1 Mei 2011

~Bab 13~

PAGI ini Riana bangun seperti biasa namun entah mengapa badannya terasa panas dan kepalanya pula terasa pening seakan memusing-musing. “Ermm.. tak boleh jadi ni. Kena panggil Riz bangun jugak ni..” Riana berkata sendiri di dalam hati. Dia segera turun dari atas katilnya. Dia berlalu ke bilik Rizman yang berdekatan dengan biliknya untuk mengejutkan adiknya itu untuk bangun bersiap ke sekolah.
            ‘Tuk! Tuk!’ “Riz.. Riz, bangun.. sekolah..” Riana memanggil lemah sambil mengetuk beberapa kali pintu bilik tidur adiknya itu.
Pintu dibuka selepas beberapa minit. Rizman menguap kecil sambil sebelah tangannya mengosok kelopak mata. Lagak separuh sedar. Hari ini dia perlu hadir ke sekolah untuk menjawab peperiksaannya walaupun cuti akhir tahun semua sekolah telah bermula. “Kak, kak demam ke? Pucat aje muka akak ni.” tanya Rizman setelah sedar wajah Riana kelihatan lesu dan tidak bermaya. Lama ditenung wajah kakaknya itu.
            “Ermm.. tak ada la. Akak pening sikit aje ni. Riz pergi la mandi dulu, nanti lambat pulak pergi sekolah. Hari ini Riz exam paper Sejarah, kan?” pinta Riana sambil tangannya diletakkan di dahi. Memicit perlahan.
            “Hmm.” angguk Rizman faham dan masuk semula ke dalam bilik untuk mengambil kain tuala mandinya. Riana pula berlalu ke ruang dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk adiknya itu seperti biasa.
            Setelah Rizman selesai mandi dan memakai pakaian sekolahnya, dia bergerak ke bahagian dapur. Menanti makanannya dihidang di atas meja seperti biasa. “Kak, muka akak nampak pucat la. Akak tak payah pergi kerja la hari ini, biar Riz tumpang kawan aje, ya?” kata Rizman ketika Riana sedang menuang air milo panas ke dalam cawannya. Sementara mulutnya ligat mengunyah roti sardin.
            “Riz, akak okey la. Riz makanlah dulu ya, akak nak pergi mandi pulak.” Riana masih berdegil. Kaki mula melangkah perlahan bersedia untuk meninggalkan ruangan dapur. Tiba-tiba terasa sakit di kepalanya semakin kuat. Sekelilingnya kelihatan kusam dan pudar tiba-tiba.
            ‘Dum!’
            “Kak.. Kak Riana!” jerit Rizman mendapatkan Riana yang telah terbaring di lantai dapur. Dia cemas melihat Riana tidak sedarkan diri walaupun beberapa kali dia cuba mengoncangkan badan kakaknya itu. Dia segera berlari mendapatkan telefon bimbitnya untuk menelefon Khairul kerana itu sahajalah satu-satunya nombor telefon kenalan kakaknya yang dia ada. Nombor itu diberi semasa hari jadinya.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
‘MAAFKANLAH ku tak bisa hidup.. tanpa kamu... fahamilah ku tak mampu terus... tanpa kamu... bagaimanaku nanti..bila tiada mengganti..yang ku harap....”
            Khairul tersedar dari tidur. Segera bangun menekan suiz lampu di tepi katilnya. Dia mengambil telefon pintarnya yang diletak di atas meja. Masih berdering kuat. Mata kelihatan masih mengantuk selepas tidur semula setelah selesai menunaikan Solat Subuh tadi. “Riz?” Khairul terkejut sebentar apabila melihat nama ‘Riz’ terpapar di skrin telefon pintarnya. Sebelum ini tidak pernah pula Rizman menelefonnya walaupun dia tahu lelaki itu ada nombor telefonnya.  Khairul segera melekatkan telefon pintar ke telinga kanannya. “Hello Riz?”
“Hello Abang Khairul, Kak Riana abang.. Kak Riana pengsan!” kata Rizman lancar. Suara cemas.
