1 Mei 2011

~Bab 14~

         “RIANA..” panggil Kak Syida yang sedang sibuk menyemak sesuatu di dalam failnya. Buat Riana kalih pandang ke arahnya dari terus meneliti data di komputer meja kerjanya.
            Riana mula bangun dan menghampiri meja Kak Syida. “Ya Kak Syida, ada apa?” tanya Riana. Menanti wanita itu terus berbicara.
            “Tolong akak hantarkan fail ni kejap. Letak kat atas meja bakal suami kamu tu, ya? Terima kasih.” usik Kak Syida tersenyum nakal sambil menghulurkan fail berwarna putih yang dipegangnya.
            “Isy Kak Syida ni, jangan la cakap macam tu lagi. Malu saya.” kata Riana lagak tarik muka mendengar usikan nakal wanita itu. Tangan mengambil fail tersebut. Bibir pula tetap mempamerkan senyuman manis.
Semua kakitangan di Syarikat Gema Holding itu telah tahu yang Hairie dan Riana sedang hangat bercinta. Berita ini bukan dari mulut Riana tetapi dari mulut kekasihnya itu sendiri. Sengaja dihebahkan kepada semua sampaikan Kak Piah, tukang sapu syarikat tersebut juga disampaikan berita itu. Terlalu gembira katanya apabila disoal. Ramai yang terkejut mendengar khabar berita tersebut termasuk Nadia yang pernah menyangkakan Hairie sedang bercinta dengan Melissa.
            Hairie tiada di syarikat ketika ini kerana telah keluar atas urusan kerja selepas balik dari makan tengah hari bersamanya. Riana melangkah masuk ke dalam bilik Hairie. Dia meletakkan fail yang dipegangnya ke atas meja lelaki yang telah mencuri hatinya itu. Riana mengukir senyuman dibibir tatkala terpandang sebingkai gambar lelaki itu yang kelihatan segak memakai kot. Memang wajah lelaki itu seiras pelakon drama televisyen. Mana mungkin wanita lain tidak cair menatap wajah itu. Riana cuba pula menyusun fail-fail yang kelihatan berselerak sedikit di atas meja itu. Mungkin Hairie tidak sempat mengemas kembali fail-fail tersebut kerana tergesa-gesa menghadiri mesyuarat yang diadakan di saat-saat akhir itu. Fikirnya sendiri. “Hairie.. Hairie.. macam mana la awak tak selalu pening kepala. Tengok bilik awak ni aje pun, saya dah pening.” ngomel Riana sendiri sambil tangan ligat mengemas. Bibir tersenyum sendiri.
            Laci-laci meja pula dibuka satu persatu. Fail yang ada disusun teratur namun sedang dia membuka laci ketiga, kelihatan secebis kertas seakan dikoyak-koyak oleh seseorang yang gamaknya sedang melepaskan geram. “Khairul Faiz Datuk Kamil?” Riana terpaku sebentar apabila terpandang nama itu tertulis bersama dengan tandatangan di atas cebisan kertas yang dipegangnya. Cebisan bahagian bawah kertas yang agak besar. Soalan satu demi satu mula muncul di mindanya. Sebelum ini Khairul tidak pernah pula memberitahunya yang syarikat tempat kerjanya ada atau pernah menjalankan perniagaan usaha sama dengan Syarikat Gema Holding selain hanya menjadi salah seorang ahli yang bertanding untuk mendapatkan Projek Mega Tiga, Syarikat Delima. Apakah sebenarnya status diri Khairul di Syarikat Suria Trading? Apa kaitannya Khairul dengan Hairie? Tetapi kenapa pula kertas itu dikoyak-koyak? Persoalan demi persoalan mula mengganggu fikirannya. Rasa ingin tahu kian timbul di dalam hati.
Riana segera meraba-raba ruangan dalam laci tersebut sekiranya terdapat lagi cebisan kertas selebihnya. Benar tekaannya, terdapat beberapa lagi cebisan kertas yang masih belum disentuh. Dia mengumpulkan semua cebisan kertas yang dijumpainya itu di atas meja lalu segera mencantumkan kesemuanya satu per satu. Mata mula meneliti dan hati mula membaca. Wajahnya tiba-tiba berubah. Dari rasa INGIN tahu menjadi rasa MESTI tahu. Mula timbul segala perasaan yang kurang enak di dalam hati setelah satu demi satu ayat yang tertulis teratur di kertas itu dibacanya pantas. Kiri ke kanan. Dari baris pertama hingga ke baris terakhir surat perjanjian yang agak tidak masuk akal itu dilihat oleh anak mata kasarnya. Dia segera keluar dari bilik itu. Membawa keluar cebisan kertas yang dikumpulnya bersama.
            Kak Syida sekilas memerhati Riana yang keluar dengan lagak geram itu. Tidak terlintas di hatinya untuk menyoal kerana sedang berada di dalam talian bagi menjawab panggilan daripada pelanggan lama syarikat itu.
Riana melangkah ke meja kerjanya sebentar. Dia mengambil beg plastik kecil yang ada di dalam laci lalu memasukkan kesemua cebisan kertas yang dipegang itu ke dalamnya. Riana menarik beg tangannya pula dan memasukkan beg plastik yang terkandung cebisan-cebisan kertas yang telah menimbulkan kelukaan di hati ke dalam isi beg. Wajahnya tiada langsung garis-garis gembira mahupun senang hati. Yang ada hanya rasa kecewa dan terluka kerana diperlakukan sedemikian rupa tanpa dia sedar selama ini. Dia segera berlalu keluar daripada syarikat itu tanpa memandang ke arah sesiapa pun. Melangkah laju.
            “Riana. Riana, Eh! nak pergi mana tu?” soal Kak Syida aneh melihat tingkah laku drastik Riana itu. Tangan masih memegang ganggang telefon.
