahaja memandang Khairul yang sedang lagak leka memandang fail di atas mejanya.
            Khairul yang sedikit terkejut dengan aksi terjah Johan itu mendongak kepala. Dia memandang ke arah Johan dengan wajah serius. Riak sedikit geram bila disapa begitu. “Hey bro! Berapa kali aku nak cakap, hah? Lain kali before masuk bilik aku ni, ketuk la pintu tu dulu. Ni tak, serbu masuk ikut suka hati kau aje, ya? Polis nak serbu masuk rumah penjenayah pun, ketuk pintu dulu tahu tak?” tegur Khairul lagak serius. Mata dijegil saja.
            “Ya la ya la. Sorry bos.” tabik Johan sambil berlalu keluar semula. Bibir tersengih lagak kerang busuk mendengar leteran panjang lebar Khairul itu.
            Suzy sempat menjeling. Melihat lagak Johan yang keluar sambil menutup pintu bilik majikannya itu. “Padan muka! Kan dah kena.” luah Suzy tersenyum ceria. Tidak sabar menantikan saat itu sejak dari tadi lagi. Tunggu bilang pakai jari saja.
            Johan tarik muka. Masam. Sempat jegil mata ke arah rakan sekerjanya itu. Dia segera mengetuk pintu yang berada di hadapannya itu. Dua kali.
“Masuk!” panggil Khairul dari dalam buat Johan memulas kembali tombol pintu lelaki itu. Kembali melangkah masuk. “Haa.. macam ini la baru macam bos dengan pekerja. Baru gua respect sama lu bro..” usik Khairul tersenyum geleng kepala melihat telatah kawannya itu. Dia kembali memandang failnya. Menyambung kerja.
            “Ermm.. ya la tu.. Kau busy ke?” tanya Johan sambil melangkah menuju ke meja Khairul semula. Mata memerhati tingkah laku lelaki itu.
            “Eh! tak ada la. Aku tengah rileks ni, tak nampak ke?” perli Khairul dengan nada serius. Mendepakan tangannya seketika.
            Johan tarik muka. “Hey.. kau ni. Aku tanya elok-elok, main-main pulak dia. Eh! ini apa ni?” Johan membelek-belek pula beg plastik yang ada di atas meja Khairul. Sekadar ingin tahu.
           “Buku rujukan adik aku.” Khairul kembali memandang fail kerjanya setelah pandang sebentar lagak Johan itu. Tangannya kembali ligat menulis. Begitulah perangai biasanya bila berada di dalam bilik pejabat, selalu khusyuk dengan kerja, kerja dan kerja.
            “Oh.. Eh! adik kau tak silap aku Form Two, kan? Ini buku Form Four and Five, cepatnya adik kau membesar.” Johan hairan sambil meneliti tajuk yang tertulis pada kedua-dua buku rujukan yang dipegang di tangannya itu. Seingatnya baru tahun lepas dia berjumpa dengan adik perempuan Khairul itu. Semasa di majlis kenduri tahlil arwah Datuk Kamil.
            “Isy.. kau ni Jo, ada ke macam tu.. Tadi aku tersalah ambik la. Tertukar dengan seorang perempuan.” kata Khairul yang kini kembali memandang Johan. Sempat geleng kepala dengan kata-kata tidak masuk akal sahabatnya itu.
            “Perempuan? Cantik tak dia?” Johan tersenyum tiba-tiba lalu melabuhkan pinggulnya di atas kerusi di hadapan meja Khairul. Tanpa dipinta. Menanti Khairul membalas kata.
            Khairul geleng kepala lagi sekali. “Haa.. ini la lelaki. Kalau sebut perempuan je, pasti tanya cantik, tak pun lawa.”
            “Nak buat macam mana bro, dah nama kita pun lelaki. Cepat la cakap kat aku Faiz, cantik tak perempuan yang tertukar buku dengan kau tadi tu?” soal Johan lagi lagak tidak ambil peduli dengan kata-kata Khairul itu. Dia hanya ingin tahu.