            Khairul segera menegakkan badannya. “Apa? Kenapa boleh jadi macam tu? Riz ada kat mana sekarang ni?” tanya  Khairul cemas. Soalan bertubi-tubi keluar dari mulutnya.
            “Kat rumah kami, bang. Akak tiba-tiba aje pengsan ni. Riz tak tahu nak buat apa ni.”
            “Okey. Abang pergi sana sekarang. Riz tunggu abang kat sana sampai abang sampai, okey?” pesan Khairul serius. Kaki mula melangkah turun katil.
            “Baik bang!” balas Rizman faham.
Talian dimatikan. Khairul segera bersiap sedia meninggalkan rumahnya. Dia memandu keretanya ke rumah Riana. Dia membawa wanita itu bersama dengan Rizman ke hospital. Inilah kali pertama dia melihat Riana tanpa memakai tudung. Rambut wanita itu hanya diikat ala ekor kuda. Memang cantik dipandang namun bukan itu yang mencuri perhatiannya tetapi keadaan wanita itu yang masih tidak sedarkan diri. Masih terkulai lemah!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
RIANA dirawat. Khairul tunggu di luar wad tanpa Rizman di sisi kerana dia telah menghantar anak muda itu ke sekolah setelah selesai menguruskan Riana. Dia setia menanti doktor yang merawat Riana di sebalik pintu wad. Hatinya gelisah. Lagak tidak sabar menanti doktor itu memunculkan diri. “Macam mana keadaan dia, doktor?” tanya Khairul cemas setelah melihat doktor yang merawat Riana iaitu seorang wanita yang berbangsa Cina menampakkan diri.
            Kerutan dahi di wajah doktor itu mula kelihatan tatkala Khairul dipandangnya. “Encik ni?”
            “Err.. saya kawan dia.” pantas Khairul membalas. Berhati-hati.
            Doktor itu mengangguk mengerti. “Ermm.. dia dalam keadaan baik, cuma belum sedarkan diri lagi. Demam panas biasa aje. Cuma itu la.. antibody Cik Riana ni rendah sebab tu dia mudah pengsan. Tapi apa-apa pun, dia perlu banyak berehat. That’s all. Ermm.. nanti encik jangan lupa ambil ubat kat kaunter, ya? Saya dah tinggalkan resit ubat pada nurse sebentar tadi.” pesan doktor sambil menunding jari ke arah kaunter yang tidak jauh daripada tempat mereka berdua berdiri.
            Khairul kalih pandang seketika ke arah tundingan jari doctor itu. “Terima kasih doktor.  Err.. boleh saya melawat dia sekarang?” tanya Khairul lagak tidak sabar ingin melihat keadaan Riana ketika ini. Buat doktor itu hanya mengangguk setuju. Tanda memberi izin. “Terima kasih doktor.” ucap Khairul lalu melangkah pantas berjalan menuju ke dalam wad yang menempatkan tubuh wanita yang dikasihinya itu.
            Kelihatan Riana sedang berbaring di atas katil bujang dengan pakaian serba hijau yang mungkin telah ditukar semasa menerima rawatan sebentar tadi. “Riana, saya harap awak cepat sedar, ya?” getus hati kecil Khairul setelah merapati sisi katil Riana. Sayu dia memandang wajah yang hampir empat bulan mencuri hatinya itu. Entah mengapa tangannya begitu berani menyentuh tangan insan yang berada di hadapannya itu walaupun dia tahu insan itu bukan miliknya. Dia semakin bertindak berani dengan mencium jari Riana satu persatu. Dia mula mengusap perlahan jari-jemari wanita itu. Berharap wanita itu akan cepat sedar dari pengsannya.
“Faiz, aku tak tahu tujuan apa kau dengan Maria ajak kami berdua makan malam hari ini. Aku tahu kau masih ada perasaan pada dia tapi aku cuma nak minta tolong, tolong jangan jumpa dia lagi. Aku takut, aku takut rancangan bodoh aku dulu tu dia dapat tahu. Aku betul-betul cintakan dia Faiz dan aku tak nak kehilangan dia. Tak lama lagi aku akan melamar Riana. Aku harap kau faham.”
