30 April 2011

~Bab 2~

FAIZ, kau ni kenapa? Dua tiga hari ini aku tengok kau ni macam ada problem aje. Game tadi pun kau banyak buat silap. Masalah company kita tu ke?” tanya Johan hairan sambil mengelap peluh yang membasahi leher dengan tuala berwarna putih miliknya. Mereka berehat sebentar setelah penat bermain badminton bersama. Itulah hobi mereka berdua setiap petang setelah penat seharian bekerja. Itup   un jika mempunyai kelapangan masa.
            “Tak adalah. Aku teringat dekat satu perempuan ni la, Jo.” luah Khairul yang turut melakukan perkara yang sama. Nada Nama dia?” pantas Johan membalas. Lagak tidak sabar.
            Khairul tersenyum sebentar. “Riana Akma.” Nama itu disebut jelas di bibir Khairul. Seiring dengan rindu ingin menatap wajah wanita itu lagi.
            “Riana Akma? Hmm.. sedap nama tu. Kenapa dengan dia?” Johan mengangguk tersenyum seketika.  Air botol mineral yang dibawanya diteguk pula.
            “Aku rasa aku dah mula tertarik hati dengan dia la, Jo.” luah Khairul sambil membuang pandangannya kepada pemain-pemain lain yang masih kekal berada di dalam gelanggang badminton. Sedang asyik bermain dan sesekali tertawa gembira.
            “Oh I see.. Ini kira macam kau dah tangkap cintan dengan dia la ni, ya? Ermm.. apa susah.. Kau ajak la dia keluar, habis cerita.” Johan mencadang selamba. Seakan masalah itu mudah baginya. Terlalu mudah!
            Khairul tertawa seketika dengan cadangan pantas Johan itu. “Itulah masalahnya ni, nombor dia pun aku tak ada.”
Johan menggeleng lagak memerli. “Isy kau ni, Faiz. Kesian kesian. Kalau aku kat tempat kau la kan? aku tanya nombor phone dia dulu, before aku tanya nama dia tau? Tak ada la jadi macam kau ni sekarang, melepas..” kata Johan seakan memberi ceramah motivasi yang bertajuk ‘Cara Memikat Seorang Wanita’. Sebutan kata ‘melepas’ pun mendatar sahaja.
            “Ermm.. nombor aku, dia ada la.” kata Khairul tanpa dipinta. Melepaskan keluhannya seketika.
            “Eh! kejap. Dia pernah call kau?” tanya Johan dengan tiba-tiba memandang tepat Khairul. Sedikit pelik.
            “Pernah sekali, kenapa?” jawab Khairul mengangguk sekali. Jari telunjuk diangkat satu.
            Johan segera menghulurkan tangan kanannya. Lagak meminta. “Bak sini handphone kau, aku nak tengok.”
            “Eh! kau ni kenapa, Jo?” Khairul masih bertanya. Aneh dengan reaksi spontan Johan itu.
“Bagi aje la. Jangan cakap banyak.” pinta Johan bua           t Khairul tanpa banyak soal lagi lantas mengeluarkan telefon pintar dari poket beg alat raket yang dibawanya. Segera dihulurkan kepada Johan yang masih menanti itu.
            Tangan segera memegang telefon pintar Khairul. “Bila dia call kau?” tanya Johan lagi sambil tangannya ligat menyentuh butang-butang papan kekunci.
            “Minggu lepas, hari Khamis.” jawab Khairul bernada perlahan. Semua jawapan itu masih segar di mindanya.
            “Ermm.. hari Khamis, sama dengan empat hari bulan. Hah! dalam pukul dua petang, kan?” teka Johan sambil tersenyum manis. Mata memandang ke arah skrin telefon pintar Khairul. Meneka lagak seorang ahli sihir.
            Khairul berfikir seketika. “Eh! macam mana kau tau?” Khairul jadi hairan. Memang semua tekaan Johan itu benar!
            “Apa susah, cari balik la received call yang kau dapat tu.”
            Khairul berfikir sejenak. “Ya la. Tak terfikir pulak aku.” Khairul tersenyum sendiri. Tangan menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Tidak terlintas di fikirannya untuk berbuat begitu sebelum ini kerana asyik terfikirkan soal wanita itu.
            “So, tunggu apa lagi? Call la dia ajak keluar.” Johan memberi cadangan sambil memberikan semula telefon pintar itu kepada Khairul.
Khairul pula segera mengambilnya. “Isy.. gila kau! Mana tahu dia dah ada boyfriend ke.. Tak pun dia tu tunang orang, tak ke susah aku nanti.” Khairul membalas dengan riak wajah kaget. Tangan pula menyentuh butang ‘simpan’ nombor telefon itu dengan nama ‘Riana Akma’.
            “Apalah kau ni Faiz, apa la bengap sangat. Bukan aku suruh kau ajak keluar dating dengan dia terus. Ajak la dia keluar sebagai kawan, jadi la kawan dia dulu. Apa la kau ni Faiz.. Faiz..” geleng Johan tertawa kecil pula. Ternyata panjang sungguh alasan yang diberikan oleh kawannya itu.
            “Berani kau cakap kawan kau ni bengap, ya? Aku potong gaji kau nanti?” Khairul cuba mengugut. Lagak serius.
