1 Mei 2011

~Bab 22~

LIMA hari empat malam di Kota Paris yang juga dikenali dengan jolokan nama negara kota cinta itu memberi saat romantis dan indah pada bulan madu Khairul dan Riana. Mereka ibarat merpati sejoli yang bahagia terbang bebas berdua tanpa ada sesiapa pun yang menganggu. Memadu asmara cinta yang semakin hari semakin mekar. Hari-hari yang muncul dijalani dengan indah dengan kasih yang terikat terjalin menjadi semakin mesra. Gambar-gambar kenangan bersama berdua disimpan bersama untuk tatapan memori terindah.
“Sayang..” panggil Khairul manja sambil tangannya meraba-raba laci meja solek di dalam biliknya itu. Riana sedang berada di dalam bilik air. Mandi kali kedua disebabkan cuaca panas melanda Malaysia ketika ini.
“Ya bang?” sahut Riana manja. Bunyi air pancutan dari dalam bilik air itu jelas kedengaran di telinga Khairul yang lengkap berbaju Melayu teluk belanga. Cuma kancingnya sahaja yang belum dipakaikan di leher baju. Hari ini hari Jumaat dan menjadi kewajipan sebagai umat Islam lelaki menunaikan Solat Jumaat berjemaah di masjid.
“Kancing baju Melayu abang, sayang letak kat mana?” tanya Khairul lembut. Matanya masih mengintai ruangan laci. Susunan di dalam bilik itu telah ditukar oleh Riana sehinggakan hampir keseluruhan barangnya terpaksa ditanya kepada isterinya itu terlebih dahulu.
“Kat dalam kotak, dalam laci tu..” sebut Riana.
“Laci yang mana satu ni, sayang? tak ada pun.” Khairul masih bersuara manja. Membuka satu persatu laci dengan sabar.
            “Ada la, abang try la cari dulu.”
Balasan kata Riana buat Khairul meneruskan cariannya. Tangannya pantas membuka segala kotak-kotak yang berada di dalam laci itu. Namun, sedang dia mencari, dia terbuka salah satu kotak yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Rantai silver yang mempunyai huruf H dan R kelihatan oleh anak matanya. Hatinya mula tertanya pantas. “Siapa yang bagi rantai ni?” Khairul tertanya sendiri. Cuba berfikir sejenak.
Khairul mendengus kasar setelah fikiran terjawab dengan sendirinya. Dia meletakkan kotak tersebut ke tempat asalnya. Terus berlalu keluar dari bilik itu selepas menarik pantas songkok dan kunci keretanya yang diletakkan di atas meja. Terasa panas di hati.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“ABANG, abang..” Riana memanggil manja setelah melangkah keluar dari bilik air selepas beberapa minit berlalu. Rambutnya yang basah dilap dengan kain tuala di tangan. Dia hanya bertuala pada paras dada hingga ke lutut. Mencari wajah suaminya di sekeliling bilik tetapi tidak kelihatan. Dia kehairanan seketika. Dia merapati meja solek pula. Pantas dibuka laci satu persatu. Kotak yang terkandung kancing baju Melayu suaminya dibuka. Kancing itu masih ada di situ. Lagak masih tidak disentuh. Pelik! “Eh! abang tak ambil ke kancing baju ni?” tanyanya sendiri. Aneh. Riana segera memakai pakaiannya dan keluar dari bilik.
Ruang dapur dijejaki kakinya. Di halaman masih ada keretanya. Dia jadi bertambah hairan. Mata masih mencari kelibat Khairul namun masih tidak kelihatan. Riana memasuki ruangan dapur pula. Terlihat kelibat Datin Julia.  “Ibu...”
            “Ya Riana?” Datin Julia yang asyik mengelap lantai dapur segera mengalihkan pandangan kepada Riana. Lagak menanti kata.
            “Abang Faiz dah keluar ke?” tanya Riana sekadar ingin tahu.
            “Dah. Eh! dia tak beritahu Riana ke yang dia keluar pergi masjid? Sekali dengan Abang Faizul datang sini kejap tadi.” Datin Julia menyoal kembali setelah memberhentikan perbuatannya dan memandang menantunya hairan.
            Riana hanya mendiamkan diri. Hatinya mula rasa tidak tenang. Sebelum ini jika suaminya keluar rumah tidak kiralah ke pejabat atau ke mana saja, pasti memerlukan ciuman dari bibirnya ke tangan suaminya itu tetapi hari ini?.. “Aahh!  Mungkin dia terlupa kut.” getus pantas hati Riana menghambat segala kerisauan.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“ASSALAMUALAIKUM..” Salam diberi daripada dua orang lelaki serentak. Kelihatan Khairul dan Faizul yang segak berpakaian baju Melayu masing-masing memasuki ke dalam rumah dua tingkat itu.
            “Waalaikumusalam..” balas Datin Julia, Riana dan Fariha hampir serentak. Mereka bertiga sedang berada di ruang tamu menonton televisyen rancangan berilmu.
            “Haa.. kamu semua dah balik? Ibu dengan Riana dah siap masak tadi. Marilah kita makan sekali. Mari adik.” ajak Datin Julia tersenyum manis. Bingkas bangun sekilas memandang anak menantunya sambil melangkah ke ruang dapur.