            Pertemuannya dengan Hairie tempoh hari telah mengingatkan Khairul bahawa insan yang sedang berbaring di hadapannya itu tidak akan pernah menjadi miliknya. Dia segera melepaskan tangan Riana serta-merta setelah tersedar dari lamunan panjangnya itu. “Maafkan saya, Riana..” bisik Khairul walaupun tahu wanita itu tidak akan sesekali mendengar bisikan suaranya.
Khairul mula menarik beg pakaian yang diserahkan oleh Rizman sebentar tadi di atas meja. Tudung sarung wanita itu ditarik keluar dan dia mula memakaikan Riana tudung itu. Cukuplah sekadar dia sahaja yang tidak sengaja memandang aurat yang sedaya upaya dilindungi oleh wanita itu. Dia tahu Riana pasti terkejut jika dapat tahu auratnya kini dia telah terdedah di matanya. Khairul segera berdiri setelah selesai mengemaskan kedudukan Riana. Mengeluarkan pula telefon pintar dari poket seluar jeansnya. Keluhan sempat dilepaskannya seketika. Jari pantas mendail nombor seseorang yang dirasakan lebih layak berada di sisi wanita itu pada saat ini. “Hello Hairie..” kata Khairul setelah taliannya bersambung. Mata masih kekal memandang Riana sayu.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
MATA Riana perlahan-lahan dibuka. Sekelilingnya kelihatan tenang. Wajah Rizman yang sedang asyik membaca surat khabar Harian Metro sambil duduk di atas sofa mengisi pandangan matanya.  “Riz..” panggil Riana dengan nada perlahan.
Rizman segera menoleh pandang ke arahnya. “Ya Kak Riana?” Rizman segera bangun menghampiri sisi katil Riana. Dia tersenyum lega. Menanti butir kata dari mulut kakak kesayangannya itu.
            “Akak kat mana ni?” tanya Riana yang masih lemah untuk berbicara. Mungkin kerana kesan suntikan yang diterimanya sebentar tadi.
            “Kat hospital kak, akak pengsan pagi tadi.” jawab Rizman tersenyum tenang.
            “Err.. siapa yang bawa akak ke hospital ni?” tanya Riana ingin tahu.
            “Abang.. Err.. Abang Hairie kak.” balas Rizman berhati-hati. Wajah segera berubah apabila soalan itu diutarakan.
            “Abang Hairie? Mana dia?” tanya Riana lagi sambil memandang sekeliling bilik itu tetapi wajah Hairie masih tidak tertangkap anak matanya.
            “Dia dah balik, kak. Err.. katanya ada hal sikit. Dah la kak, kak rehat ya? Doktor cakap akak kena banyak berehat.” balas Rizman segera sambil memperkemaskan selimut yang menutupi badan Riana. Tidak mahu kakaknya itu terus bertanya.
“Habis sekolah tadi? Siapa yang hantar Riz?” tanya Riana masih ada bicara.
Rizman malepaskan keluhannya. Tidak berjaya untuk buat kakaknya itu berhenti dari  terus bertanya. “Abang Hairie yang hantar.”  jawab Rizman bernada perlahan.
“Oh..” angguk Riana seakan mengerti. Sedikit melepas keluhan lega.
Bunyi pintu bilik itu ditolak kedengaran. Menyebabkan kedua-dua adik-beradik itu memandang ke arah yang sama. “Hai Riana..” Senyum Eza sambil membimbit sebuah beg plastik berisi beberapa biji buah epal hijau. Dia segera merapati sisi katil Riana yang sedang tersenyum memandangnya.
            Rizman segera kalih pandang Riana. “Kak, Riz keluar sekejap, ya?” kata Rizman sambil bangun. Sempat mengucap syukur di hati kerana Riana tidak terus bertanya. Jika tidak semuanya pasti terbongkar. Seakan tidak mahu menganggu perbualan antara Riana dengan Eza itu.