Riana terus sahaja melangkah tanpa memaling ke arah Kak Syida yang sedang memanggil namanya itu. Dia mesti perlu tahu setiap jawapan untuk setiap persoalan yang kian menghimpit fikirannya kini. Mesti!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“SYIDA, Riana mana?” tanya Hairie setelah menghampiri meja Kak Syida. Wajah wanita bertakhta di hati yang sentiasa mengisi pandangannya setiap hari sebelum melangkah masuk ke dalam bilik pejabat tidak kelihatan di mata seperti pagi tadi.
            Kak Syida segera bangun. “Err.. Riana?” ulang tanya Kak Syida lagak terpinga-pinga seketika bila diajukan soalan sebegitu. Hati jadi gementar.
            “Kenapa ni?” tanya Hairie lagak aneh.
            Kak Syida mula telan air liur. Pandang Hairie tepat. “Err.. tak tahu la saya Encik Hairie. Tadi lepas dia keluar dari bilik Encik Hairie hantarkan fail, dia terus pergi. Saya ada panggil tapi dia jalan terus aje. Saya ada tanya staf lain tapi mereka pun tak tahu Riana ke mana.” jelas Kak Syida panjang lebar. Bernada risau dengan tindakan melulu Riana hampir 15 minit yang lalu.
            “Bilik saya?!” Hairie tersentak. Segera menangkap perkataan itu.
            “Ya Encik Hairie.” angguk Kak Syida pantas. Itulah yang dikatanya.
            Hairie segera bergegas masuk ke dalam biliknya. Dia mengharapkan apa yang muncul di fikirannya tidak benar sama sekali. Pantas dia mendekati mejanya lalu dibuka laci ketiga. Tiada! Dia cuba membuka laci pertama, kedua dan keempat kerana fikir dia mungkin tersalah letak, juga Tiada! “Mungkinkah Riana dah..” Hatinya berbisik deras. “Tidak!” geleng Hairie pantas. Segera berlari keluar dari biliknya itu. Dia bergegas ke arah keretanya. Memandu laju hanya ke satu destinasi yang ingin dituju iaitu Syarikat Suria Trading. Di dalam hati, dia berdoa agar wanita yang dicintainya sepenuh hati itu tidak seperti sangkaannya sekarang. Tidak!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
PINTU bilik dibuka tiba-tiba tanpa diketuk. Riana yang kelihatan dihalang oleh Suzy terpancul di situ. Bikin situasi di ruangan muka pintu itu sedikit cemas.
“Encik Faiz, maaf saya dah cuba halang tapi cik ni..” kata Suzy memandang Khairul sambil tangannya lagak memegang lengan Riana yang sedang memegang tombol bilik itu. Dia telah melangkah kaki masuk ke situ.
            “Its okay Suzy, awak boleh keluar.” Khairul tersenyum faham memandang Suzy. Dia memandang pula ke arah wajah Riana yang berada di hadapannya. Lagak wajah orang ingin mengamuk.
Suzy segera melepaskan lengan Riana. Dia mengangguk mengerti. “Baik Encik Faiz.” kata Suzy menutup pintu bilik itu. Membiarkan mereka berdua yang lagak tegang itu berada di dalam bilik tersebut.
            “Riana, lama dah saya tak jumpa awak. Awak apa khabar? Err.. kenapa awak datang sini?” tanya Khairul tersenyum tenang seolah-olah dia tidak perasan wajah di hadapannya itu sedang merenungnya tajam. Tembelang status dirinya selama ini telah pecah. Dia masih kekal duduk di kerusinya. Rindu dia yang semakin menebal sejak beberapa minggu ini terubat jua tatkala wajah itu dipandangnya.
            Riana merapati meja Khairul. Dia sempat memandang ke arah tanda nama yang diletakkan di atas meja lelaki itu. Tertulis nama ‘Khairul Faiz Datuk Kamil’ dengan jawatan ‘Pengurus Besar Syarikat Suria Trading’.
“Khairul Faiz Datuk Kamil. Wow!”  Riana menyebut nama itu satu persatu. Tersenyum sinis sebentar. Lagak menyindir. Kepala mula mengangguk faham. Beberapa kali. Mata terpandang pula sebingkai gambar besar Khairul yang segak berpakaian kot hitam dan juga bingkai gambar lelaki itu memakai baju jubah. Tertulis ‘Penghargaan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM)’. Kedua-duanya tergantung cantik di muka dinding. Rupa-rupanya selama ini dia telah dibohongi dengan status sebenar diri Khairul. Anak pemilik Syarikat Suria Trading. Bukanlah sebagai Penolong Kanan yang seperti diberitahu pada awal perkenalan mereka berdua dahulu.
“Riana, awak dengar dulu apa yang saya nak kata, ya? Saya cuma..” Khairul yang bangun berdiri cuba ingin berkata sesuatu tetapi terhenti tatkala melihat Riana yang lagak ingin melakukan sesuatu pula.
Riana mengambil sesuatu dari dalam beg tangannya. Meletakkan beg plastik kecil ke atas meja tersebut dengan pantas. “Saya nak awak jelaskan pada saya tentang ni sekarang jugak!” bentak Riana geram. Nada kasar. Anak matanya tidak beralih dari terus merenung tajam Khairul. Mencari sinar mata kebenaran.
            Khairul terpaku. Terkejut mendengar nada suara Riana itu. Itulah kali pertama dia mendengar suara Riana yang agak kasar itu. “Apa ni?” Khairul cuba mencari jawapan di sebalik soalannya sendiri. Tidak pasti kenapa pula beg plastik kecil itu diletakkan di atas mejanya sedangkan isunya sekarang hanya perbohongan status diri di bibirnya. Perlahan-lahan dia membuka ikatan pada beg plastik kecil itu. Mata pula melihat setiap isi kandungan yang tertulis pada salah satu cebisan kertas itu. Wajahnya tiba-tiba berubah tetapi sengaja dia kelihatan tenang. Tahulah dia kenapa wanita di hadapannya itu kelihatan marah. Bukan hanya marah kerana status dirinya tetapi marah dengan semua yang terjadi.