            “Haa.. okey. Faizul pun dah lapar dah ni, bu.” Faizul mengikuti langkah ibunya itu masuk ke dalam dapur. Sempat mengusap rambut Fariha yang lagak berjalan seiring dengannya.
            Riana yang memerhati sejak dari tadi segera bangun menghampiri Khairul yang kelihatan ingin mengira anak tangga setelah sekilas memandangnya. “Abang, jom kita makan sekali? Kami masak Ayam Masak Kicap hari ini.” kata Riana tersenyum manis sambil mencium tangan Khairul. Lelaki itu hanya berwajah masam sambil menyambut salamnya. Tanpa memandang.
            “Nanti la. Abang nak rehat kejap kat bilik. Abang penat la.” balas Khairul terus berlalu menaiki anak tangga ke bilik tidurnya.
            Riana terpaku. Khairul tiba-tiba berubah. Dia lantas berfikir tentang perkara yang mungkin dilakukannya hari ini salah di mata lelaki yang telah bergelar suaminya itu.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
KEESOKKAN harinya, sikap Khairul masih kekal begitu. Khairul terlebih dahulu meninggalkan rumah ke syarikat sebelum Riana sedar dari tidur. Entah bila lelaki itu menyelinap keluar dari bilik tidur mereka tanpa mengejutkannya seperti kebiasaannya. Malah sarapan pagi juga tidak diambilnya. Memberi alasan ingin lari daripada kesesakan lalu lintas di awal pagi. Dia sedih. Hatinya mula terkena panahan rasa resah dan gelisah. Mencari punca kesalahan yang tidak tahu dari sudut mana mulanya.
“Abang, milo panas?” Riana menghulurkan mug milo panas ke arah Khairul yang sedang berbaring. Tahu benar waktu bila lelaki itu ingin menghirup minuman kegemarannya itu tanpa perlu dipinta.
“Abang tak dahaga.. Abang nak tidur.” balas Khairul. Selimut yang membaluti separuh badannya ditarik. Membaringkan diri dan memejamkan matanya. Semuanya lagak segera.
            Riana terpaku sekali lagi. Sebelum ini Khairul tidak pernah bersikap begitu dengannya. Dingin sahaja. Riana jadi serba tak kena.
“Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosa hambamu ini ya Allah.. dosa suamiku. Engkau selamatkanlah rumah tangga kami dari segala perkara-perkara yang buruk ya Allah..” Doa Riana di dalam hati setelah selesai solatnya. Riana memandang Khairul dari bangku katilnya. Lelaki itu terlebih dahulu menunaikan Solat Subuh. Tidak seperti kebiasaanya. Akan mengejutkan dia untuk solat berjemaah bersama. Masuk hari ini sudah hari ketiga Khairul bersikap acuh tak acuh dengannya. Lagak mereka berdua seperti pasangan yang berkahwin atas pilihan keluarga. Yang baru ingin mengenali antara satu sama lain. Dia buntu!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“FAIZ, ini tender Syarikat Lima Ombak. Yang Faiz minta hari tu, abang dah check. Everyhing ok.” kata Faizul sambil meletakkan fail yang dipegangnya ke atas meja Khairul. Hampir sebulan dia bekerja di syarikat itu sebagai penolong kanan syarikat.
Khairul sejak dari tadi hanya termenung jauh ke arah bingkai gambar perkahwinan dia dan Riana. Tiga hari dia memendam rasa sedih dan hiba. Kepala pula kusut memikirkan suatu kemungkinan.
“Faiz.. Faiz..” panggil Faizul setelah beberapa saat katanya tidak berbalas. Memerhati adiknya itu dengan wajah aneh.
            Khairul tersedar dan segera memandang wajah abangnya itu. “Ya Abang Faizul?”
            “Kenapa ni? Lain macam aje abang tengok ni?” Faizul seakan mula menghidu sesuatu.
            “Err.. tak ada apa-apalah, Abang Faizul.” geleng Khairul tersenyum kelat. Bingkai gambar perkahwinan yang dipegangnya diletakkan di atas meja.
            Faizul memerhati tingkah laku Khairul sebentar. “Faiz gaduh dengan Riana ke?” kata Faizul lagak meneka sendiri. Jauh di sudut hati minta lelaki itu mengeyakan kata tekaannya itu. Pasti hati melompat riang.
            Khairul terdiam. Hendak dibilang gaduh, tidak. Hendak dibilang tak gaduh pun, tidak juga.
            Faizul mula duduk di kerusi di hadapan meja Khairul itu tanpa dipinta. “Faiz, come on. Tell me, bro. Abang tak nak tengok Faiz macam ni.” pujuk Faizul seakan ingin Khairul berkongsi masalah yang sedang dihadapinya.
            “Abang Faizul, Faiz tak tahu sama ada Riana betul-betul cintakan Faiz atau tak.” luah Khairul akhirnya bernada sangsi sambil bermain-main dengan batang pen yang berada di genggaman tangannya.
            “Faiz, kenapa tanya soalan bodoh ni? Mestilah Riana cintakan Faiz. Kalau tak, tak kanlah dia sanggup kahwin dengan adik abang ni. Nak kata handsome? Abang rasa.. abang lagi handsome dari Faiz kut.” Faizul membalas dengan reaksi terkejutnya dan disusuli pula gurau senda lagak ingin mengusik hati.