Riana mengangguk faham dan membiarkan adiknya itu melangkah keluar. Memandang pula ke arah Eza yang seakan memerhatinya lega.
            “Kau macam mana? Dah okey?” tanya Eza ingin tahu sambil melabuhkan pinggul di atas kerusi yang terdapat di situ.
            Riana tersenyum biasa. “Alhamdulilah.. Aku okey. Tak adalah teruk mana pun. Pengsan aje..”
            “Ermm.. ini, aku ada bawa buah untuk kau. Kau nak? Aku boleh tolong kupaskan.” kata Eza sambil mengangkat beg plastik di tangannya itu.
            “Terima kasih. Nanti la aku makan. Buat susah-susah aje la kau ni, Eza.” geleng Riana tersenyum senang hati dengan sikap ambil berat yang ditunjukkan oleh Eza itu.
            “Isy.. tak ada susah mana pun. Pergi beli aje.” balas Eza sambil meletakkan beg plastik itu di atas meja kecil di tepi katil Riana. Dia duduk di atas kerusi semula. Memandang ke arah wanita yang sedang bersandar di muka katil itu.
            “Err.. macam mana kau tahu aku masuk hospital ni?” tanya Riana ingin tahu.
            “Siapa lagi, boyfriend kesayangan kau la..” jawab Eza cuba mengusik.
            “Hairie?” teka Riana ingin tahu.
            “Ya la cik adik sayang oi.. Hairie la yang call aku tadi.” angguk Eza. Tersenyum menggeleng.
            “Oh..” Riana mengangguk perlahan. Fikiran seakan berserabut seketika.
            “Dia tu baik, kan? Bunyi macam sedih aje tau, bila dia kata kau masuk hospital tadi.” kata Eza tersenyum. Lagak teruja menceritakan saat-saat Hairie menghubunginya sebentar tadi. Suasana diam seketika. Kata-kata Eza itu tidak dibalas Riana. “Hai.. kau ni dah kenapa? Kau tengah fikir apa pulak tu?” tanya Eza aneh melihat raut wajah Riana itu. Seakan sedang risaukan sesuatu.
            Riana mengeluh perlahan. “Entah la, Eza. Aku macam rasa orang lain la yang bawa aku ke hospital ni pagi tadi.” luah Riana sambil memandang ke luar jendela. Cuba memberitahu kekeliruan yang dihadapi.
            “Eh! Bukan Hairie ke?” tanya Eza. Mula rasa aneh.
            “Entah la..” geleng Riana tidak tahu.
            “Habis tu kau rasa siapa? Khairul?” teka Eza kerana tahu dua lelaki itu sahajalah yang sentiasa menjadi perbualan di antara dia dan Riana semenjak dua tiga bulan ini.
            “Mungkin dia..” balas Riana tidak berapa pasti. Agak lama juga dia tidak bertemu dengan Khairul. Diri terasa rindu dengan sahabatnya itu.
            “Mungkin perasaan kau tu aje kut. Riz kata apa?” tanya Eza. Mengaitkan Rizman dalam persoalan ini pula.
            “Hairie yang bawa aku ke sini.” balas Riana dengan nada perlahan. Seolah-olah mencurigai kata-kata adiknya itu sendiri.
            “See? Riz sendiri pun kata Hairie yang bawa kau datang sini. Tak kan la si Riz tu nak tipu kau. Dah la, jangan la fikir sangat benda ni. Apa yang penting sekarang ni, aku nak kau rehat cukup-cukup, okey?” pesan Eza ikhlas. Kembali tersenyum ceria. Tidak mahu melayan rasa kurang enak di hati Riana itu.
            “Okay. Thanks Eza.” Riana tersenyum memandang Eza. Dia juga berharap sangkaannya itu tidak benar sama sekali. Tidak mahu dari terus bermain-main dengan perasaannya sendiri.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
MASA melawat telah tamat. Eza telah lama pulang dan kini Rizman kembali menemani kakaknya di wad tersebut kerana esok dia tidak mempunyai kertas soalan peperiksaan yang diambil. Esok pagi kakaknya itu akan keluar wad kerana telah mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya. Termasuk surat cuti kesihatan yang diterimanya.