            Khairul lagak terdiam seketika, “Ermm.. boleh tahan la. Aku cuba nak kejar dia tadi, tapi dia lari laju pulak..” terang Khairul. Masih pelik dengan kejadian pagi tadi itu. Cuba meneka sendiri puncanya. Johan yang tadi lagak penasaran tiba-tiba ketawa besar pula. Khairul jadi hairan dengan kelakuan mendadak lelaki itu. Lagak kurang siuman pun ada. “Kau ni dah kenapa ketawa tiba-tiba ni? Kena sampuk ke apa?”
            “Itu la aku dah banyak kali kata, kau tu la masalahnya, Faiz. Senyum susah, muka tu.. tengok muka tu, asyik masam aje. Macam mana perempuan tak takut tengok kau. Lain la macam aku ni haa. Senyuman aku, boleh buat semua perempuan tengok cair tau?” lagak Johan memuji - muji dirinya. Sempat menunding jari ke arah muka Khairul yang lagak makin kehairanan itu.
            “Ya la tu Mister Casanova Malaysia. Eh! kau ni, kerja dah tak ada ke? Sampai sempat lagi menyinggah masuk ke dalam bilik aku awal pagi macam ni. Pergi la buat kerja kau tu. Nanti pekerja-pekerja lain ingat aku ni pilih kasih pulak. Aku tahulah kau tu member baik aku, but this is company Jo.. bussiness lain personal lain. You know right?” Jelas Khairul panjang lebar lagi. Tidak mahu disangka buruk atau dilabel sebagai majikan yang bersikap pilih kasih oleh pekerja-pekerjanya nanti.
            Johan berhenti ketawa. Geleng kepala sebentar. “I know la bro. Aku cuma nak cakap, tadi Encik Halim ada call aku. Dia ada kata around 80% chances Projek Mega Tiga bakal jatuh ke tangan syarikat kita.” Johan segera bercerita tentang niatnya sebenar masuk ke dalam bilik pejabat Khairul. Hampir terlupa dia soal itu.
            “Serius? Ya ke ni, Jo? Alhamdulilah.. ini berita baik ni.” Khairul tersenyum riang. Tidak sia-sia usahanya bersama Johan selama berbulan-bulan ini jika projek bernilai jutaan ringgit itu menjadi milik syarikatnya. “Err.. bila kita bakal bersidang lagi?”
            “Ermm.. maybe dua minggu lagi kut. Nanti kalau aku dapat call, aku inform kat kau, ya? Okey la bro. Itu aje aku nak inform kat kau ni. Aku keluar dulu. Macam biasa, jumpa time lunch nanti, okey?” kata Johan sambil bangun dan melangkah keluar dari bilik itu. Gelagatnya itu hanya diperhatikan oleh Khairul yang masih tersenyum senang hati menerima khabar berita itu. Bersyukur di hati pasti ada.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

DUM..! Fail dihempas kuat ke atas meja. Riak wajah Hairie yang memandang Megat berubah serta-merta. Tahi leher yang membaluti lehernya dilonggar kasar seolah-olah terasa panas. Panas dengan berita yang disampaikan oleh penolong kanan yang sedang berdiri di hadapannya itu. “Damn it! Macam mana mereka boleh kata company tu ada chance untuk dapat Projek Mega Tiga tu, hah?!” tanya Hairie sambil anak matanya memandang tajam Megat yang sedang berdiri teguh di hadapan mejanya. Peranan Megat lebih daripada seorang sahabat kepada Hairie, yang sentiasa menyokong dan membantunya dalam kebanyakkan hal terutamanya urusan berkaitan dengan Syarikat Gema Holding sejak dari awal lagi  di bawah pucuk pimpinannya.