            Khairul hanya memandang Faizul dengan pandangan sayunya. “Faiz takut Abang Faizul, Faiz takut kalau Faiz hanya dapat dia, tapi bukan cinta dia.” Khairul membalas dengan nada hiba. Perasaan itu sentiasa membelenggu dirinya sejak beberapa hati ini. Malah makin lama makin menjadi bahangnya.
            Faizul terdiam seketika. Lagak berfikir sejenak. “Ermm.. macam inilah, Faiz bawa berbincanglah dengan Riana dulu. Jangan kerana hal kecil, korang berdua bergaduh nanti. Korang kan baru aje kahwin, biasa la tu. Hidup berumah tangga kan.” pesan Faizul terselit nada sinisnya di situ. Di hujung kata dia tersenyum sinis. Memang inilah salah satu rancangan yang bakal dilaksanakannya walaupun dia tidak tahu apa puncanya hubungan yang terjalin itu seakan menanti retak.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“Abang pun.. Abang nak sayang selalu dengan abang. Abang cintakan sayang. Dari mula-mula kita kenal sampai sekarang. Cinta abang pada sayang tak kan pernah berkurang, sentiasa sahaja akan bertambah. Abang janji.. selagi abang masih bernyawa, abang akan bahagiakan sayang dan abang tak kan pernah sesekali sia-siakan hidup sayang. Abang janji.”
“Sayang pun janji dengan abang. Sayang akan sentiasa berada di sisi abang. Tak kira susah atau senang, kita tetap akan bersama. Selama-lamanya.”
“Abang jugak akan selalu berdoa agar cinta abang dan sayang akan sentiasa kekal hingga akhir hayat kita berdua.”
“Amin.”

“Riana..” Datin Julia memunculkan diri di ruang tamu mengejutkan Riana yang sedang mengelamun jauh memikirkan sikap suaminya, Khairul. Tangan tersisip majalah Wanita hanya sekadar terbuka luas di atas paha.
            Riana sekadar senyum biasa. “Ibu..”  balas Riana. Sedikit kaget.
            Datin Julia melabuhkan pinggulnya di sofa berhadapan dengan sofa yang diduduki Riana. “Ibu tengok dari tadi lagi. Riana ni macam ada masalah aje.”
            Fariha telah keluar ke rumah jirannya sebelah. Bermain Chess bersama dengan anak jiran itu seperti kebiasaannya di hari cuti sekolah sebegini. Khairul pula sedang tidur di dalam bilik setelah makan petang bersama sebentar tadi. Itulah perangai lelaki itu yang sudah masuk hari keempat. Riana sendiri buntu dengan sikap Khairul. Seakan sedang merahsiakan sesuatu.
“Ermm.. tak adalah ibu. Riana okey aje.” Riana menggeleng lambat. Matanya pantas memandang ke muka majalah. Dibelek-belek beberapa kali.
“Riana, kalau boleh cerita la kat ibu. Riana kan menantu ibu. Kalau boleh ibu tolong, ibu tolong, ya?” pinta Datin Julia lembut seakan faham dengan tindak balas Riana itu.
            Riana diam seketika. Dia kembali pandang wajah wanita yang telah bergelar ibu mertuanya itu. Serupa seperti ibu kandungnya yang telah lama meninggalkan dirinya. “Entah la ibu, Riana sendiri pun pelik dengan perangai Abang Faiz sejak balik dari Solat Jumaat hari itu. Dia macam marahkan Riana, tapi Riana tak tahu apa salah Riana.” jelas Riana. Terselit nada sedih dalam kata-katanya.
“Oh.. ya ke.. Hmm.. ibu pun ada perasan dengan sikap dia tu. Mungkin dia ada masalah. Riana ada tanya dia ke?”
Riana membalas dengan gelengan di kepala. Perlahan. Sesungguhnya dia tidak langsung mempunyai kesempatan untuk bertanyakan hal itu kerana Khairul tidak menunjukkan minat langsung untuk mendengar kata-katanya lagi.
“Riana try la tanya dia dulu. Mana tahu ada something yang dah berlaku, yang mungkin dah lukakan hati dia ke? Sebab ibu pun tak pernah pulak tengok dia macam tu sebelum ni.” balas Datin Julia serius. Terasa juga dengan perubahan sikap anak keduanya itu. Lagak mendadak.
            Riana fikir tentang kata-kata Datin Julia itu. Lama. Akhirnya kepalanya diangguk perlahan memandang wanita itu.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
PINTU bilik ditolak ke dalam perlahan. Khairul yang sedang berbaring di atas katil mengisi pandangan mata Riana. Mengharap lelaki itu masih sedar dari dibuai mimpi kerana dia perlu menyelesaikan masalah mereka berdua itu pada hari ini juga walau apa pun yang berlaku. Dia sendiri terseksa dengan lagak suaminya itu yang seakan menghukumnya tanpa berterus-terang tentang kesalahannya. “Abang..” panggil Riana perlahan setelah duduk di atas katil. Memandang belakang badan Khairul.
            Khairul tidak membalas. Sekadar memeluk tubuhnya sendiri. Mata sukar dipejam kerana memikirkan segala kemungkinan. Namun jauh di sudut hatinya dia rindu dengan belaian manja Riana, isterinya.