            Johan segera pandang tepat Khairul. Sepuluh jari dilekat bersama diangkat pantas. “Ala.. ini yang aku jadi lemah satu badan ni. Encik Khairul Faiz Datuk Kamil, saya minta maaf la sangat-sangat. Saya menarik balik kata-kata saya tadi tu, ya? Saya gurau aje tadi. Jangan potong ya, gaji saya yang tak seberapa tu? Kita kan kawan.” rayu Johan sambil menyusun sepuluh jarinya ke arah Khairul.  Lagak meraih simpati.
            Khairul tersenyum sinis sebentar. “Tahu pun takut. Dah la. Jom kita sambung main balik.” Khairul berdiri semula. Tangan kembali memegang raketnya yang diletak di atas meja. Malas melayan kerenah Johan yang makin lama makin menjadi itu lagi.
             “Okey. Kalau aku menang game ni, kau belanja aku makan, okey?” angguk Johan pantas. Tangan turut sama memegang raketnya. Jari sempat ditunding ke arah Khairul.
“Okey. Tak ada hal la. Lagi pun memang selama ni aku belanja kau makan pun, kan?”
Johan hanya tersengih lagak kerang busuk mendengar kata balas Khairul itu. Khairul jadi tersenyum geleng pula melihat telatah mencuit hati Johan itu. Lelaki itu sememangnya sahabat sejatinya. Segala masalah yang dihadapinya akan dikongsi bersama lelaki itu sejak perkenalan mereka lagi walaupun mereka berdua sering bertentangan pendapat. Khairul dan Johan melangkah masuk ke dalam gelanggang semula. Meneruskan permainan mereka yang terhenti sebentar tadi.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“NAK call ke, tak nak call ni? Kalau aku call dia, aku nak cakap apa? Nanti dia fikir aku ni orang yang bukan-bukan pulak. Isy..” Khairul bertanya sendiri. Badan masih lagi berbaring di atas katil empuknya dan mata pula memandang ke arah siling. Tangannya masih erat memegang telefon pintar yang terpapar nama ‘Riana Akma’ pada skrin. Hatinya kini tidak tenang. Semua benda pula jadi serba tak kena.
            “Apalah kau ni Faiz, apa la bengap sangat. Bukan aku suruh kau ajak keluar dating dengan dia terus. Ajak la dia keluar sebagai kawan, jadi la kawan dia dulu. Apa la kau ni Faiz.. Faiz..”
            Khairul teringat kembali kata-kata sindiran Johan kepadanya pada petang tadi itu. Seakan suara itu masih terngiang-ngiang di kedua-dua belah telinganya.
            “Hmm.. Aku call la. Betul jugak! Aku kena kawan dengan dia dulu, baru tahu!” Khairul pantas menyentuh butang ‘Call’ di skrin telefon pintarnya dan menanti panggilannya diangkat oleh wanita yang kini membikin hidupnya menjadi semakin tidak keruan itu.
            “Hello assalamualaikum.” Riana memberi salam pembuka bicara apabila talian bersambung.
Khairul pantas bangun duduk menegak di atas katil setelah suara wanita yang dinanti menyentuh gegendang telinganya. “Waalaikumusalam.. saya Khairul Faiz.”
“Ya Khairul. Saya tahu, saya ada save number awak. Ermm.. kenapa awak call ni?” tanya Riana lagak tersenyum sendiri.
            “Err.. Riana, kalau saya nak ajak awak keluar makan, boleh tak?” tanya Khairul nada perlahan.
“Keluar makan?” tanya Riana ulang kata.
“Ya. Esok kan hari Isnin.. Err.. actually, saya nak minta pendapat awak pasal something la. Itu pun kalau awak free la.” tambah Khairul. Kata diungkap satu persatu. Dia perlu menyusun strategi jika ingin wanita di dalam talian itu bertemu dengannya. Sekali lagi.
            “Hmm.. okey. Kita keluar lunch esok, macam mana?”
            “Okey. Saya setuju!” angguk Khairul pantas walaupun perbuatannya itu hanya disaksikan dinding biliknya.
            “Okey. Kalau macam tu, kita jumpa esok dalam pukul dua petang kat tempat biasa. Okey tak?” tanya Riana menginginkan persetujuan dengan cadangannya itu.
            “Okey okey. Saya okey!” kata Khairul berulang kali. Lagak benar-benar teruja.
            “Okay. See you tomorrow. Assalamualaikum. Bye.” balas Riana menutup bicara suaranya.
            “Okey. Waalaikumusalam. Bye.” balas Khairul pula. Suara mendatar.
Talian dimatikan. “Yes! Yes! Yes!” Khairul melompat riang. Sangkaan Riana mungkin menolak ajakannya pada mulanya ternyata meleset sama sekali. Entah kenapa perasaannya bertambah berbunga selepas mendengar tutur bicara wanita itu. Mungkin benar kata Johan. Dia perlu berkawan dahulu agar dia dapat mengenali hati budi wanita itu dengan lebih rapat lagi.
            Riana pula entah kenapa bibirnya lancang berkata ‘Okey’ apabila Khairul mengajaknya keluar makan sebentar tadi. Mungkin kerana sebelum ni tiada lelaki yang cuba rapat dengannya atau mungkin tidak salah jika dia cuba membantu lelaki itu dengan menyatakan pendapatnya nanti dan mungkin juga tidak salah jika dia cuba berkawan kerana merasakan Khairul seorang lelaki yang baik. Fikirnya sendiri. “Ermm.. harap-harap macam tu la.” keluh Riana sendiri. Kembali menyiapkan tugasan yang perlu dihantarnya esok pagi.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“SELAMAT pagi ibu..” tegur Khairul setelah menuruni anak tangga rumah dua tingkatnya itu. Dia memakai baju sukan serba lengkap. Gaya bersiap sedia ingin bersenam di awal pagi ini. Kelihatan Datin Julia sedang menyiapkan sarapan pagi untuk Khaisya Fariha seperti biasa sebelum anak bongsunya itu berangkat ke sekolah.