            “Entah la Hairie, ada la sumber kata proposal yang dia orang hantar hari itu lebih baik daripada syarikat kita ni.” terang Megat serius. Nada lambat-lambat.
            “Tak mungkin! Apa kurangnya proposal aku, hah!? Siang malam aku bercengkang mata semata-mata nak siapkan proposal tu, last last bakal kena reject pulak.” balas Hairie lagak makin tidak puas hati.
            “Rileks Hairie, so far itu just prediction dia orang aje. Belum tentu lagi projek tu jatuh ke tangan syarikat dia orang, kan? Pasti ada cara untuk kita dapatkan projek tu lagi.” Megat masih cuba ingin memujuk walaupun dia tahu kawan di hadapannya itu jenis yang sukar dipujuk. Lebih-lebih lagi jika hal melibatkan soal perniagaan.
            “Ada cara? Okey Megat! You tell me right now, apa caranya hah?” tanya Hairie sambil duduk. Mata memandang tepat Megat. Menanti cadangan.
            “Ermm.. buat masa ni, aku kena fikir dulu la.” balas Megat perlahan. Kepala tertunduk. Sempat menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Seakan rasa menyesal pula menyebut perkataan itu tadi.
            “Fikir dulu? Eh! Megat, lagi tiga bulan keputusan Projek Mega Tiga tu nak bertukar milik tau. Tak kan kita kena fikir lagi kut.” Hairie masih tidak puas hati dengan kata-kata Megat itu. Sempat mengangkat tiga jarinya lagak menayangkan bertapa singkatnya masa yang mereka ada untuk mendapatkan projek itu.
 Mereka berdua diam sebentar. Masing-masing dengan lagak tersendiri. Memikirkan cara dan strategi.
            “Err.. macam ni la Hairie, aku rasa aku ada idea. Tapi entah la okey ke tak idea aku ni nanti.” kata Megat sambil duduk di kerusi di hadapan meja Hairie itu. Bernada makin serius.
            “Okey. Apa dia? Cakap la..” balas Hairie pantas. Ingin benar tahu.
            “Okey macam ni…” Megat sambung bicara. Hairie hanya mendengar penuh teliti idea Megat itu. Sesekali kepalanya diangguk. Projek Mega Tiga, Syarikat Delima perlu berada di dalam genggaman tangan syarikatnya kerana dengan projek yang bernilai hampir lima juta itu sahajalah, dia dapat buktikan kepada ayahnya iaitu Datuk Haikal yang dia mampu berjaya dan memberi keuntungan yang lumayan kepada syarikat walaupun sebelum ini dia pernah gagal untuk berbuat demikian. Tidak mahu lagi sejarah lama berulang kembali.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

RIANA memberhentikan kereta berdekatan dengan pondok menunggu di hadapan sekolah. Kelihatan Rizman yang berpakaian sekolah lengkap melangkah menuju ke arah keretanya. Beg galas dibawa masuk bersama. “Kak, macam mana? Dah beli buku yang Riz minta tu?” tanya Rizman sambil memakai tali pinggang keledar. Tersenyum pandang wajah kakaknya itu.
Rizman Akmar, adik kepada Riana yang masih bersekolah di Tingkatan Lima. Dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang hanya tinggal lebih kurang lima bulan sahaja lagi.
            “Dah. Ada kat seat belakang tu..” balas Riana tersenyum faham sambil memuncungkan mulut ke arah belakang tempat duduk kereta. Dia cuba memandu keluar dari bahagian tepi jalan sambil matanya memerhati cermin sisi. Memerhati kenderaan yang datang dari arah belakang.
             Rizman segera mengalihkan lehernya pandang ke belakang tempat duduk. Tangan segera dihulur panjang untuk mengambil beg plastik yang terdapat logo Hasani pada bungkusannya. “Kak, ni buku apa kak?”