            “Abang ada masalah ke?” tanya Riana lembut. Entah kali keberapa soalan ini pernah ditanya kepada Khairul. Mengharap soalannya dibalas dengan kejujuran bukan alasan.
            Khairul menarik selimut yang membalutinya ke atas badan sedikit. “Sayang, esok abang kerja. Abang penat sangat ni. Abang nak tidur la.” balas Khairul sedikit nada kasar. Masih menggunakan alasan yang sama.
            “Abang, sayang ada buat silap ke? Tolong beritahu sayang, bang.. Jangan buat sayang macam ni. Please..” rayu Riana namun tiada balasan kata daripada Khairul. Seolah-olah dia sedang bercakap dengan dinding di hadapan katilnya itu. Suasana bertukar sepi kembali. “Kita baru kahwin aje abang. Inai di jari sayang ni masih ada lagi. Sayang sayang abang sangat-sangat. Tolong jangan buat sayang macam ni abang. Please..” Riana mula menangis sebak. Dia rela memperbaiki segala kesilapan atau kesalahan yang dilakukan tanpa sedar itu jika suaminya berterus-terang dengannya. Bukan hanya berdiam diri dan memberi alasan!
            Khairul mula rasa tidak senang hati. Dia pantas bangun memandang wajah Riana sayu. Tidak terniat di hatinya ingin menitiskan air mata isterinya itu. Itulah kelemahannya. Sukar melihat air mata dari mata insan yang bernama wanita. Lebih-lebih lagi daripada wanita yang dikasihi dan dicintainya itu.
Khairul segera bertindak turun dari atas katil dan melangkah merapati meja solek. Dia pantas mengambil sebuah kotak dari dalam salah satu laci dan kembali duduk semula di atas katil. Menghadap wajah Riana yang masih tersedu-sedu menahan tangisan. “Abang jumpa ini dalam laci tu. Abang tahu ini saying punya, dan abang tahu siapa yang bagi.” kata Khairul tenang sambil menghulurkan kotak tersebut ke arah Riana.
            Anak mata Riana pandang ke arah kotak itu. Segera diambilnya dan dibuka. Rantai pemberian Hairie dipegangnya. Dia segera pandang Khairul tajam. “Jadi kerana rantai ni abang buat tak tahu aje dengan sayang, huh?”
            Khairul hanya tertunduk diam. Tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya. Sesungguhnya dia sendiri buntu.
Riana mengetap bibir. Kepala diangguk. “Ya. Memang ini rantai yang Hairie bagi pada sayang dan huruf H dan R ni nama kami berdua. Tapi sayang pernah nak bagi balik rantai ni pada dia bang, tapi dia nak sayang simpan jugak rantai ni sebagai tanda persahabatan kami, bukan tanda cinta kami lagi.” jelas Riana dengan nada sebak. Keras pada kata ‘persahabatan’ yang terucap di bibirnya itu. Dia tidak mahu kerana benda sekecil itu boleh meragut kebahagiaan yang ingin dibina bersama dengan lelaki yang dicintainya itu kini.
Khairul yang mendengar penjelasan panjang lebar Riana itu, terkaku sebentar. Rasa bersalah mula menerpa dirinya. “Sayang..”
Khairul lagak ingin berkata namun pantas sahaja dicelah Riana. “Abang, cinta sayang pada dia dah lama berakhir. Sekarang hati sayang hanya ada nama abang seorang sahaja. Sayang hanya cintakan abang. Sayang cuma nak abang percayakan sayang. Itu sudah cukup, abang.” tambah Riana lagi. Suara tersedu-sedu.
Khairul mula memegang kedua-dua belah tangan Riana lalu dikucupnya pantas. “Sayang, abang minta maaf. Abang minta maaf, ya? Abang ingat sayang masih ada perasaan pada Hairie, abang...”
Jari telunjuk diangkat dan diletakkan pantas ke bibir Khairul. Buat lelaki itu kembali terdiam. “Syhss.. Abang tak perlu cakap lagi. Sayang tahu abang sayangkan sayang. Esok sayang janji, sayang akan pulangkan balik rantai ni pada Hairie. Sayang janji.” putus Riana serius. Tidak cakap kosong!
Khairul pantas merangkul badan Riana ke dalam dakapannya. “Abang minta maaf sayang. Maafkan abang, ya? Abang cintakan sayang.” luah Khairul sebak. Rasa bersalah kerana menyalah anggap kejujuran cinta Riana terhadap dirinya mula timbul dalam diri.
“Sayang pun cintakan abang.” balas Riana tersenyum lega. Mereka berdua berpelukan. Riana sekilas memandang rantai yang masih berada di tangannya. Teringat kembali saat dia bertemu dengan Hairie sebelum dua bulan hari pernikahannya dengan Khairul berlangsung.
            Kotak yang berisi rantai ditolak perlahan ke hadapan. Hairie terdiam dan hanya memandang lagak Riana yang berada di hadapannya. Menanti butir kata daripada mulut wanita itu. “Saya minta maaf, saya tak dapat terima rantai ini lagi.” kata Riana perlahan. Keputusan yang dilakukan adalah untuk kepentingan banyak pihak.