“Selamat pagi sayang. Nak teh? Ibu tuangkan..” tanya Datin Julia tersenyum manis melihat anak kedua hasil perkongsian hidup bersama Datuk Kamil Jamaludin itu.
“Boleh jugak. Ermm.. selamat pagi adik comot.” angguk Khairul mengalihkan pula pandangannya ke arah Fariha yang sedang asyik makan roti bersalut mentega. Sempat tarik hidung adiknya itu sebelum duduk di kerusi bersebelahan dengan gadis yang baru menjangkau ke usia 14 tahun.
“Ibu, tengok Abang Faiz ni.. Dia panggil adik comot lagi..” adu Fariha sambil mencebirkan bibirnya ke arah Khairul. Sentiasa suka mengusiknya di awal pagi.
“Faiz, sudah-sudah la tu..” geleng Datin Julia tersenyum geleng. Tahu benar sikap Khairul yang suka mengusik itu. “Ha Faiz,  awal bangun hari ini?” sambung Datin Julia setelah selesai menuangkan air teh panas ke dalam cawan yang ada di hadapan Khairul. Lelaki itu meneguk perlahan.
“Saja ibu. Tak ada, ingat nak pergi jogging kejap lagi. Lama dah Faiz tak keluar jogging kan?” Senyum manis Khairul memandang ibu kesayangannya itu. Wanita itu sungguh cekal di matanya. Lebih-lebih lagi setelah pemergian arwah ayahnya, Datuk Kamil hampir dua tahun yang lalu.
 “Adik, lekas ke sekolah. Pak Samad dah masuk dalam tu.” kata Datin Julia setelah terpandang Pak Samad, pemandu kereta upahan mereka sedang melangkah masuk ke dalam ruang tamu rumah.
“Okey. Adik pergi dulu ya, bu?” angguk Fariha menurut kata. Segera menghampiri ibunya itu lalu dicium tangan dan pipi.
Bye adik comot.” Khairul mengusik lagi. Tersenyum suka.
“Isy Abang Faiz ni.. adik pergi dulu.” Fariha tarik muka sekali lagi. Geram dengan abang keduanya itu. Tangan dihulur pula ke arah lelaki itu. Meminta salam.
“Okey. Jangan nakal-nakal. Belajar rajin-rajin, okey?” pesan Khairul sambil membiarkan tangannya dikucup lembut oleh adik bongsu kesayangannya itu. Tersenyum manis melihat Fariha berjalan menghampiri Pak Samad yang sedang menanti.
“Datin, Faiz, Pak Samad keluar hantar Fariha ke sekolah dulu, ya?” kata Pak Samad sambil menundukkan kepalanya tanda hormat. Hormat dengan keluarga yang hampir 10 tahun dia berkhidmat itu. Sentiasa terasa dirinya bersama dengan ahli keluarga sendiri walaupun keluarganya tinggal agak jauh di luar bandar. Terpaksa ditinggalkan untuk mencari nafkah di bandar.
“Hati-hati ya, Pak Samad?” pesan Khairul tersenyum manis. Sempat menganggukkan kepalanya tanda faham.
Datin Julia turut mengangguk faham. Mereka berdua memerhati kelibat Fariha keluar bersama Pak Samad dari ruang dapur itu. “Err…Faiz..” panggil Datin Julia dengan nada perlahan setelah melihat anaknya itu sedang pula membaca surat khabar yang terletak di atas meja.
“Ya bu?” angguk Khairul pandang kembali ke arah Datin Julia. Menanti wanita itu meneruskan kata. Mulut masih mengunyah perlahan roti potong bersalut mentega buatan ibunya itu.
“Abang Faizul ada contact Faiz tak?” tanya Datin Julia lagak ingin tahu. Nada risau jelas kedengaran pada soalan di bibirnya.
Khairul terdiam seketika. Kembali memandang muka surat khabar yang masih setia di tangannya itu. “Tak ada bu..” balas Khairul jujur. Kepala sempat digeleng sekali. Senyumnya kembali tawar setiap kali soal abangnya itu ditanya atau disebut.
Datin Julia melepaskan keluhan hampanya. “Dah hampir dua minggu dia tak balik rumah ni. Ibu risau la Faiz..” Datin Julia meluah segala risau yang dirasa. Kini, jelas pula kelihatan kerisauan di wajahnya.
Khairul kembali memandang Datin Julia sepenuhnya. “Ibu jangan risau, ya? Abang Faizul tu.. dia ada la kerja yang dibuatnya kat luar sana tu.” balas Khairul bersahaja. Tidak mahu ibunya itu risau lagi.
“Mana ibu tak risau, Faiz. Abang Faizul masih marahkan ibu agaknya. Ermm.. Faiz, tentang kelab malam tu..” kata Datin Julia lagi namun pantas sahaja disekat Khairul yang tidak tahan mendengar soal itu disebut lagi sekali.