            Rizman memandang raut wajah Riana yang sedang lena berbaring di atas katil. Dari kecil wajah itulah yang sentiasa ditatap dan menjaganya selepas kematian kedua-dua insan yang tersayang. Ingatannya kembali kepada Khairul Faiz, kawan kakaknya itu selepas dia dihantar oleh lelaki itu ke sekolah pagi tadi.
            “Riz..” panggil Khairul setelah keretanya berhenti di hadapan sekolah. Kelihatan ramai ibu bapa yang sedang sibuk menghantar anak mereka ke sekolah.
            “Ermm.. ya Abang Khairul?” balas Rizman terkejut namanya dipanggil sebelum dia bertindak ingin membuka pintu kereta Honda CR-V milik lelaki itu.
            “Abang nak Riz rahsiakan pasal hal ni, ya?” pinta Khairul lembut. Tersenyum kelat memandang Rizman.
            Rizman jadi hairan. Tidak faham. “Maksud Abang Khairul?”
            “Jangan beritahu Kak Riana, abang yang hantar dia ke hospital tadi, ya?” pesan Khairul lagak bersungguh-sungguh.
            “Tapi kalau akak tanya?” tanya Rizman ingin tahu.
            “Riz cakap aje Abang Hairie yang hantar.” jawab Khairul bernada lembut.
            Rizman terdiam seketika. “Ermm.. baiklah Abang Khairul, Riz pergi dulu, ya?”
            Rizman tersedar dari lamunan. Persoalan yang muncul di dalam benaknya kini ialah kenapa Khairul mahu dia merahsiakan pertolongan ikhlas itu daripada pengetahuan Riana. Bahkan lelaki itu mahu nama lelaki lain disebut sebagai penyelamat kakaknya. Mungkinkah sesuatu telah berlaku antara lelaki itu dan kakaknya? Fikirnya dalam!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“AWAK, terima kasih sebab tolong bawa saya pergi hospital pagi semalam dan terima kasih jugak sebab tolong hantarkan Riz pergi sekolah sekali. Kalau tak ada awak, tak tahu la macam mana.” ucap Riana memerhati Hairie di tempat duduk di sebelahnya. Sedang asyik memandu kereta menuju ke rumahnya untuk menghantar dia dan Rizman pulang.
            “Err.. Oh ya. Sama-sama.” Hairie mengangguk perlahan. Tersenyum kelat. Terasa hangat di hati muncul kembali. Ucapan dua terima kasih wanita itu sebenarnya bukan untuk dia tetapi untuk lelaki lain. Mahu sahaja dia memutarbalikkan masa supaya lelaki yang membantu Riana pada pagi itu bukan Khairul Faiz tetapi dia, Hairie Azmin!
            Riana berfikir sejenak. “Hmm.. okey.. So apa kata kalau saya belanja awak makan kat rumah saya malam ni? Saya masak special untuk awak, awak tak boleh tolak tau?” kata Riana tersenyum senang hati. Memerhati Hairie yang sedang leka memandu itu.
            “Okey. Saya okey aje.” balas Hairie tersenyum dengan gelagat Riana itu. Sedikit mencuit hatinya. Dia kembali fokus pada pemanduannya.
Pada masa yang sama, Rizman yang sedang berada di tempat duduk belakang hanya memerhati geram sejak dari hospital lagi. Geram melihat lelaki yang dirasakan telah menipu kakaknya itu. Benci pula mula masuk campur.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
‘TIK! Tik!’ Bunyi mesej masuk kedengaran di telefon bimbit Rizman. Mengejutkan dia yang sedang mengulang kaji pelajaran untuk subjek seterusnya yang bakal diambil.