Pertanyaan Rizman buat Riana memberhentikan niatnya itu. Segera kalih pandang adiknya itu semula. Hairan. “Buku apa? Buku yang Riz minta tu la.” jawab Riana pantas. Tidak faham kenapa dia disoal begitu pula. Sedangkan buku yang dibeli adalah berdasarkan nota yang ditaip sendiri oleh Rizman. Malah nota itu masih disimpan baik di aplikasi telefon bimbitnya.
            “Ya la buku yang Riz minta, tapi bukan subjek Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris ni. Form Two pulak tu, akak silap beli erk?” teka Rizman sambil membelek-belek buku di tangannya itu. Dihala sebentar ke arah Riana yang hanya mendengar penuh teliti.
            “Huh? Silap beli? Eh! tak mungkin la. Kejap!” Riana segera mengambil beg plastik yang dipegang Rizman. Lagak tidak puas hati bila dituduh sebegitu. Matanya mula meneliti kedua-dua buku rujukan itu. Dipandang sekilas adiknya itu. “Akak rasa akak beli buku Sejarah dengan Ekonomi la tadi. Macam mana boleh silap pulak ni?” Riana bertanya sendiri sambil membelek-belek buku itu pula. Depan dan belakang. Memang silap. Aneh bin Ajaib!
            “Ala akak.. Ini yang tak best ni, macam mana ni? Esok Riz nak pakai dua-dua buku tu, dah la cikgu Riz tu garang macam harimau..” rengek Rizman minta Riana selesaikan perkara itu dengan segera. Lagak tidak mahu tangguh lagi.
            “Macam mana aku boleh silap beli pulak ni? Tadi kan aku..” detus hati Riana. Fikirannya melayang sebentar. Dia teringat kembali akan lelaki yang cuba mengejarnya pagi tadi itu. “La.. patut la..” keluh Riana setelah memahami situasi yang sebenar. Sempat mengangguk kepala. Sekali.
            “Patut la? Patut la apa, kak?” Rizman jadi aneh pula melihat gelagat kakaknya itu. Sungguh aneh!
            Riana jadi terpinga-pinga seketika. Tersenyum kelat ke arah Rizman. “Ermm.. tak ada apa. Macam ni la, kita pergi kedai tu balik la, ya? Rasanya masih sempat lagi ni.” kata Riana sambil memandang ke arah dashboard keretanya. Memerhati masa. Dia segera memandu keretanya ke Kedai Buku Hasani itu semula.
            Riana menarik nafas lega seketika bila melihat di kaunter pembayaran itu masih berdirinya gadis pagi tadi yang ditemui semasa membuat bayaran buku yang dibeli. “Assalamulaikum adik. Maaf ya, pagi tadi akak ada beli buku ni tapi..” Belum sempat Riana meneruskan kata-katanya sambil ingin cuba menunjukkan buku dan resit yang dikeluarkan dari beg plastik di tangan, gadis itu pantas mencelah sambil menghulurkan sekeping kertas yang berlipat dua muka kepada Riana.
            “Oh ya kak. Maaf la kak, tadi pagi adik tersilap bagi buku dan ni ada nota dari lelaki yang tertukar buku dengan akak pagi tadi tu. Dia tulis, suruh adik bagi kat akak.”
            “Oh. Okey. Terima kasih ya, dik?” ucap Riana mengangguk mengerti. Segera membaca nota yang dicapai di tangannya itu sambil berjalan menuju ke pintu kedai itu.

Please call  me. Thank You.  
Khairul Faiz
            0174539367

            Rizman memandang tingkah laku Riana dari dalam kereta. “Kak, macam mana?” Rizman menyoal pantas bila Riana masuk ke dalam perut kereta semula.
“Ermm.. kejap!” balas Riana sambil meragut telefon bimbit di bekas dalam keretanya itu. Wajah tidak sabar Rizman itu tidak dipandangnya langsung.
            “Akak nak telefon siapa pulak ni?” Rizman hairan. Memerhati lagak kakaknya itu yang masih fokus pada kertas di tangan.