            “Apa semua ni? Apa sebenarnya hubungan awak dengan Hairie? Surat apa ni?” tanya Riana yang masih bingung. Ingin mendapatkan jawapan dengan segera. Tidak mahu dia terus berteka-teki. Tidak mahu!
            Khairul melepaskan keluhan kecilnya seakan memerli. Kemudian dia kembali duduk ke kerusinya dengan disusuli senyum di bibir. Riana hanya memerhati gerak balas lelaki itu. Masih menanti jawapan.
Beberapa saat berlalu, tiba-tiba Khairul ketawa terbahak-bahak seperti lagak orang hilang akal. Buat Riana kerut dahi. Dia aneh dengan perubahan mendadak lelaki itu. Yang diberi tidak seperti yang dipintanya. “Kenapa awak ketawa? Apa yang kelakarnya hah?” tanya Riana makin geram. Tidak faham.
            “Ya. Mungkin bagi awak tak kelakar langsung. Tapi bagi saya, that’s so funny. Very funny, Riana.” Khairul masih lagak ketawa.
            “Apa maksud awak, Khairul? Saya tak faham.” tanya Riana masih tidak dapat meneka apa yang sedang Khairul cuba tonjolkan padanya itu.
            Khairul menggeleng kepala pula. “Riana.. Riana, macam mana awak nak faham. Saya belum jelaskan apa-apa pun lagi ni. Harap sabar, ya?” pinta Khairul yang telah mula berhenti dari ketawa seperti orang gila itu. Dia menarik salah satu laci di mejanya lalu menarik pula keluar sebuah fail yang berwarna biru muda. Dia memandang semula ke arah Riana yang sejak dari tadi lagi memerhati tingkah lakunya itu. “Awak pasti nak tahu hal sebenar?” tanya Khairul yang masih kekal dengan senyuman sinisnya itu. Lagak ingin memberi kata dua kepada Riana.
            Riana hanya memandang tajam. Tidak diangguk malah tidak pula digelengnya. Hanya menanti lelaki di hadapannya itu menjelaskan segala kekeliruan yang kian memenuhi mindanya. Cukup keliru!
            “Saya ingat saya nak teruskan semua ni. Tapi saya dah penat.. penat sangat Riana.” Khairul mula berbicara lembut. Lagak ingin meluahkan rahsia yang tersimpan di hati. Perkataan ‘penat’ yang disebut juga diseli dengan dengusan kuat. Mendatar saja. “Surat tu..” Jari Khairul menunding ke arah beg plastik kecil yang masih kekal di atas mejanya itu. “Bukan surat perjanjian yang original. Ini..” Tangan yang masih memegang fail yang sebentar tadi dikeluarkannya diangkat sebentar. “Fail ni terkandung surat perjanjian antara saya dengan teman lelaki awak, Hairie Azmin yang original.” kata Khairul dengan lagaknya. Mula membuka fail di tangannya itu. “Ermm..okey biar saya bacakan, ya?” Bibir Hairie mula membaca. Kuat. Sesekali dia memandang Riana dengan senyuman sinis.
            “Surat perjanjian antara Encik Khairul Faiz Datuk Kamil daripada Syarikat Suria Trading iaitu saya, dan Encik Hairie Azmin Datuk Haikal daripada Syarikat Gema Holding iaitu teman lelaki awak.” Tunding jari Khairul ke arah Riana tepat lalu menyambung baca. “Encik Hairie hendaklah menarik diri daripada bertanding di dalam Projek Mega Tiga, Syarikat Delima. Kenyataan tersebut perlu dipatuhi seperti yang dikhendaki. Dengan syarat Cik Riana Akma Rashid, pekerja yang sedang bekerja di Syarikat Gema Holding tidak akan saya sakiti atau dikasari dan setelah keputusan pertukaran hal milik Projek Mega Tiga diumumkan, saya akan melepaskan Cik Riana Akma kembali kepada yang berhak iaitu Encik Hairie Azmin. Tandatangan persetujuan, Encik Hairie Azmin sign and seems he agreed with my conditions.” Satu persatu ayat yang terdapat di kertas perjanjian yang pernah ditandatangani Khairul dahulu dibaca kembali. Setiap baris kata di dalam surat perjanjian itu masih segar di dalam mindanya untuk disebut semula pada hari ini. Cuma terdapat satu perkara sahaja yang diubah di bibirnya bila membaca sebentar tadi iaitu nama. Sengaja dia menukar namanya yang tertulis kepada nama Hairie dan nama Hairie digantikan dengan namanya termasuk tandatangan yang diturunkan. Membuat Riana fikir surat yang dibaca Khairul itu adalah surat yang dikeluarkannya untuk lelaki bernama Hairie Azmin. Bukan sebaliknya.
Selepas selesai membaca, Khairul menutup fail tersebut dengan kuat lalu diletakkan di atas meja. Dia memandang semula ke arah Riana yang benar-benar terluka dan kecewa mendengar kata-kata itu. Jauh di sudut hati dia tidak mahu meneruskan kata-kata itu namun dia perlu. Perlu untuk melakukan sesuatu demi mempertahankan cinta Riana bersama Hairie.
            Air mata Riana mula bermain-main di kelopak mata namun dia perlu kuat menahan sehabis mungkin daripada ia berlari turun menyentuh pipi. Apa yang didengarnya sebentar tadi hanyalah barisan ayat yang sama seperti ayat yang dibacanya di dalam cerbisan surat itu. Dia masih mahu menanti untuk diperjelaskan dengan lebih mendalam lagi tentang apa yang berlaku selama ini. Sesungguhnya dia tidak faham kenapa ini semua terjadi dan mengapa surat itu boleh wujud.