‘Riz, Kak Riana dah keluar wad?’ < Abg Khairul >
‘Dah. Ptg tadi. Abg nak dtg sini ke jumpa Kak Riana?’ < Riz >
Rizman membalas mesej Khairul walaupun lagak mulanya seakan ingin menghubungi lelaki itu. Namun niatnya hanya terdetik di hati.
‘Riz jgn ckp yg abg tanya ni ok? Good luck for your SPM. Do the best k my little bro. I know u can do it! ^^’  < Abg Khairul >
Rizman jadi buntu. Soalan pada mesejnya tidak berjawab. Seakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh lelaki bernama Khairul Faiz itu. Dia segera melangkah keluar dari kamar tidurnya. Riana yang sedang khusyuk memotong sayur di ruangan dapur menjadi permerhatiannya seketika. Pasti tidak sabar untuk menyambut kehadiran lelaki hipokrit itu ke rumahnya pada malam ini. Bibir terasa ingin benar memberitahu hal sebenar kepada kakaknya itu tetapi apakan daya, janji terucap tidak mampu diingkarinya apabila jelas terpancar sinar gembira di wajah pemangku gelaran ketua keluarganya itu.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“BANYAKNYA awak masak malam ni.” kata Hairie lagak teruja melihat masakan yang disediakan oleh Riana di atas meja itu. Pelbagai jenis lauk-pauk.
“Tak adalah. Biasa-biasa aje ni. Awak makan la banyak-banyak, ya?” Riana tersenyum gembira sambil mencedokkan nasi masuk ke dalam pinggan Hairie.
Hairie menggeleng seketika. “Awak ni.. Ingat,  rehat tu kena jaga..” pesan Hairie lagak serius seketika.
“Yes boss!” Riana membalas dengan senyum manis di bibir. Tangan diangkat sebentar lagak sedang bertabik hormat.
Hairie tersenyum indah melihat Riana yang kelihatan gembira. Rizman pula hanya menyantap makanannya. Tidak berminat ingin melihat kemesraan yang terpancar di antara kakaknya dan lelaki itu.
Suapan terakhir masuk ke mulut Rizman. Kerusi yang diduduk ditolak ke belakang membuatkan Riana dan Hairie pandang ke arahnya serentak.
“Eh! Riz, kejapnya makan?” tanya Riana. Tidak seperti kebiasaannya. Kenal benar dengan sikap adiknya itu. Pasti tambah kali kedua jika makan malam.
“Ha ahh.. Riz, tak nak tambah lagi, ke?” sampuk Hairie. Ingin juga tahu.
Rizman yang telah berjalan ke arah sinki terdiam seketika. Tangan dibasuh perlahan. “Riz dah kenyang, kak. Riz nak pergi depan kejap. Tengok TV.” balas Rizman selamba. Tidak membalas pandangan Hairie itu.
Riana mengangguk mengerti. Membiarkan Rizman berlalu ke hadapan.
“Riz macam tak suka saya aje..” luah Hairie seakan sedar dari hospital lagi lelaki muda itu lagak bersikap dingin dengannya.
Riana pandang ke arah Hairie seketika. “Isy.. kenapa cakap macam tu? Tak adalah. Maybe dia stress sikit kut. Ya la.. Orang ambik SPM. Macam kita masa muda-muda dulu la, kan?” balas Riana cuba berjenaka. Bibir tersenyum kelat. Walaupun jauh di sudut hatinya, dia mengeyakan apa yang diberitahu Hairie itu. Malah terlalu terdedah reaksi adiknya itu setiap kali bertemu dengan Hairie. Hairan sungguh!
Hampir sejam berlalu, Hairie melangkah ke ruang tamu apabila telah selesai makan malam bersama Riana. Sedangkan Riana masih berada di ruang dapur. Mengemas dapur seketika. “Tengok cerita apa ni?” tanya Hairie sebelum duduk di sofa sebelah Rizman. Sengaja ingin merapatkan hubungannya bersama lelaki muda itu. Rizman pula hanya memandang ke hadapan. Menonton drama orang barat yang sedang ditayangkan di kaca televisyen. Tidak ambil peduli dengan pertanyaan Hairie itu. “Err.. soalan paper Sejarah semalam macam mana? Dapat jawab?” tanya Hairie tukar soalan. Sedar soalan pertamanya tidak berbalas.