“Tapi kenapa, Riana?” tanya Hairie ingin tahu.
“Hairie, awak pernah kata pada saya dulu. Rantai ini tanda cinta awak pada saya, kan? Maaf, saya tak dapat terima rantai ni lagi sebab saya dah tak cintakan awak. Saya dah serahkan cinta saya sepenuhnya pada orang lain. Saya harap awak faham. Jadi tujuan saya ajak awak keluar ni sebab saya nak bagi balik rantai ni pada awak.”
            Hairie terdiam seketika. Dia pandang wajah wanita yang masih bertakhta di hatinya setelah hatinya dilukai oleh insan yang juga bernama wanita. Tangannya menolak kembali kotak rantai tersebut ke tempat permulaannya. “Riana, anggap sajalah rantai ini rantai persahabatan antara kita berdua. Saya tahu cinta awak bukan untuk saya lagi, tapi saya harap awak masih sudi berkawan dengan saya. Saya harap awak terima rantai ni, ya?”
            Riana kembali tersedar dari lamunan seketikanya. Khairul masih erat merangkul badannya. Sesekali lehernya terasa hangat bila dicium lembut oleh suaminya itu beberapa kali. “Maafkan aku, Hairie. Aku tak dapat terima.” detus hati kecil Riana semakin erat membalas rangkulan Khairul. Matanya dipejam rapat. Mereka berdua hanyut di dalam pautan masing-masing.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“SAMBAL udang masak ketumbar ni, resipi turun temurun tok moyang sebelah emak ibu tau. Dulu dia suka sangat masak lauk ni dekat kami sekeluarga. Lauk ni jugak salah satu lauk favorite Faiz tau.” kata Datin Julia sambil memasukkan daun ketumbar ke dalam masakannya.
“Oh ya ke? nampak sedap la ibu..” angguk Riana yang sedang leka memerhati. Cuba mempelajari rahsia masakan ibu mertuanya itu pula.
“Nanti Riana try la masak pulak ya. Pasti Faiz lagi suka.” pesan Datin Julia tersenyum mesra.
“InsyaAllah ibu..”
            Khairul telah lama keluar berkerja dan Fariha juga telah ke sekolah. Ini memberi peluang untuk mereka berdua berkongsi rahsia.
            ‘Aku pasti datang menjemputmu. Tepati janji yang sumpah terhenti. Aku pasti datang tuk hatimu. Penuhi janji untuk dirimu..’ Deringan lagu berkumandang di telefon bimbit Riana yang diletakkan di atas meja makan. Segera diambilnya. “Hello..” Salam dihulur dari Riana apabila terpandang skrin yang tidak bernama dan hanya bernombor sahaja itu. “Waalaikumusalam. Ya mak cik, Riana ni. Apa? Eza.. tenat?!”
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
RIANA masuk ke dalam wad yang menempatkan sekujur tubuh Eza yang sedang menahan kesakitan kanser tahap kritikal yang dialaminya kini. Turut ditemani Khairul di sisi. Ibunya Eza pula, Puan Sofia tidak dapat menahan sebak lalu dipinta tunggu di luar wad kerana wanita itu menghidap sakit jantung. Takut nanti bakal memudaratkan diri wanita tua itu. Di luar wad, kelihatan ramai murid dan juga guru yang seangkatan dengan Eza menanti untuk melihat keadaan wanita itu pula.
“Riana, maafkan aku..” perlahan-lahan Eza mengenggam erat tangan Riana yang sedang berada di sisinya. Tidak sangka dapat juga dia bertemu dengan kawan baiknya itu walaupun jauh di sudut hatinya, tidak mahu melihat Riana lagi. Malu dengan sikap dan perbuatannya dahulu itu.
Tangisan Riana kuat kedengaran. Tidak sanggup dia melihat penderitaan yang dialami Eza. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan wanita itu. Mukanya kelihatan pucat dan lesu tetapi riak wajah masih ingin berkata-kata. “Eza, aku dah lama maafkan kau. Kau kawan aku, tak ada langsung niat di hati aku ni nak simpan dendam kat kau. Sikit pun.. Kau jangan cakap pasal benda tu lagi, okey? Dah. Kau rehat, ya?” kata Riana tidak mahu mengenangkan lagi peristiwa lama itu. Dia hanya ingin Eza kembali pulih dan sembuh.
Eza tersenyum sebentar memandang Riana. “Riana..”
“Hmm?” balas Riana cuba untuk senyum. Tidak mahu terus mempamerkan reaksi sedihnya.
“Selamat pengantin baru. Maaf, aku tak pergi majlis kahwin kau dengan dia.” pohon Eza sekilas memandang Khairul yang berada di belakang Riana itu. “Dan terima kasih, terima kasih ya sebab kau masih sudi kawan dengan aku lepas apa yang aku dah buat kat kau dulu tu.” mohon Eza dengan nada kesal. Teringat kata-kata Faizul kepadanya soal Riana menyesal berkawan dengannya itu.
Riana  segera menggelengkan kepalanya. “Eza, sudahlah. Biarlah yang lepas tu lepas, kau rehat, okey?” kata Riana tidak mahu perkara lama itu diungkit lagi kerana sesungguhnya dia tidak pernah mengambil kisah soal itu. Yang penting soal persahabatannya dengan Eza.