            “Dah dengar semua tu? Jadi biar saya terangkan dengan lebih jelas satu persatu ya Cik Riana Akma Rashid?” Khairul mula bangun dan mendekati Riana. Mata merenung sindir wanita itu. Sebelah tangan pula dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. Cuba untuk berlagak angkuh. Sehabis boleh! “Sebenarnya saya tak berniat langsung nak berkawan dengan awak. Jauh sekali nak jadi kawan rapat awak. Awak ingat lagi tak Kedai Buku Hasani? Tempat pertama kali kita bertemu tu. Saya yang upah gadis cashier tu, supaya dia melakukan kesilapan semasa bagi plastik buku yang awak beli tu. Saya buat semua tu sebab saya nak ada pertemuan di antara kita berdua. Dan Maria Akila, alasan saya gunakan dia untuk saya jadi lebih rapat dengan awak.. supaya segala urusan Syarikat Gema Holding, dengan mudah saya dapat tahu.”
“Oh ya kak. Maaf la kak, tadi pagi adik tersilap bagi buku dan ni ada nota dari lelaki yang tertukar buku dengan akak pagi tadi tu. Dia tulis, suruh adik bagi kat akak.”
“Err.. okey. Macam ni Riana, saya sebenarnya ada la sukakan seorang perempuan ni. Tapi saya tak tahu macam mana nak mula.”
“Ermm.. boleh saya tahu siapa nama perempuan tu?”
            “Maria Akila.”

“Kenapa Kak Syida?”
“Tak ada.. ni haa.. Projek Mega Tiga yang syarikat kita bertanding tu tak dapat ke tangan syarikat kita la, Riana..”
“Oh ya ke? Habis tu dapat kat syarikat mana?”
“Ermm.. kejap Kak Syida check, ya?.. Dapat kat Syarikat Suria Trading.”

“Ya, betul tu.. Tak apa. Saya tak kisah dah pasal projek tu. Dah bukan rezeki kita, kan? Tapi asalkan saya dapat bersama dengan awak, Riana. Itu dah lebih bermakna bagi saya. Cukup bermakna.”

            Pada masa yang sama Riana teringat kembali semua peristiwa yang dikatakan Khairul itu. Khairul pula kembali ke mejanya. Masih memandang Riana dengan riak wajah sinisnya. “Is that so easy.. Riana, saya hanya mempermainkan awak and I did! Riana, your are my problem solver actually. Thank you so much kawanku.” tambah Khairul lagi dan disulami dengan gelak tawa yang hanya menyakitkan hati insan di hadapannya itu. Kata-kata Khairul penuh dengan ayat yang memilukan. Pilu bagai diri tertusuk sembilu.
            Air mata Riana akhirnya menitis jua di pipi tanpa dia dapat menahan lagi. Kata-kata Khairul itu cukup kuat untuk membunuh perisai pertahanan kelopak matanya. Bilik itu dihantui dengan kesunyian secara tiba-tiba.
            ‘Tap! Tap! Tap!’
            Tepukan beberapa kali dari kedua-dua belah tapak tangan Riana kedengaran kuat di ruangan bilik pejabat itu. Memecah kesunyian yang tiba-tiba terjadi di antara mereka berdua. Khairul yang terdiam seketika kembali memandang Riana dengan wajah tenang. Setenang yang boleh.
            “Tahniah Encik Khairul Faiz Datuk Kamil. Tahniah. Awak berjaya.. awak berjaya mempermainkan saya. Tahniah!” ucap Riana jelas kedengaran di cuping telinga Khairul yang setia memandangnya itu. Tidak sedikit pun matanya berkebil. Air mata masih menitis. Makin laju. Bibirnya pula jadi terketar-ketar. “Tadi masa saya baca surat tu, saya ada kata dalam hati. Saya kata, It’s okay, Riana.. Khairul tak bersalah. Mungkin Khairul terpaksa.. Mungkin Hairie yang paksa dia buat semua ni. Tapi bila awak.. awak baca surat perjanjian bodoh awak ni sekali lagi. Baru saya tahu bertapa bodohnya diri saya pada awak, kan?” sambung Riana lagi dengan sebak buat jiwa Khairul makin terseksa. Terseksa mendengar tuduhan itu pula.
Riana segera menapak ingin berlalu keluar dari bilik itu. Buat tangan Khairul ingin diangkat menghalang gerak pantas wanita itu. Namun tangannya lagak dikawal ketat oleh akal yang tidak mahu menganggu wanita itu lagi. Biar pergi secepat mungkin.
Langkah Riana terhenti seketika tatkala tombol pintu bilik itu dipegang. Tidak jadi memulas. Badan pula masih lagak membelakangi Khairul. Masih ada yang ingin diucapkan di bibirnya untuk lelaki itu. “Saya jugak nak ucapkan terima kasih pada awak. Terima kasih kerana selama ini awak ada di saat saya perlukan awak.. awak banyak bantu saya, sanggup dengar luahan hati saya, berkongsi cerita dengan saya dan yang paling penting, terima kasih kerana sudi menyamar sebagai kawan baik saya. Tahniah Encik Khairul Faiz. Tahniah sekali lagi saya ucapkan, kerana awak telah berjaya dapat apa yang awak nak. Tahniah.”
            Entah berapa kali ucapan tahniah dan terima kasih di bibir Riana terucap. Nada sebak mengungkapkan kata-kata itu jelas kedengaran di bibirnya. Tersedu-sedu. Dia pantas memulas tombol pintu dan menapak keluar dari bilik itu. Sebelah tangan pantas menakup mulutnya agar suara tangisannya itu tidak didengari oleh sesiapa sahaja yang ada di situ. Dia meninggalkan lelaki yang sanggup mempermainkan hati dan perasaannya itu. Dia tertipu dengan lagak dan gaya lelaki yang disangka sebagai sahabat baik untuknya selama ini.