            Riana pantas menunjukkan muka tapak tangan kirinya kepada Rizman. Tanda minta dia mendiamkan diri sebentar. Buat Rizman tarik muka lagi. Soalannya masih tiada jawapan. “Assalamulaikum.. Boleh saya bercakap dengan Encik Khairul Faiz?” soal Riana satu persatu apabila taliannya bersambung. Matanya masih memandang kertas yang tercatat tulisan tangan lelaki yang tertukar buku dengannya itu.
“Waalaikumusalam.. Ya saya.. Ermm.. cik ni?” soal Khairul pula ingin tahu. Suara sedikit kaget.
            “Saya Riana Akma, orang yang tertukar buku dengan Encik Khairul pagi tadi tu.” balas Riana sopan.
            “Riana Akma? Ermm.. oh ya..  yang pagi tadi tu.. Err.. pagi tadi saya cuba kejar Cik Riana, ingat nak tukar buku tu balik tapi Cik Riana nampak macam nak cepat aje. Err.. so sekarang, macam mana saya nak hantar buku ni pada Cik Riana balik, ya?”
            “Ermm.. macam ini la Encik Khairul Faiz, ya? adik saya memang nak sangat pakai buku tu esok. Jadi kalau Encik Khairul tak sibuk sekarang ni, kita jumpa kat mana-mana kedai makan ke? Boleh kita tukar balik buku tu, kan? Macam mana?” Riana cuba memberi cadangan. Sesekali dia memandang Rizman yang masih lagak memerhati tingkah lakunya itu.
            Okay. Thats a good idea. Lagi pun saya memang tengah free ni. Ermm.. apa kata kalau kita jumpa di Marrybrown, dekat Jalan Soga tu?” Khairul membalas dengan lagaknya walaupun setiap masa jadual kerjanya pasti padat dan penuh. Tiada ruang langsung untuk diisi sebagai  ‘masa terluang’.
            “Marrybrown? Ya saya tahu tempat tu. Okey. Kalau macam tu, nanti kita jumpa kat sana aje la, ya?”
            “Okay. I on my way.” balas Khairul bernada riang. Talian dimatikan. “Riana Akma? Hmm.. sedap!” luah Khairul tersenyum mesra dan sempat mengangguk beberapa kali. Dia segera menutup fail-fail yang terbuka luas di hadapannya. Beg plastik buku yang masih ada di atas mejanya ditarik pantas. Kaki menapak keluar. “Suzy, batalkan semua appointment saya hari ini. Saya ada hal sikit.” arah Khairul serius setelah singgah sebentar di meja kerja Suzy.
            “Baik Encik Faiz.” angguk Suzy faham.
            Khairul seakan ingin menapak pergi dari situ namun kembali memandang setiausahanya itu semula. “Oh ya.. lagi satu, Suzy. Awak tolong beritahu Encik Johan yang saya tak dapat keluar lunch dengan dia hari ini, ya?” pesan Khairul sebelum dia terlupa soal itu. Takut Johan nanti tercari-cari dirinya.
            “Baik Encik Faiz. Nanti saya sampaikan, ya?” angguk Suzy tersenyum faham.
            “Okay. Thanks.” Senyum balas Khairul meneruskan langkahnya keluar dari syarikat itu. Lagak memang tidak sabar benar!

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

RIANA dan Rizman menanti ketibaan Khairul di Marrybrown seperti yang dijanjikan sambil menikmati minuman mereka. Suasana di situ kelihatan tenang. Tidak seperti hujung minggu, sedikit sesak dengan pelanggan yang kebanyakkannya terdiri daripada ahli keluarga.
            “Kak, Riz nak pergi tandas kejap la.” kata Rizman selepas beberapa minit mereka menghirup air minuman yang dipesan. Dia masih berpakaian sekolahnya. Lagak seakan tidak selesa kerana dia jarang keluar dengan berpakaian sebegitu.