“Ibu, walau apa pun jadi, Faiz tetap tak kan benarkan Abang Faizul melabur di kelab malam tu. Kalau abah masih ada pun, Faiz pasti dia pun tak kan izinkan Abang Faizul buat tu semua. Sebab abah pernah pesan pada Faiz dulu, yang duit bukan senang untuk kita cari. Jadi bukan senang jugak untuk kita nak laburkan pada benda yang kita sendiri tahu baik buruknya.” jelas Khairul panjang lebar agar ibunya itu tahu bahawa keputusannya tetap sama dan tidak akan pernah berubah.
Datin Julia terdiam sebentar mendengar penerangan anak keduanya itu. “Ibu tahu itu semua, Faiz  Ibu cuma risaukan dia. Ibu tak nak dia lakukan perkara yang tak baik dekat luar tu aje.” Datin Julia membalas laju. Tidak mahu anaknya itu menyalah anggap kata-katanya sebentar tadi.
“Kalau kita benarkan dia melabur jugak di kelab malam tu, samalah macam kita benarkan dia buat perkara yang tak baik jugak, bu. Sudahlah ibu. Ibu jangan risau lagi, ya? Tengoklah nanti.. kalau Faiz ada jumpa dia, Faiz akan pujuk dia balik sini, ya? Jumpa ibu.” Khairul cuba memujuk hati Datin Julia. Tidak mahu wanita itu menunjukkan tanda risau lagi. Dia sendiri risau jika sesuatu buruk berlaku kepada ibunya itu kerana wanita tua itu menghidap penyakit asma. Risau jika sakitnya itu jadi lebih teruk.
Datin Julia mengangguk mengerti. Senang hati dengan anak keduanya itu. Sentiasa menghormati kata-katanya dan tidak mudah melawan. Tidak seperti anak sulungnya. Ternyata berbeza.
Khairul bangun dari terus duduk. Dia memandang wajah ibunya itu lagi. “Faiz keluar pergi jogging dulu ya, ibu?” kata Khairul bernada sayu. Tidak mahu terus melihat wajah sedih yang dipamerkan ibunya itu. Datin Julia hanya sekadar mengangguk faham dan memerhati anaknya itu hilang dari ruang dapur itu.
Khairul Faizul, lelaki yang bersikap egois dan mementingkan diri sendiri. Menganggap rumahnya lagak hotel yang boleh masuk dan keluar pada bila-bila masa. Semua ini terjadi setelah ketiadaan arwah ayahnya, Datuk Kamil. Mereka sekeluarga pernah bergaduh besar hampir lima bulan selepas ketiadaan arwah ayahnya. Semua ini berlaku setelah peguam yang diamanatkan oleh arwah ayahnya telah muncul dan mengumumkan bahawa Syarikat Suria Trading adalah sepenuhnya di bawah pengurusan Khairul Faiz bukan Khairul Faizul seperti yang dijangkakan oleh semua pihak termasuk ahli lembaga syarikat.
Mengikut wasiat yang tertulis, harta sebahagian besar Datuk Kamil Jamaludin akan jatuh ke tangan mana-mana anaknya yang telah bertungkus-lumus menguruskan Syarikat Suria Trading selama dua bulan selepas ketiadaannya. Ini kerana Faizul tidak pernah menunjukkan kebolehannya untuk memikul tanggungjawab sebagai pengurus besar di syarikat itu sepanjang arwah ayahnya tiada. Kini lelaki itu berlagak tidak puas hati pula hanya disebabkan permintaannya untuk menjadi rakan kongsi di sebuah kelab malam tidak dipersetujui oleh ahli keluarga. Bahkan Khairul sendiri tidak mempersetujui langsung permintaan modal daripada lelaki itu. Berharap agar abang kandungnya itu berubah menjadi seperti dahulu. Sewaktu mereka berdua berkongsi saat gembira dan rahsia bersama. Walaupun tahu, susah untuk mengulang kembali saat itu.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“RIANA, boleh tolong akak tak esok?” tanya Kak Syida setelah mendekati meja Riana. Lagak memerlukan bantuan.
            Riana berhenti menaip di keyboard komputernya. Dia pandang Kak Syida pantas. “Tolong apa, Kak Syida?” Riana menyoal ingin tahu.
            “Esok sekolah Danish ada buat Majlis Anugerah Cemerlang. Danish dapat nombor dua dalam kelas. Dia nak sangat akak dengan husband akak pergi tengok dia dapat sijil. Tapi esok akak kena teman Encik Hairie la, ada persidangan Projek Mega Tiga kat Syarikat Delima tu..” jelas Kak Syida panjang lebar. Lagak wanita itu seakan sedang diulit runsing. Runsing membuat pilihan antara kerjaya atau keluarga.
            “Eh! bukan Encik Megat ke yang selalu teman Encik Hairie pergi dengar persidangan projek tu?” Riana kembali menyoal. Dia ada juga mengetahui serba sedikit maklumat berkenaan dengan salah sebuah projek besar syarikat itu.
            “Itu la.. sepatutnya Encik Megat.. tapi tadi Encik Hairie cakap Encik Megat kena handle projek rumah kos rendah Taman Mawar. So Riana boleh tolong gantikan tempat akak tak esok ni?” tanya Kak Syida dengan nada berharap. Berharap Riana setuju.
            Riana pula diulit rasa runsing. Tidak pasti untuk membuat keputusan dengan kadar segera itu. “Ermm…”
Please.. Nanti akak belanja Riana makan, ya?”