Johan yang sedang berbual dengan Suzy tersentak tiba-tiba apabila terpandang Riana yang hanya melangkah melepasi mereka berdua dengan hiba. Johan mula melangkah laju menerjah masuk ke dalam bilik Khairul yang pintu biliknya hampir terbuka luas itu. “Pasti sesuatu dah berlaku antara perempuan tu dengan kawan aku ni..” detus hatinya pantas dan berlalu melangkah masuk ke dalam bilik pejabat Khairul. “Khairul...” tegur Johan perlahan apabila terpandang Khairul yang masih berdiri di meja. Sedang memeram rasa yang hanya tunggu masa untuk meletus.
“Aaaaaaahhhhhhhhhh!!!!” Khairul akhirnya menjerit geram sambil melempar kasar fail biru muda yang berada di atas meja ke dinding yang berdekatan dengan ruangan sofanya. Dia terduduk di sisi mejanya. Menyandar perlahan. Dia menghembuskan nafasnya beberapa kali dan bunyi hembusan tersebut dapat didengar jelas di telinga Johan yang hanya menjadi penonton aksi tersebut.
Khairul masih kekal di situ. Hanya memandang fail yang dilemparnya itu. Habis bertaburan dokumen-dokumen perniagaan yang tersisip di dalam fail tersebut dan bukanlah surat perjanjian yang hanya dijadikan sebagai bukti palsu untuk memperkukuhkan tuduhan Riana kepadanya sebentar tadi. Kini hatinya benar-benar pilu dan hancur bukan kerana perbuatan kejamnya tetapi kerana ketakutannya selama ini benar-benar terjadi. Dia telah kehilangan wanita yang dicintai dalam diam itu. Bukan hanya untuk sementara tetapi mungkin buat selama-lamanya.
            Johan hanya memerhati tingkah laku Khairul. Itulah kali pertama dia melihat wajah kawannya yang begitu sedih. Hati kecilnya dapat mengagak sesuatu yang dahsyat telah berlaku di situ sebentar tadi dan mungkin lebih dahsyat daripada sangkaannya.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
HAIRIE segera keluar dari badan kereta miliknya. Dia melangkah laju masuk ke dalam Syarikat Suria Trading. Debaran di dada semakin kuat terasa tanpa mempedulikan orang di sekeliling yang seakan aneh melihat tingkah lakunya itu. Dia menanti di luar lif. Nombor tingkat bangunan yang terpapar di sebelah kanan dinding dirasakan lambat berubah. Tangan dibawa beberapa kali ke bibir. Berdirinya pun lagak serba tidak kena. Hatinya gelisah memikirkan segala kemungkinan yang berlaku. Banyak kali dia menyalahkan dirinya kerana dia terlupa untuk membuang cebisan surat perjanjian yang dikoyak-koyakkannya tempoh hari kerana kebetulan pada waktu itu setiausahanya ingin masuk ke dalam bilik untuk menghantar dokumen penting. Jadi kerana itu, dia tergesa-gesa menyumbat cebisan surat tersebut pada laci yang ketiga.
            Pintu lif dibuka.
            “Riana?” Hairie terpana melihat wajah Riana yang sedang dibasahi air mata. Sedang menahan esakan seorang diri.
            “Hairie?” balas Riana dengan nada teresak-esak sambil melangkah keluar dari lif. Merapati lelaki itu segera.
            “Riana, dengar dulu. Biar saya jelaskan.” Hairie cuba ingin berterus-terang namun pantas saja Riana mencelah katanya.
            Riana memaut tangan Hairie. “Hairie, tolong bawa saya pergi dari sini. Awak, tolong..” pinta Riana seakan merayu. Dia perlu lekas pergi dari situ untuk menyembuhkan hatinya yang telah luka kini.
Hairie terpaksa mengangguk kepala lagak faham lalu memimpin tangan Riana pergi menaiki keretanya walaupun fikirannya kini tidak tenang. Hairie memandu keretanya. Sesekali dia memandang Riana yang berada di sebelahnya itu. Sedang diam seribu bahasa. Riana hanya memandang jauh di luar tingkap. Air mata di pipi insan itu telah lama dikesat menggunakan tisu yang dihulur olehnya sebentar tadi. Dia tidak tahu ke arah mana harus dibawanya wanita itu pergi kerana dia sendiri sememangnya buntu. Adakah wanita di sebelahnya itu dapat memaafkannya atas kesalahan yang telah dilakukan, dan apa yang telah diberitahu Khairul kepada Riana sehinggakan wanita itu menitiskan air mata sulung bagi dirinya. Fikirannya sesak dengan soalan-soalan yang menerpa.
            Kereta diberhentikan berdekatan dengan suatu taman perumahan. Angin yang bertiup agak perlahan dapat menegakkan bulu roma sang manusia yang menggunakan jalan itu. Hairie memandang Riana. Sudah tiba masanya, dia perlu berterus-terang. “Riana, saya minta maaf. Saya bersalah pada awak.” mohon Hairie dengan seribu keinsafan yang diharap dengan balasan sejuta keampunan.
“Bukan salah awak Hairie, bukan salah awak. Salah saya, saya tak pandai pilih kawan. Saya tersalah pilih.” luah Riana tidak putus-putus sambil membalas pandangan Hairie. Air matanya masih tersisa di mata. Bibirnya pula seakan cuba untuk senyum.
Hairie terpana lagi. “Apa semua ni? Kenapa bukan aku yang dipersalahkan? Aku yang mulakan dulu rancangan tentang surat perjanjian bodoh tu, tapi kenapa bukan aku yang salah?!” Ingin sahaja Hairie bertanyakan soalan-soalan itu terus pada Riana tetapi hanya terdetik di hati kecilnya. Pasti ada sesuatu yang telah diperkatakan Khairul kepada Riana sehinggakan wanita itu tidak langsung menunding jari ‘Kesalahan’ kepadanya. Dia perlu tahu. Perlu!