“Riana, boleh kau tolong aku?” tanya Eza sambil mengeratkan lagi genggaman tangannya bersama dengan tangan Riana.
“Tolong apa, hmm?” tanya Riana bersedia mendengar setiap kata di bibir Eza.
“Tolong tengok-tengokkan mak aku, bila aku dah tak ada nanti, ya?” pinta Eza dengan nada berharap.
“Eza, apa ni? Kau jangan cakap macam tu lagi, okey? Kau pasti sembuh. InsyaAllah.” Riana berdoa pantas. Tidak mahu Eza terus-terusan merasa lemah dengan dugaan yang diberi.
Eza tersenyum sebentar memandang Riana. “Riana, aku rasa aku dah tak sempat lagi. Aku rasa masa aku dah sampai..” kata Eza yang semakin lama nada suaranya semakin perlahan. “Tengok tengokkan mak aku, ya? Cakap pada mak aku yang aku sayang dia sangat sangat..”
Air mata Riana membasahi pipi lagi. Terasa pilu yang amat melihat keadaan wanita itu ketika ini. “InsyaAllah. InsyaAllah Eza. Aku dah lama anggap mak kau macam mak aku sendiri.” angguk Riana mengerti pesanan yang disampaikan oleh Eza itu.
‘Ting! Ting!’ Mesin keadaan pesakit yang terletak di sebelah katil Eza berbunyi kuat beberapa kali. Riana mula panik. Eza kelihatan semakin tenat. Nafasnya pula semakin pantas dilepas laju. “Eza.. Eza kenapa ni?” tanya Riana lagak ingin benar tahu. “Abang.. abang, panggil doktor. Cepat bang!” jerit Riana sekilas memandang Khairul yang juga turut panik. Khairul mengangguk mengerti lalu segera berlari keluar mendapatkan doktor yang bertugas. “Eza, mengucap Eza. Mengucap. AsyahduAllah Ilahailalah.. Wasyhaduanamuhamadar Rasullulah..” Riana membisikkan kata-kata dua kalimah syahadah itu dekat ke cuping telinga Eza. Bibir Eza kelihatan bergerak-gerak perlahan mengikuti kata-kata Riana. Akhirnya Eza perlahan-lahan menutup matanya. Rapat! “Eza.. Eza...!” Air mata Riana jatuh lagi. Sahabat baiknya itu pergi menghadap Illahi buat selama-lamanya.
Khairul yang tadi telah masuk bersama dengan seorang doktor wanita dan beberapa orang jururawat hanya memegang tubuh Riana. Menenangkan isterinya yang dia tahu sedang dihimpit kesedihan dan hiba di atas kehilangan seorang sahabat yang disayangi itu. Dia dapat merasai perasaan itu jika perkara sama berlaku ke atas dirinya. Tetapi yang pergi tetap akan pergi. Yang hidup perlu meneruskan hidup di bumi ciptaan-Nya.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
MAYAT Eza selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam yang berdekatan dengan kampung arwah neneknya selepas jenazah selesai disolatkan oleh beberapa orang kaum keluarga terdekat. Ramai saudara-mara yang hadir untuk mengucap takziah di atas permergian arwah. Tidak terkecuali murid-murid yang dahulunya berada di bawah bimbingannya. Dibawa ke situ dengan menaiki sebuah bas sekolah yang ditempah khas. Walaupun cuti sekolah telah bermula tetapi jasa yang dicurah Eza sepanjang bergelar seorang guru masih cukup untuk dikenang.
Puan Sofia kehilangan seorang lagi anak selepas kehilangan abang Eza yang tua setahun daripada Eza akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu. Riana tekad akan menjenguk wanita itu sekiranya mempunyai kelapangan masa. Wanita itu kini tinggal bersama adik perempuannya yang tinggal di Melaka.
“Maaf kak. Kak ni Kak Riana Akma, kawan arwah Kak Eza ke?” Muncul seorang gadis sebaya Rizman, sedang memandang Riana yang sedang berada di sisi Khairul.
Riana pandang gadis itu lama. “Ya saya.. adik ni?” tanya Riana ingin tahu setelah pasti dia tidak mengenali gadis itu. Malah tidak pula dia perasan gadis itu sebelum ini.
“Saya Qisha, sepupunya Kak Eza. Ini ada surat untuk akak. Arwah minta saya berikan pada akak selepas mayat arwah selamat dikebumikan.” kata Qisha cuba untuk senyum. Bernada hiba. Matanya kelihatan merah. Mungkin kesan daripada air mata sedih atas kehilangan Eza itu.
“Terima kasih.” angguk Riana mengerti. Tangan segera mengambil sepucuk surat yang dihulurkan itu. Gadis itu melangkah pergi merapati ahli keluarga Eza yang lain. Riana pandang Khairul di sebelahnya. Lelaki itu hanya tersenyum faham dan berlalu ke kereta mereka yang diletakkan tidak jauh dari situ. Tahu yang Riana perlukan ruang untuk bersendirian di situ ketika ini.
Di satu sudut, Riana membuka helaian kertas yang berada di dalam sampul berwarna putih itu. Dia membaca barisan ayat yang ditulis Eza dengan teliti dan teratur.