Kak Syida lagak ingin mengumpan Riana dengan tiket ‘belanja makan’. Riana berubah rasa. Jadi serba salah pula. “Ermm.. boleh tu boleh Kak Syida, tapi Encik Hairie cakap apa pulak nanti kalau Riana ganti tempat Kak Syida?”
            “Haa.. yang itu Riana jangan risau sebab akak dah tanya Encik Hairie. Dia kata okey, asalkan akak dapat cari pengganti.” Kak Syida pantas berkata. Tersenyum suka.
            “Hmm.. okey la kalau macam tu kata Kak Syida, Riana okey aje.” balas Riana menguntumkan senyuman. Tiada masalah.
            Syida tersenyum makin suka. “Okey. Nanti akak belanja Riana makan tau? Thanks.”
            “Ala.. Kak Syida tak apalah. It’s okay. Anggap Riana tolong Kak Syida je ya? So.. esok Riana nak kena buat apa ni?” tanya Riana ingin tahu lebih lanjut mengenai tugasannya itu. Tidak pernah pula menghadiri mana-mana persidangan sebelum ini. Kerjanya hanya di dalam syarikat.
            “Okey kejap! Akak ambilkan fail tentang persidangan esok tu, ya?” Senyum Syida melangkah kembali ke meja kerjanya. Nada benar-benar riang.
            Riana hanya mengangguk faham. Bertuah anak wanita itu kerana mempunyai seorang ibu yang akan berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi permintaan seorang anak. Terbit pula rasa rindu di hati kepada arwah ibu dan ayahnya. Sudah hampir lima tahun mereka pergi menghadap Illahi tetapi wajah kedua-dua orang tuanya itu masih mengisi ruangan minda. Terasa baru semalam sahaja mereka duduk berbual mesra bersama-sama sebagai satu keluarga.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

RIANA melangkah masuk ke dalam Marrybrown sambil terintai-intai mencari kelibat Khairul. Kali kedua mereka berdua berjanji temu. Senyuman terukir di bibir setelah melihat Khairul menantinya di satu penjuru meja. Tidak sangka. Meja yang sama hari pertama mereka berjanji temu dahulu. “Assalamualaikum.. Hai awak..” sapa Riana setelah menghampiri meja itu. Sempat melambai tangan.
            “Waalaikumusalam. Hai Riana. Duduk la..” Khairul segera berdiri lurus. Membalas dengan bibir tersenyum suka.
            “Thanks. Ermm.. awak tak order makan lagi ke ni? Maaflah saya lewat sikit, ada hal penting tadi kat office.” kata Riana bernada maaf. Tidak sangka hari ini dia terpaksa keluar lewat sedikit daripada kebiasaannya. Gara-gara mendengar Kak Syida memberi arahan terlampau banyak tentang persidangan esok.
            “It’s okay. Saja nak tunggu awak, boleh kita order sekali.” balas Khairul bernada riang. Tidak kisah langsung mengenai kelewatan Riana itu kerana cukup sekadar wanita itu memenuhi janji yang terucap semalam.
            “La ya ke? Okey. Kalau macam tu, kita order sama-sama la, ya?” cadang Riana tersenyum lega sambil menarik buku menu yang terletak rapi di hujung sisi meja.
            Khairul pantas mengangguk mengerti. “Okey.”
            Riana dan Khairul membuat pesanan makanan pada pelayan yang bertugas dan mereka berbual-bual kosong sementara menunggu pesanan terhidang di meja makan.
            “So Khairul, awak ada kata semalam awak nak minta pendapat saya. Boleh saya tahu tentang apa?” tanya Riana setelah mereka berdua diam sebentar menikmati hidangan yang dipesan. Buat Khairul lagak kembali kaget.
            Khairul terberhenti dari terus memjamah makanannya. Mula memandang Riana sepenuhnya. “Err.. rasa malu pulak nak cakap benda ni kat awak la..” kata Khairul perlahan. Nadanya tersekat-sekat. Sangkaan Riana mungkin terlupa tentang katanya semalam ternyata meleset.
            Riana pula tersenyum tiba-tiba. Buat Khairul jadi aneh pula.  “Err.. kenapa awak senyum ni? Kat mulut saya ada apa-apa ke?” tanya Khairul sambil mengelap bibirnya beberapa kali dengan tisu yang ada di situ. Risau jika ada sisa makanan terlekat dibibirnya. Pasti malu!
            Riana menggeleng kepala sebentar. “Tak adalah. Cerita la pada saya benda apa awak nak cakap tu? Janganlah malu-malu.” sambung Riana tertawa geli hati seketika melihat gelagat Khairul tiba-tiba itu. Kelam kabut semacam.
            “Err.. okey. Macam ni Riana, saya sebenarnya ada la sukakan seorang perempuan ni. Tapi saya tak tahu macam mana nak mula.” Khairul mula melaksanakan strategi yang baru dirancangnya pagi tadi dengan lagak tenang. Tersenyum kelat.
            Riana terasa kaget tiba-tiba apabila soal itu yang diutarakan dari mulut lelaki yang berada di hadapannya itu. Terasa seperti ada yang tidak kena. Namun dia perlu bertindak sebagai seorang yang matang dan bersikap rasional, yang diminta untuk memberi nasihat. “Ermm.. boleh saya tahu siapa nama perempuan tu?” tanya Riana hanya sekadar ingin tahu.