            Untuk mencari jawapan pada soalan perlunya itu, Hairie membuat keputusan untuk bertemu dengan Khairul semula setelah menghantar Riana kembali ke keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta luar syarikat. Segala persoalan perlu diselesaikan dengan secepat mungkin.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“ENCIK Faiz, Encik Hairie Azmin daripada Syarikat Gema Holding ingin berjumpa dengan Encik Faiz sekarang.” Suzy memberitahu melalui interkom.
            “Bawa dia masuk.” balas Khairul perlahan. Dia sudah kembali tenang. Namun, kesedihan tetap masih tersisa di hatinya.
            Hairie melangkah masuk setelah dijemput ke dalam. Dia terpandang fail biru muda dan kertas yang berselerakkan di atas lantai ruangan sofa. Masih tidak dikemaskan lagi. Otaknya pula ligat berfikir. Mana mungkin fail itu terjatuh sendiri dari jarak yang jauh daripada meja yang berada di hadapannya itu. Pasti dilempar oleh seseorang. Tetapi siapakah orang itu?
“Faiz, aku nak tahu apa yang dah kau beritahu Riana pasal hal ni? Kenapa kau tak berterus-terang aje dengan dia pasal surat perjanjian itu?” tanya Hairie serius memandang Khairul yang kelihatan tenang duduk di kerusi.
            “Aku pernah kata Hairie, Riana milik kau. Hanya kau. Jadi sekarang, antara aku dan Riana dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Yang ada.. hanya hubungan antara kau dan Riana.” jawab Khairul tenang memandang Hairie. Dia perlu benar-benar redha wanita yang dicintainya telah mencintai lelaki lain dan yang pastinya bukan dirinya.
            Hairie memahami kata-kata Khairul. Sedikit rasa simpati mula timbul di dalam hatinya mendengar kata-kata sayu lelaki itu. Apa yang perlu dilakukannya selepas ini? Adakah dia perlu menyerahkan semula Riana kepada lelaki itu? “Aah! Tak mungkin! Aku jugak cintakan Riana. Kenapa aku perlu menyerah kalah?!” detus pantas Hairie menghalau rasa simpati tersebut dari terus menghempap dirinya.
            “Aku hanya nak satu saja daripada kau Hairie.” kata Khairul setelah kedua-dua mereka mendiamkan diri untuk seketika waktu. Masing-masing seakan menyusun kata.
            “Apa dia?” Hairie pantas mencelah. Takut lelaki di hadapannya itu mengenakan syarat sepertinya dahulu. Pasti parah!
            “Tunaikan janji yang telah kau janjikan pada aku dulu. Jaga Riana dengan baik. Bahagiakan hidup dia dan jangan benarkan air mata dia jatuh lagi, walaupun aku sendiri biarkan perkara tu berlaku tadi.” pinta Khairul dengan nada hiba. Mengharap hanya balasan anggukkan ikhlas daripada Hairie. Cukup sekadar itu dapat buat hatinya tenang kembali.
            Hairie mengangguk yakin. “Baik. Aku janji dengan kau, Faiz. Aku janji aku akan tunaikan janji aku tu. Err.. aku pergi dulu. Terima kasih, ya?” kata Hairie Segera keluar dari situ. Berbunga hatinya bila Riana masih kekal menjadi miliknya. Hanya untuk dia seorang!
          “Riana, bahagialah awak bersama dengan dia, Riana. Dia memang tercipta untuk awak. Dialah jodoh awak.” bisik hati Khairul cuba mengukir senyum dan hanya melihat pintu ditutup rapat oleh Hairie. Dia redha!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“RIANA, sabar okey. Percayalah cakap aku ni beb! Satu hari nanti dia pasti akan dapat balasan dengan apa yang dia dah buat kat kau ni.” kata Eza dengan nada geram. Cuba menenangkan Riana yang sedang berbaring sayu di atas katil. Dia segera datang ke rumah Riana selepas menerima kiriman mesej berbaur sedih daripada kawannya itu. Sungguh dia tidak menyangka, Riana telah dipergunakan oleh Khairul selama ini.
            Riana pandang Eza penuh. Tangannya dibawa ke dada. “Hati aku ini sakit sangat, Eza. Sakit sangat. Aku anggap dia kawan baik aku selama ini. Semuanya aku kongsi dengan dia tapi semuanya.. hanya bohong Eza. Hanya bohong.” luah Riana dengan sebak. Teresak-esak menahan tangisannya. Ingin diluah segala rasa yang ada di hati. Tidak mahu disimpan sendiri.
Eza yang memandang segera memegang lembut bahu Riana. Mengerti rasa yang dirasai wanita itu ketika ini. Pasti sangat terluka jika diri dikhianati oleh orang yang dipercayai. Seperti mana dia pernah dilukai oleh Syukur suatu ketika dahulu.
“Eza, aku ni memang bodoh, kan? Selama ini dia tipu aku, dia just menyamar jadi kawan aku aje pun aku tak sedar. Aku ni memang bodoh, kan Eza?” Riana lagak menyalahkan diri sendiri dengan apa yang terjadi itu pula. Tangan lagak memukul-mukul perlahan dadanya.
            Eza pula jadi makin risau. Segera memeluk bahu Riana. “Tak Riana. Tak. Mamat tu yang bodoh sebab buat kau macam ni. Sabar okey? Ee.. geramnya aku.. Kalau aku jumpa dia, siap la dia aku kerjakan.” detus Eza sambil mengurut-gurut perlahan belakang badan Riana. Buku lima tangan kanannya sempat menumbuk tapak tangan kirinya. Geram yang amat dengan perbuatan lelaki itu.
            Rizman yang sejak dari tadi mencuri dengar perbualan antara Riana dan Eza itu rasa lain. Seperti ada yang tidak kena. Hatinya menolak sama sekali tuduhan yang dilemparkan oleh kakaknya terhadap Khairul, lelaki yang pernah menyelamatkan kakaknya tanpa sedar itu. Seakan tidak percaya!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“KAK, minggu depan kita keluar jogging dengan Abang Khairul, nak tak?” tanya Rizman sengaja ingin menyebut soal Khairul di situ. Terasa ingin benar tahu masalah yang menimpa kakaknya dengan lelaki itu.