Assalamualaikum Riana, terima kasih kerana kau sudi datang melawat aku lagi. Untuk kali terakhirnya.
Sebelum itu, aku nak mohon sejuta kemaafkan dari kau sebagai kawan lama dan sahabat aku yang aku paling sayang. Riana, aku nak minta maaf dengan apa yang dah aku buat dengan persahabatan kita ini. Aku harap kau dapat maafkan aku, Riana. Aku betul-betul menyesal dengan perbuatan aku dulu. Maafkan aku.
 Di sini juga ada beberapa perkara yang perlu aku beritahu kau tentang Faizul. Ya. Khairul Faizul, lelaki yang aku amat cintai dan lelaki yang bergelar abang kepada Khairul Faiz, bakal suami kau. Tidak aku sangka rupa-rupanya pertemuan aku dengan lelaki itu telah dirancang dari awal lagi. Faizul gunakan aku untuk tahu tentang kau, Riana. Dia simpan dendam pada Khairul Faiz, adik dia sendiri. Dia ada cakap pada aku yang dia akan musnahkan hubungan kau dengan Khairul selepas korang berdua berkahwin nanti. Aku harap kau sentiasa jaga diri dan pertahankan perkahwinan kau bersama Khairul nanti. Aku selagi masih ada nyawa yang terkandung di dalam badan lemah ini akan sentiasa doakan semoga hubungan korang berdua kekal hingga jinjang pelamin dan terus ke syurga. InsyaAllah.
Maafkan aku sebab beritahu kau lambat tentang ini sebab aku terlalu mencintai dia, Riana. Aku betul-betul sayangkan dia. Sepanjang aku sakit, dia tak pernah nak lihat aku bersedih. Aku cintakan dia, Riana. Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa aku mencintai dia. Maafkan aku, Riana.
                                                                                                 Sahabatmu,
Eza

            Riana menitiskan air matanya sekali lagi. Dia membaca setiap baris kata dan luahan hati Eza itu. Seakan tidak percaya. Riana pandang kelibat Faizul yang telah lama menjejakkan kaki ke tanah perkuburan itu. Dia yang meminta agar Khairul memberitahu Faizul tentang hal itu. Faizul lagak bersedih sendiri menatap kubur yang menempatkan sekujur tubuh wanita yang didustainya itu.
“Abang nak minta maaf, sebab selama ni abang sakitkan hati Riana dan kawan baik Riana, Eza. Sekarang abang tak tahu di mana Eza ada. Puas dah abang cari dia kat semua tempat tapi masih tak jumpa. Abang menyesal, abang minta maaf, Riana.”
“Abang tahu, Riana mungkin masih bersangka buruk pada abang sekarang ni. Tapi abang benar-benar nak berubah. Abang tak kan berhenti cari Eza. Abang nak tebus balik segala dosa-dosa abang pada Eza dulu. Abang juga nak minta maaf dengan Riana tentang perkara sebelum ni. Abang harap sangat Riana dapat terima abang sebagai abang ipar Riana dan abang kepada suami Riana, Khairul Faiz.”
Kata-kata kesal dan permohonan maaf Faizul terhadapnya pada malam dia bergelar isteri kepada Khairul Faiz masih segar di minda. Riana jadi serba salah. Surat yang dipegangnya itu ditatap sekali lagi. Rasa hiba sungguh!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
MATA menatap tanah kubur yang baru disemadikan lebih kurang 15 minit yang lalu. Kubur yang menempatkan wanita yang digunakan sebagai umpan untuk mengenali wanita bernama ‘Riana Akma’. “Akhirnya kau pergi jugak Eza. Terima kasih. Terima kasih sebab memudahkan kerja aku. Selamat tinggal Eza.” kata Faizul yang kelihatan duduk mencangkuk. Bernada sinis sambil tersenyum sendiri.
“Err.. maaf abang..” panggil Qisha mengejutkan Faizul seketika.
Faizul segera berdiri tegak. Kalih pandang seorang gadis sedang memandang ke arahnya. Risau jika suaranya sebentar tadi didengari oleh gadis itu. Pasti parah. “Ya?” balas Faizul tersenyum kelat. Sempat menyapu air matanya. Lagak orang baru lepas menangis.
“Abang ni.. Khairul Faizul, abang iparnya Kak Riana Akma, ke?” tanya Qisha seperti yang dipinta oleh Riana sebentar tadi. Wajah aneh dan lagak terpinga-pinga turut sama dibuatnya.
“Ya saya, kenapa ya?” tanya Faizul kerut dahi. Entah bagaimana wanita itu boleh tahu akan siapa dirinya kerana mereka berdua tidak pernah pula berjumpa sebelum ini.
“Saya sepupu arwah Kak Eza. Ini ada kiriman surat daripada arwah Kak Eza kepada Kak Riana. Saya terlupa nak bagi pada Kak Riana tadi. Dia dah balik. Jadi boleh tak kalau abang tolong sampaikan surat ini pada Kak Riana nanti kalau abang jumpa dia?” kata Qisha lagak berlakon seperti yang dipinta oleh Riana lagi. Dia sendiri hairan kerana kawan kepada arwah sepupunya itu meminta dia berbuat demikian. Apabila ditanya hanya pujukan daripada wanita itu sahaja diterima. Tidak pula diberitahu sebabnya.