Rizman kalih pandang Hairie. Memerhati lelaki itu tajam. Soalan yang diutarakan seakan menganggu hidupnya. Dia melepaskan keluhan sinisnya seketika dan bangun berlalu masuk ke dalam biliknya. Meninggalkan Hairie bersendirian di situ. Hairie pula jadi terpinga-pinga sebentar.
Riana muncul di ruang tamu setelah kerjanya di dapur telah selesai. “Awak, ini ada pencuci mulut sikit. Saya buat tadi. Rasa la.” jemput Riana sambil meletakkan sepiring puding ke atas meja ruang tamu. Dia melabuhkan pinggul duduk di sofa. Berhadapan Hairie.
“Terima kasih. Buat susah-susah aje la awak ni.” kata Hairie sambil menarik puding itu dengan sudu yang tersedia. Tersenyum sebentar.
“Err.. Riz mana awak?” tanya Riana ingin tahu. Mengintai ke luar halaman sebentar bila pasti adiknya tiada di situ.
“Err.. dia masuk bilik agaknya.” teka Hairie tersenyum kelat.
Riana hanya mengangguk faham. Mata memandang ke televisyen. Hairie pula menyudu masuk puding itu ke mulut. Mengunyah perlahan. Masih memikirkan soal adik teman wanitanya itu. Mesti sedang memendam geram dengannya. Hati mula rasa risau kembali.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“OKEY Riana saya balik dulu, ya?” kata Hairie setelah bersedia ingin memandu pergi keretanya.
“Okey hati-hati.” pesan Riana mengangguk faham.
Hairie berhenti seketika. Pandang Riana lagi. “Ingat ya? Lepas sembuh baru masuk kerja, ya?” kata Hairie. Ulang kata sekali lagi.
“Yes boss.. Saya ingat.” Riana mengangkat tangan seketika. Lagak bertabik hormat.
“Tapi jangan lama sangat..” balas Hairie bernada manja pula.
Riana kerut dahi. “Kenapa?” tanya Riana. Lagak aneh.
“Saya takut.” balas Hairie masih bernada sama.
“Takut? Kenapa nak takut pulak ni?” soal Riana tertawa kecil sebentar. Dahinya bertambah kerut.
“Takut nanti saya rindukan awak lagi.” balas Hairie bernada nakal pula. Tersenyum lebar.
“Awak ni ada-ada aje la.. Hati-hati okey?  Drive safely.” ucap Riana tersenyum manis.  Berpesan sahaja di bibirnya. Tangan melambai ke arah kereta Hairie yang meluncur pergi. Dia pandang semula ke dalam rumah. Risau dengan perubahan sikap Rizman sebentar tadi itu. Seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuannya.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
PINTU ditolak perlahan. Kelihatan lampu meja masih dibuka dan Rizman telah berbaring di atas katil. Riana tersenyum sebentar. Tahu benar perangai adiknya itu yang pasti lagak terlalu penat. Mungkin kerana seharian menjaganya di hospital selepas pulang daripada sekolah. Riana merapati katil Rizman. Dia membetulkan selimut yang lagak tidak kemas di atas badan adiknya itu. Kaki melangkah pula ke meja tulis adiknya setelah terpandang gambar mereka sekeluarga diletak kemas di situ. Kenangan 10 tahun lalu menjelma kembali ke dalam ingatannya. Saat suka dukanya bersama dengan ibu dan ayah. Air mata setitis mengalir di hujung matanya. Segera dikesat.
Rizman yang berpura-pura lena hanya memerhati jauh. Terasa sedih. Pasti kakaknya itu terkenangkan kenangan bersama arwah ibu dan ayah. Walaupun saat itu hanya separa sedar diingatinya kerana ingatannya amat mentah. Dia juga rindu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~