            “Okey. Cepat sikit tau, jangan lama-lama. Akak lepas jumpa orang tu nak terus balik. Tak nak singgah mana-mana dah.” pesan Riana bernada serius. Lagak tidak sabar menanti ketibaan lelaki yang tertukar buku dengannya itu.
            “Ya. Riz tahu la kak.” angguk Rizman faham. Geleng sebentar melihat tingkah laku kakaknya itu. Lagak seperti cacing kepanasan!
            Riana hanya memandang Rizman menghilangkan diri di sebalik orang ramai yang lalu-lalang di situ. Dia terus menanti sambil bermain aplikasi permainan di telefon bimbitnya. Lama tidak dipegang dek kerana terlalu sibuk dengan kerjanya sebelum ini.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“ASSALAMUALAIKUM.. Cik Riana Akma, kan?” sapa Khairul apabila melihat wanita misteri pagi tadi seakan menanti ketibaannya.
            “Waalaikumusalam. Ya saya. Jemput la duduk Encik Khairul Faiz.” angguk Riana tersenyum manis. Wajah Khairul yang agak tampan itu diamatinya seketika.
            “Ya terima kasih. Ermm.. panggil saya Khairul aje, Cik Riana. Tak payah la berencik-encik dengan  saya, ya?”
            “Okey. Kalau macam tu.. awak pun kena la panggil saya Riana. Tak ada cik cik.” Riana membalas kembali. Cuba untuk bergurau senda.
            “Okay. No problem. Oh ya, ini buku awak.” senyum Khairul sambil menghulurkan beg plastik buku yang dibawa bersama kepada Riana. Dia duduk berhadapan dengan wanita itu.
            Riana segera mengambil beg plastik buku itu. “Err.. terima kasih. Dan ini pula buku awak.” Riana pula memberikan beg plastik buku yang tertukar pagi tadi kepada Khairul. Kedua-dua beg plastik buku itu kembali ditukar dengan jayanya. “Jadi berapa ringgit yang saya kena tambah untuk buku saya ni, ya?” tanya Riana seakan ingin membuka dompet duit yang diletak di atas meja. Dia tahu melalui resit yang diterima tertulis harga buku rujukan adiknya itu lebih mahal daripada harga buku yang dibayarnya kepada tuan kedai. Memang tidak adil jika hanya buku sahaja yang ditukar tetapi tidak pada bayarannya.
            Kedua-dua tangan Khairul diangkat pantas. Mendepa ke arah Riana. “Eh! tak apa tak apa, anggap aje la yang saya belanja awak, ya?” geleng Khairul tersenyum manis. Pantas menolak kata-kata Riana itu.
            “Ermm.. jangan la macam tu. Saya kena bayar kat awak jugak ni sebab harga buku yang awak beli tu tak sama dengan buku yang saya beli ni.” kata Riana benar-benar serius. Sempat menunding jari ke arah kedua-dua beg plastik buku. Lagak membuat pembandingan.
            “Eh! Betul tak apa. Saya ikhlas ni.” geleng Khairul mendepakan tangannya sekali lagi. Lagak benar-benar ikhlas.
            “Tapi..” Riana masih ingin menolak. Tidak mahu terhutang budi.
            “Okey macam ni la.. Kalau awak masih nak bayar kat saya jugak.. Ermm.. apa kata kalau awak belanja saya lunch? Saya pun masih belum lunch lagi ni.” celah Khairul sambil memegang perutnya pula. Lagak sedang lapar.
Riana berfikir sejenak. “Okay. Deal! Ermm.. anyway, maaf la saya tak perasan pagi tadi masa awak kejar saya sebab time tu saya nak cepat sangat. Sorry again k.” Riana cuba bermain kata. Terasa sangat malu jika dia menceritakan tentang anggapan buruknya terhadap lelaki itu pagi tadi. Serius malu!