            “Maria Akila.” jawab Khairul perlahan. Bukan tersasul tetapi dia perlu berhati-hati agar Riana tidak sedar akan perihal nama wanita itu kerana niat sebenarnya ialah berkawan.
            “Maria Akila? Hmm.. sedap nama tu.. Okey. Dah lama ke awak kenal dia?”
“Hmm.. tak ada la lama mana pun. Baru la jugak.” jawab Khairul lagi. Makin berani bermain kata.
Riana berfikir sejenak. Cuba untuk menyusun ayat. “Ermm.. saya ni Khairul bukanlah pandai sangat kalau bab cinta-cinta ni, tapi boleh la kalau sekadar awak nak saya bagi pendapat aje. Ermm.. okey macam ni. Apa kata kalau awak cuba kenal dia dan cuba dekat dengan dia dulu? Ambil tahu pasal apa yang dia suka, pasal benda yang dia selalu buat.. dan awak jugak kena ambil tahu tentang apa yang dia tak suka. Sebab perempuan ni jenis suka bila seorang lelaki tu caring pada dia. Ermm.. macam mana, boleh ke?” Riana mula memberi cadangan. Panjang lebar juga rasanya.
            Khairul hanya mendengar. Terkesima memandang Riana berkata-kata.
            “Khairul?” panggil Riana aneh melihat lelaki yang baru dikenalinya itu. Lagak tersenyum sendiri pula.
            “Ya?” Khairul tersedar. Mata memandang Riana tepat.
            “Boleh tak ni?” ulang tanya Riana ingin tahu.
            “Oh.. okey. Boleh boleh. Saya akan cuba. Terima kasih.” angguk Khairul pantas. Segera mengangguk lagak mengerti.
           “Ermm.. Khairul, boleh saya tahu tak, kenapa ya awak tanya saya pasal hal-hal ni? Ya la.. Kita kan baru kenal, ini pun baru dua kali jumpa. Dan lelaki ini setahu saya jenis yang berahsia sikit, lebih-lebih lagi kalau bab cintan-cintun ni.” tanya Riana bernada berbisik di hujung kata. Takut bakal menyinggung perasaan lelaki di hadapannya itu.
           Khairul tertawa kecil sebentar mendengar soalan Riana itu. Tangan mula dibawa ke kepala. Mengaru perlahan. “Ya.. tentu awak rasa kelakar, kan? Sebenarnya Riana, saya ni jenis lelaki yang pemalu sikit dan saya kurang ada kawan perempuan.” balas Khairul tersipu malu. Tetapi memang itulah kebenaran katanya. Sukar dan susah untuk berkawan dengan seorang wanita.
            Riana mula mengangguk mengerti. Seakan mula faham. “Oh macam tu.. Okey. In that case, awak boleh anggap saya kawan perempuan awak. Lagi pun saya ni pun jarang ada kawan lelaki, senasib la kita kan?” jelas Riana tersenyum suka memandang Khairul.
            “Ya..” angguk Khairul yang juga turut tersenyum memandang Riana. Wajah yang sedap mata memandang walaupun dia tidak dapat melihat di sebalik wajah tersebut kerana wanita itu memakai tudung. Melindungi aurat yang dituntut dalam agama. Mungkin inilah satu permulaan dalam hidupnya dalam mengenal erti kasih seorang wanita kembali.
Khairul dan Riana mula bertukar cerita mengenai kerjaya masing-masing. Khairul terpaksa berbohong tentang status dirinya sebenar iaitu sebagai anak pemilik Syarikat Suria Trading. Terpaksa mengubah statusnya itu kepada hanya sebagai penolong kanan syarikat. Dia sengaja ingin berbuat begitu. Tidak mahu meletakkan gelaran yang dipegang sebagai modal untuk menawan hati wanita idamannya itu. Mereka berdua meneruskan perbualan sehinggalah kepada soal peribadi hidup masing-masing. Topik Maria Akila masih menjadi perbualan utama. Tanpa sedar masa terlalu mencemburui mereka berdua.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

KAKI melangkah masuk ke dalam Syarikat Delima bersama-sama Hairie Azmin, lelaki yang berkarisma dan berkebolehan di mata Riana. Persis seorang pelakon drama lelaki di kaca televisyen yang acapkali ditontonnya. Walaupun ini merupakan pertama kali Riana berbicara terus tanpa melalui Kak Syida. Kelainannya sangat terasa.
“Riana, nanti awak serahkan guideline report pada saya masa dalam bilik persidangan, okey?” arah Hairie serius sambil berjalan melangkah bersama Riana. Kelihatan dua tiga orang yang lagaknya sama seperti mereka berdua.
            “Baik Encik Hairie.” Riana hanya mengangguk. Tangannya memegang briefcase coklat miliknya dan sebuah buku nota. Bakal mencatit arahan majikannya itu. Sedikit rasa gementar apabila terpaksa memikul tugas yang berbeza daripada tugasnya yang sebenar.
            “Okey dan sekarang ini awak pergi tandakan kehadiran syarikat kita kat kaunter hujung sana tu. Jangan lupa ambil dua pas nama sekali, ya?” Hairie berhenti seketika sambil menunding jari ke arah suatu penjuru yang terdapat seorang wanita yang sedang tersenyum mesra menyambut tetamu yang hadir. Sedikit kaget juga dia untuk berbicara dengan wanita di hadapannya itu kerana sebelum ini tidak pernah pula dia sedar kewujudan wanita yang bernama ‘Riana Akma’ di syarikat yang hampir dua tahun di bawah pengurusannya itu.