Riana pandang Rizman yang masih menanti dia membalas kata. “Riz, lepas ini akak tak nak Riz sebut nama Abang Khairul lagi.” pinta Riana serius. Kalih pandang semula ke arah peti televisyennya.
            “Tapi kenapa pulak? Abang Khairul kan kawan akak.” tanya Rizman lagi. Ingin benar tahu.
            “Dia bukan kawan akak lagi.” pantas Riana membalas. Sedikit kasar. Lagak menjegil mata. Geram. “Dah la. Lepas tengok TV tu sambung baca buku. Akak nak masuk tidur dulu.” kata Riana segera bangun meninggalkan Rizman yang lagak masih terpinga-pinga itu.
Riana tutup pintu bilik. Dia menitiskan air matanya lagi untuk lelaki bernama Khairul Faiz. Sesungguhnya dia tidak sangka dipertemukan dengan lelaki seperti itu yang benar-benar buat hatinya begitu terluka. Mungkin kerana sudah terlalu banyak cerita dan rahsia yang dikongsi bersama selama mereka berdua berkawan. Terlalu banyak!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
 “KAK, kenapa akak order tiga ais krim ni?” tanya Rizman aneh bila mendengar Riana memesan tiga cawan ais krim yang berlainan perisa kepada pelayan di kedai itu sebentar tadi sedangkan mereka datang hanya berdua. Sejak dari tadi lagi dia ingin bertanya, namun hanya tergerak di hati sahaja.
            “Sebab yang perisa Vanilla ni untuk Abang Hairie.” jawab Riana tersenyum senang hati. Jari sempat ditunding ke arah ais krim yang diletak di atas meja. “Akak ajak dia sekali. Nanti dia datang la tu. Riz pun nanti borak-borak la dengan Abang Hairie, ya?” kata Riana tersenyum sambil menekan papan kekunci telefonnya. Sempat berbalas mesej dengan Hairie.
            “Riz nak balik la, kak.” balas Rizman sambil memalingkan muka melihat ke arah luar kedai.
            Riana pandang Rizman aneh. “Eh! Riz, kenapa ni?” tanya ingin tahu. Pandang gelagat Rizman yang serba tidak kena petang itu. Seakan ada sesuatu.
            “Riz nak balik. Riz tak nak kenal la dengan kawan akak tu.” jawab Rizman selamba.
            Riana melepaskan keluhannya seketika. Pandang wajah Rizman dengan tenang. “Riz, berapa kali akak nak cakap? Abang Hairie tu bukan kawan akak tapi teman lelaki akak.” kata Riana mengingatkan Rizman yang hubungannya bersama Hairie adalah serius. Bukan hanya setakat kawan.
            “Aahh! Riz tak kisah la dia siapa. Kawan ke teman lelaki ke.. Riz tak kira, Riz nak kita balik sekarang jugak.”
Rizman seakan mula memberontak. Ton suaranya pun berubah sedikit kasar. Buat Riana terkejut seketika. Tidak pernah pula lelaki itu berlagak begitu dengannya sebelum ini. “Riz.. Riz tak kesian kat akak ke? Riz cuba la dulu..”
           “Assalamualaikum.. Hai awak. Hai Riz?” sapa Hairie tersenyum sambil melangkah ke arah Riana dan Rizman. Dia duduk di sebelah Riana. Mematikan pandangan wanita itu terhadap adiknya.
Riana tersenyum seketika kalih pandang Hairie. Rizman pula hanya membalas dengan muka selambanya. Baginya, tidak ingin dia berabang iparkan lelaki itu kelak. Dia tertanya-tanya bagaimana lelaki sebijak itu dapat berlagak biasa tanpa perbetulkan sedikit kesilapan yang telah memusnahkan persahabatan dua insan yang kian teguh.
            Mereka bertiga menikmati hidangan ais krim yang dipesan di atas meja sambil berborak-borak kosong.
            “Awak, saya nak ke washroom kejap. Awak berbual-bual la dulu dengan Riz, ya? ” pinta Riana sambil bangun. Sengaja dia berbuat begitu agar ada komunikasi antara Hairie dengan Rizman yang dirasakan bersikap aneh tiba-tiba. Ais krim yang dipesan mereka telah lama dinikmati dan hanya tinggal separuh sahaja yang perlu dihabiskan.
            “Okey.” angguk Hairie tersenyum faham. Pandang sekejap ke arah Rizman yang lagak sedang menikmati ais krim berperisa Strawberrynya sahaja. Fikiran pula mula lagak menyusun ayat. Risau jika tersalah kata. Pasti terkena balik.
            “Senang hati abang sekarang?” tanya Rizman sinis mengejutkan Hairie yang sedang menyudu ais krim ke dalam mulutnya setelah bayangan kakaknya hilang dari pandangan mata.
            Hairie mengunyah perlahan. “Err.. apa maksud Riz ni? Abang tak faham.” tanya Hairie pandang Rizman. Kepala sempat digeleng. Lagak tidak faham.
Rizman pandang Hairie tajam kembali. Sempat mengeluh lagak menyindir lelaki itu. “Jangan la buat-buat tak faham. Riz tengok abang ni berpelajaran tinggi. Lagak pulak macam orang pandai.. tapi hipokrit.” bidas Rizman lagak tidak puas hati. Menyebut ‘hipokrit’ dengan suara mendatar.
“Riz, apa yang Riz cakap ni? Abang memang tak faham la.” kata Hairie ingin benar tahu. Hipokrit? Tidak tahu kenapa lelaki muda itu menggunakan perkataan itu kepadanya. Nada pula seakan biadap.
“Abang jangan ingat Riz tak tahu, abang kan yang buat hubungan Kak Riana dengan Abang Khairul tu ada masalah sekarang ni?” luah Rizman bersungguh-sungguh. Mahu menyedarkan lelaki yang dicintai kakaknya itu yang dia telah lama tahu. Tahu tentang kepura-puraan yang dibuat lelaki itu selama ini.