            “It’s okay. Saya faham.” Khairul mengangguk tersenyum. Matanya tertangkap pula kepada gelas minuman yang terletak bersebelahan dengan gelas minuman Riana. Masih penuh. “Err.. air siapa tu?” tanya Khairul sambil jarinya menunding ke arah gelas itu. Fikirannya ligat meneka.
            Riana kalih pandang sebentar ke arah itu. “Oh.. yang ini air adik saya, Rizman. Dia pergi washroom kejap tadi.” jelas Riana tersenyum manis.
            “Oh I see..” Khairul mengangguk tersenyum senang hati. Takut dia kalau tempat duduk di sebelah wanita itu kepunyaan teman lelaki atau tidak pun tunang yang dibawa datang bersama. Kalau tidak, melepas bro! Fikirnya nakal.
            Beberapa minit selepas mereka sambung berbual kosong sambil menghirup minuman yang dipesan, kelihatan Rizman memunculkan diri menghampiri ruangan meja mereka berdua.
“Haa.. inilah adik saya, Rizman Akmar. Ermm.. Riz, salam dengan Abang Khairul.” pinta Riana tersenyum memandang Rizman yang berdiri memerhati Khairul lagak tertanya-tanya.
            Rizman segera menghulurkan tangan dan bersalaman dengan Khairul sebelum dia duduk semula di tempatnya tadi.  Bersebelahan dengan tempat duduk Riana.
            “Ermm.. sekolah tingkatan berapa ni?” Khairul menyoal Rizman mesra. Mata memandang lagak anak muda yang berpakaian sekolah lengkap itu.
            “Tingkatan lima bang..” jawab Rizman pantas. Menunduk sopan.
            “Oh.. ambil SPM la tahun ni, ya?”
            “Ya..” angguk Rizman mengeyakan tekaan lelaki yang baru dikenalinya itu. Agak mudah mesra orangnya.
            “Ermm.. Khairul, awak kalau nak makan.. pergi la order makan. Nanti saya bayarkan, ya?” celah Riana mengingatkan Khairul tentang perkara itu. Risau jika lelaki itu lupa.
            “Eh! awak tak lunch sekali ke? Riz?” Khairul memandang kedua-dua orang di hadapannya itu. Lagak tertanya-tanya.
            “Tak apalah. Lepas ni kami nak terus balik rumah. Saya biasa masak kat rumah aje sebab saya kena masuk kerja balik lepas ni.” kata Riana benar. Setiap hari Rabu dan Khamis jadualnya ditetapkan lagak begitu. Tidak mahu membiarkan Rizman makan tengah hari di kedai makan berhampiran rumah mereka.
            “Eh! kenapa tak lunch sekali dengan saya aje? Tak best la kalau saya makan sorang-sorang, dengan hasil belanja awak pulak tu.” seloroh Khairul cuba mengusik lagi.
            “Ya la kak. Riz pun dah lapar sangat ni..” sampuk Rizman membuatkan mata Khairul dan Riana beralih ke arahnya pula.
“Riz..” Riana menjegil geram memandang tingkah laku adiknya itu. Seakan kurang sopan.
              “Haa.. tu kan? Jom Riz, teman abang order makan, ya? Nanti Kak Riana tolong bayarkan untuk kita berdua.” Khairul membalas kata buat Riana mati kata. Rizman yang lagak tertanya-tanya segera mengangguk tersenyum suka. Bangun bersama Khairul mendekati kaunter. Riana pula tersenyum malu. Terpaksa ikut serta bersarapan tengah hari di situ. Mereka sama-sama membuat pesanan. Meneruskan perbualan sambil menikmati sarapan tengah hari masing-masing. Di saat itu, terserlah keperibadian Riana yang mula sedikit demi sedikit menawan hati kecil Khairul tanpa dia sedar. Riana pula lagak senang dengan perwatakan lelaki yang baru dikenalinya hari ini itu. Cukup gentlemen!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~