“Baik Encik Hairie. Ermm.. Encik Hairie, saya ke ladies sekejap ya?” Riana meminta izin. Takut jika lelaki itu ternanti-nanti dirinya.
“Okey. Tapi jangan lama sangat. Lagi beberapa minit aje persidangan akan bermula. Saya masuk dalam dulu.” balas Hairie sempat mengerling ke arah jam di tangannya. Dia meneruskan perjalanan dengan penuh gaya.
            Riana angguk faham pandang ke arah Hairie yang telah masuk ke dalam bilik persidangan. Lagak seperti tidak sabar menanti persidangan itu bermula. Riana dengan segera melangkah pergi ke bilik air yang berdekatan.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“FAIZ, ramai ke yang bakal turut serta untuk persidangan kali ni?” tanya Johan sambil memandang sekeliling ruangan bilik mesyuarat itu. Semakin ramai yang memenuhi tempat-tempat kosong di kerusi lipat yang mereka duduk. Khairul dan Johan sudah lama tiba ke syarikat itu dan setia menanti persidangan dijalankan pada masa yang ditetapkan sahaja.
            “Ermm.. ramai la kut.” Khairul membalas dengan nada biasa sambil mata memandang sehelai tentatif persidangan di tangannya. Diselak muka kertas itu depan dan belakang.
            “Aku rasa nervous la..” kata Johan lagak gementar memandang pelabur-pelabur daripada pelbagai syarikat yang mula membanjiri ruangan duduk yang terdapat di situ. Masing-masing dengan gelagat yang tersendiri.
            “Just be cool.. tak perlu risau la. Kita buat aje apa yang kita mampu, okey? Kalau dah rezeki tu, orang cakap tak kan ke mana. Ermm.. nanti kau take note la apa yang wakil syarikat ni cakap, ya?” pesan Khairul cuba mengingatkan tugas Johan sebagai penolongnya walaupun dia tahu Johan jenis yang sentiasa amanah dengan tugas yang diarahkannya.
            “Hope syarikat kita boleh la dapat projek tu, kan?”
            “Ya. Hope so.. Bro, aku pergi washroom kejap, okey? Sakit perut la pulak.” bisik Khairul lagak memegang perutnya. Muka pula berkerut masam.
            “Okey. Cepat sikit. Kang persidangan ni mula, kau tak ada pulak.” pesan Johan serius. Jari menunding ke arah jam tangan yang dipakainya. Berlagak menunjuk agar Khairul menepati masa yang ditetapkan.
            “Ya la.” angguk Khairul sambil bangun dan bersedia untuk meninggalkan bilik persidangan itu.
Khairul berselisihan dengan Hairie sebentar yang lagak ingin keluar juga. Kedua-dua anak mata mereka bertembung. Khairul menunduk tersenyum sopan dan meneruskan langkahnya untuk menuju ke bilik air yang berdekatan. Hairie pula lagak masih memerhati Khairul sinis kerana dia tahu akan siapa gerangan lelaki itu. Dianggap musuh utama di dalam projek yang akan disidangkan sebentar sahaja lagi.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

KHAIRUL keluar dari bilik air. Dia berjalan menuju ke arah bilik persidangan itu semula. Namun, dia mula memperlahankan langkah kakinya apabila kelibat seorang wanita mencuri pandangan matanya. Kelihatan Riana sedang asyik berbual dengan pelayan tetamu wanita di meja kaunter sambil tangan mengisi nama di atas sebuah log book. Dia tidak sangka akan bertemu lagi dengan wanita itu di situ. Memang mereka berdua ada jodoh. Fikirnya nakal. “Riana?” sapa Khairul buat Riana yang baru sahaja selesai menamatkan perbualan dengan wanita di hadapannya itu kaget sebentar.
            Riana kalih pandang ke arah Khairul. “Eh! Khairul? Awak buat apa kat sini?” Pantas Riana menyoal tentang kehadiran Khairul yang sedang memandangnya itu. Sungguh tidak dijangka dia bertemu lagi dengan lelaki itu di sini.
            “Saya ada persidangan kat sini. Awak pulak?” Khairul bertanya lagak teruja. Senyum di bibir makin lebar.
            “Saya pun.” Riana mengangguk tanda sama.
            “Persidangan tentang Projek Mega Tiga tu?” teka Khairul kerana setahunya tiada persidangan lain selain persidangan mengenai projek itu di situ.
            “Yes. Oh.. syarikat awak pun terlibat sama ke? Tak sangka pulak kita, kan?” balas Riana turut terkejut bila mendengar syarikat tempat kerja Khairul merupakan salah sebuah syarikat yang bertanding untuk memperolehi Projek Mega Tiga. Seakan tidak percaya mereka berdua ada persamaan. Chemistry sungguh!
            Perbualan mereka tidak sengaja diperhatikan Hairie yang telah keluar dari bilik persidangan itu. Malas menunggu lama. Itulah sikapnya yang tidak suka bergaul dengan orang yang tiada kepentingan dengannya dan lebih senang menyendiri.
            “Ermm.. awak dah lama ke sampai? Datang dengan siapa?” Riana bertanya lagi. Sekadar ingin tahu sahaja.