            Hairie mula rasa kaget. “Riz..”
            “Abang simpan la kata-kata abang yang Riz tahu hanya bohong tu. Riz bukan Kak Riana, yang senang-senang diperbodohkan abang.” balas Rizman serius. Kembali menyudu ais krim. Lagak geram masih jelas di wajah.
            Suasana jadi diam seketika sehinggalah Riana menjelmakan diri. Hairie hanya memandang Rizman yang menyambung makan ais krimnya. Entah bagaimana remaja itu dapat tahu akan rahsianya. Rasa risau mula timbul lagi.
Riana pula mula tersenyum riang mencuba melupakan kisah luka yang terpahat di hatinya. Hanya ingin meneruskan hubungan dengan lelaki yang dicintainya itu dengan rasa suka dan ceria. Tanpa ada rasa duka atau sesal lagi.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“SEBENARNYA saya tak berniat langsung nak berkawan dengan awak. Jauh sekali nak jadi kawan rapat awak. Awak ingat lagi tak Kedai Buku Hasani? Tempat pertama kali kita bertemu tu. Saya yang upah gadis cashier tu, supaya dia melakukan kesilapan semasa bagi plastik buku yang awak beli tu. Saya buat semua tu sebab saya nak ada pertemuan di antara kita berdua. Dan Maria Akila, alasan saya gunakan dia untuk saya jadi lebih rapat dengan awak.. supaya segala urusan Syarikat Gema Holding, dengan mudah saya dapat tahu.”
“Is that so easy.. Riana, saya hanya mempermainkan awak and I did! Riana, your are my problem solver actually. Thank you so much kawanku.”
            “Riana.. Riana.”
Riana terkejut seketika mendengar suara Hairie yang sedang memanggil-manggil namanya. Kenangan bersama Khairul diingatinya secara tidak sengaja. Pahit terasa seketika. “Ya?” balas Riana tersenyum memandang Hairie yang sedang lagak aneh memandangnya.
            “Awak okey?” tanya Hairie bernada risau.
            “Okey. Saya okey. Err.. dah beli tiket?” tanya Riana lagak biasa agar Hairie tidak terus menanya.
            “Dah. Ini dia, jom kita masuk.” pinta Hairie tersenyum manis sambil memegang dua keping tiket wayang yang dibelinya sebentar tadi. Dia jadi lupa tentang perkara sebentar tadi yang masih ingin lagi ditanya kepada wanita itu.
            “Okey.” Riana mengangguk faham lalu memasuki pawagam bersama dengan Hairie. Mereka bakal menyaksikan sebuah filem komedi romantis Melayu. Riana dan Hairie duduk di tempat yang ditempah sambil masing-masing memegang sekotak pop corn dan air minuman sejuk di tangan. Ingin makan dan minum sambil menonton. Suasana gelap gelita dan beberapa minit berlalu, skrin besar di hadapan mereka mula terpasang. Cerita pun bermula.
 “Cuba awak teka, kenapa monyet suka simpan makanan atas pokok?” tanya Khairul tersenyum ceria. Mereka berdua berehat sebentar dari berjalan atas batu refleksi di kawasan Taman Rekreasi, Tasik Y.
            “Err.. sebab itu tempat dia..” Riana cuba menjawab. Air botol yang dipegang dibuka dan dihirupnya sekali.
            “Salah, cuba awak teka lagi.” kata Khairul tersenyum riang.
            “Ermm.. Hah! saya tahu. Sebab dah tak ada tempat lain yang boleh dia simpan, so pokok la tempat yang paling sesuai untuk dia simpan makanan. Betul kan?” jelas Riana lagak pasti dengan jawapannya itu.
            Khairul tertawa kecil pula. Kepala digeleng perlahan. “No.. Salah jugak.” balas Khairul kelakar melihat lagak Riana menjawab teka-tekinya.
            “Ermm.. tak tahu la. Kenapa ya?” tanya Riana. Sudah rasa malas meneka. Botol air dipeluknya seketika.
            “Sebab monyet tak ada peti sejuk.” jawab Khairul tertawa geli hati.
            Riana tersenyum sendiri. Kenangan bersama Khairul diingatinya secara tidak sengaja sekali lagi selepas menonton satu babak filem di mana seekor monyet sedang memanjat pokok kelapa. Terasa amat lucu saat itu.
            “Riana, saya nak pergi washroom kejap, ya?” bisik Hairie sambil memandang Riana yang berada di sebelah tempat duduknya itu. Dia tersenyum mesra melihat wajah wanita itu yang lagak sedang ceria.
            “Okey Khairul.” balas Riana tersenyum sekilas memandang Hairie.
            Hairie terdiam. Senyuman mesranya berubah kepada tawar. Dia merenung Riana tajam. Wanita itu masih memandang ke hadapan. Masih tersenyum dengan aksi lawak pelakon-pelakon di dalam filem tersebut. “Apa.. awak panggil saya tadi?” tanya Hairie lembut. Mata masih memandang gelagat Riana di sebalik cahaya skrin itu.
            “Huh?” Riana kalih pandang Hairie dengan kerutan di dahi. Kening pula diangkat tinggi.
            “Err.. tak ada apa-apa. Saya keluar dulu ya?” geleng Hairie segera tersenyum semula.
            “Okey.” Riana menggangguk tersenyum dan meneruskan tontonannya. Pop corn pula kembali dimasukkan ke mulut. Mengunyah ligat.
            Hairie melangkah keluar dari panggung tersebut. Otaknya ligat berfikir. Memang telinganya jelas kedengaran suara Riana menyebut nama ‘Khairul’. Ya Khairul Faiz! Lelaki yang telah menyerah kalah dengannya tanpa bertanding itu. Hatinya mula timbul rasa cemburu. Cemburu yang amat. Entah mengapa?!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~