            “Tak adalah lama. Ada la dalam sepuluh minit macam tu. Saya datang dengan bos saya. Dia dah masuk dalam.” Khairul menjawab soalan Riana dengan nada berhati-hati. Takut sentiasa ada. Jika tersalah kata, mungkin hari ini menjadi hari terakhirnya berbual dengan wanita di hadapannya itu.
            “Oh.. okey la Khairul. Next time kita borak lagi, okey? Saya rasa kita kena masuk ni, rasanya persidangan projek tu nak bermula dah.” balas Riana setelah sedar agak lama juga mereka berdua berbual kosong. Jam di pergelangan tangan dikerlingnya sekejap.
            “Oh ya. Okey. Let’s we?” Khairul mengangguk faham sambil berjalan seiring dengan Riana menuju ke bilik persidangan itu semula.
            Hairie yang sejak dari tadi mengintai ke arah Riana dan Khairul segera bergegas masuk semula ke dalam bilik persidangan. Berpura-pura tidak melihat perkara itu.
            Khairul dan Riana melangkah masuk ke dalam bilik persidangan itu bersama-sama dan berpecah ke bahagian tempat duduk masing-masing. Bibir sempat berbalas senyum sebelum membawa haluan jalan sendiri.   
            “Oit.. siapa tu? Aku tengok kau masuk sekali dengan dia. Siap senyum-senyum lagi.” bisik Johan setelah Khairul kembali duduk di kerusi di sebelahnya. Mata mengintai ke arah Riana yang duduk bersebelahan dengan Hairie di satu penjuru sudut.
            “Nanti la aku cerita.” Khairul membalas bersahaja. Senyuman di bibirnya masih utuh tatkala memandang lagak Riana yang berada tidak jauh daripada tempat duduknya itu. Lagak memberi dia ruang untuk terus menatap wajah Riana.
            Beberapa minit kemudian, persidangan mengenai Projek Mega Tiga berlangsung dengan lancarnya setelah ketibaan Ketua Pengarah Syarikat Delima, Tan Sri Zulkarnain Razak. Persidangan ini adalah persidangan kali kedua dalam menilai setiap usul yang telah dihantar oleh setiap pihak syarikat yang ingin bertanding. Sesekali Khairul curi pandang ke arah Riana yang duduk bersebelahan dengan Hairie. Wanita itu kelihatan sedang tekun menulis nota mengenai persidangan tersebut. Hatinya sentiasa berdegup kencang tatkala memandang wajah Riana. Pada masa yang sama, Hairie dapat melihat seakan ada sesuatu perasaan aneh yang terpamer di wajah lelaki itu setiap kali dia memandang ke arah wanita yang berada di sebelahnya. Seakan ada perasaan yang tersembunyi. Tekanya. Otaknya kini sedang ligat memikirkan tentang satu cadangan.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“KAU ingat tak perempuan yang kau suruh aku kawan tu, Jo? Itulah dia.” kata Khairul kepada Johan yang sedang memandu kereta menuju kembali ke syarikatnya setelah persidangan yang mereka hadiri sebentar tadi itu selesai dengan lancarnya.
Khairul menarik nafas sedikit lega kerana status dirinya sebagai anak pemilik Syarikat Suria Trading masih kekal menjadi rahsia daripada pengetahuan Riana. Dia berdoa agar dia tidak ditimpa situasi seperti tadi lagi. Berharap biarlah rahsia itu kekal menjadi rahsia sehingga dia sendiri yang bertindak memberitahu Riana hal sebenar. Bukan daripada mulut orang lain.
            “Oh.. itu Riana Akma kau? Patut la kau suruh aku berlagak macam bos aje tadi. Err.. tadi aku nampak dia duduk sebelah Encik Hairie, maknanya dia setiausaha Encik Hairie la, ya?” Johan membalas laju. Cuba meneka sendiri.
            Khairul menggeleng kepala. Sekali. “Nope. Dia kerja sebagai kerani biasa aje kat syarikat tu, tadi pun dia cakap dia cuma ganti tempat setiausaha Encik Hairie itu aje. Setiausaha syarikat dia ada hal, tak boleh nak datang.” Khairul menjelaskan satu persatu seperti yang dijelaskan Riana kepadanya. “Kenapa kau nampak pelik aje ni?” Khairul menyoal lagak aneh dengan perubahan riak wajah Johan selepas membalas katanya itu. Seakan sedang memikirkan sesuatu. Lama.
            “Tak ada la. Encik Hairie Azmin tu anak Datuk Haikal dari Syarikat Gema Holding, salah satu competitor kuat syarikat arwah abah kau dulu. Kau tentu tak tahu, kan?” jelas Johan kerana dia tahu Khairul baru sahaja hampir lima bulan mengambil alih pengurusan Syarikat Suria Trading sepenuhnya sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) di dalam bidang ekonomi dan pengurusan pembangunan selama hampir empat tahun.
            “Oh.. ya ke? Tak tahu pulak aku..” Khairul mengangguk mengerti mendengar Johan bercerita tentang lelaki itu. Berfikir sejenak. Dia tidak peduli akan hal itu kerana yang mungkin bersaing di dalam dunia perniagaan sebelum ini adalah arwah ayahnya dan semestinya bukan dia. Jika boleh, dia hanya mahukan perniagaannya berjalan di atas landasan yang betul tanpa menindas mana-mana pihak. Itulah prinsip yang dipegangnya sejak sebelum mengikuti bidang pengajiannya lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~