Faizul memandang sekeliling. Memang kelibat Riana dan Khairul yang dilihatnya sebentar tadi telah hilang dari pandangan mata. “Boleh.. Terima kasih.” Faizul menerima surat itu. Dia melangkah kembali masuk ke dalam kereta Nissan Latio Sport miliknya semula setelah lagak berdoa sakan di kubur Eza. Sesekali memandang Qisha yang masih berada di kawasan itu. Seakan menanti keluarganya untuk berangkat pulang.
Debaran di dada terasa. Sampul surat di tangan yang tertulis nama ‘Riana Akma’ masih dipegangnya. Jiwa Faizul seakan memberontak. Amanat gadis yang bernama Qisha sebentar tadi dilanggarnya. Dia segera membuka sampul surat itu. Dikoyak-koyak kasar. Ingin benar tahu isi kandungan yang ada di dalamnya. Surat berlipat muka empat dibuka pantas. Ayat tertulis dibaca penuh debaran. Setiap baris dan perenggan ditatap habis. Dia terkejut. Kata-kata cinta wanita itu mengingatkan dia kembali kepada pemilik nama ‘Shima’, wanita yang sangat dicintainya sehingga ke hari ini. Seakan sama seperti surat terakhir Shima itu sebelum pergi buat selama-selamanya.
Faizul segera menghambat kenangan itu. Menghambat sejauh yang mungkin. Tidak mahu tersasar dari rancangannya. Baris perenggan yang ketiga dibacanya semula. Baris yang membongkarkan rahsianya kepada Riana dipandangnya sekali lagi. Mujur surat itu tidak sampai ke tangan Riana. Jika tidak, rancangannya selama ini pasti musnah. Fikirnya lega. Segera memikir apa pula tindakan yang harus dilakukan selepas ini agar rancangannya sentiasa berjalan seperti yang diharapkan.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
KHAIRUL dan Riana sedang duduk berdua di bangku di halaman rumah. Menghirup udara malam yang segar dan nyaman berdua.
“Sayang..” panggil Khairul yang dari tadi memerhati Riana. Tidak jemu dia memandang wajah itu.Wajah yang akan setia sentiasa mekar di hatinya.
“Ya?” balas Riana lembut. Tersenyum tawar.
“Sayang masih sedih ke?” tanya Khairul walaupun tahu soalan itu sudah ada jawapannya dari riak wajah jantung hatinya itu.
“Hmm.. Mana sayang tak sedih abang? Eza la satu-satunya kawan yang paling rapat dan yang paling sayang sayang, bang. Tak sangka dia pergi dulu.” kata Riana terselit nada hiba terkenangkan nasib kawan baiknya itu.
“Sabar, ya sayang? Yang pergi tu tetap akan pergi. Oh.. ya sayang, lupa abang nak tanya, hari itu masa di hari pengkebumian arwah Eza, ada sepupu Eza beri surat pada sayang, kan? Surat apa tu?” tanya Khairul teringat kembali dengan surat itu. Terlupa ingin bertanyakan soalan itu kepada Riana.
“Surat? Oh.. itu cuma surat Eza minta maaf dengan apa yang dia salah sangka sebelum ni. Itu aje.” kata Riana tidak mahu Khairul tahu sepenuhnya tentang isi kandungan surat itu. Pasti lelaki itu ditimpa rasa gelisah jika tahu Faizul pernah menyimpan dendam terhadapnya dalam diam sebelum ini.
Khairul mengangguk mengerti. “Oh ya ke? Bagus la kalau macam tu.”
“Abang..” panggil Riana melihat wajah Khairul sepenuhnya.
“Hmm?” balas Khairul menanti Riana meneruskan kata. Tangannya mula melingkar ke tangan Riana.
“Dulu abang pernah kata ada sesuatu yang buat Abang Faizul marahkan abang, kan?” bicara Riana mula ingin mengorek rahsia daripada suaminya.
Khairul kerut dahi seketika. “Err... kenapa sayang tanya?” tanya Khairul aneh apabila soal abangnya itu ditanya pula saat ini. Seakan tidak kena tempat.
“Boleh sayang tahu tak tentang apa?” Riana berani menyoal akan hal itu. Ingin benar tahu perkara apa yang buat Faizul terlalu berdendam sangat dengan suaminya itu.
Khairul tersenyum manis. Dia memegang erat tangan Riana. “Sayang, abang dah tak nak ingat itu semua. Semua tu just salah faham aje. Abang Faizul pun dah banyak berubah sekarang. Benda tu semua dah tak berguna lagi, sayang. Macam yang sayang cakap pada abang dulu, kan? Kita aje kena tentukan sama ada nak terima perubahan itu atau pun tak. Jadi abang terima perubahan Abang Faizul sepenuhnya. Kita perlu beri dia peluang untuk berubah.” kata Khairul sudah dapat menerima sepenuhnya perubahan Faizul.
Riana hanya tersenyum lagak faham. Baru dia teringat surat yang sepatutnya sampai ke tangan dia tidak diberi oleh Faizul seperti yang dipinta. Tetapi dia tidak kisah kerana hanya sekadar berharap Faizul sedar yang Eza ikhlas menyayangi dirinya dan dia tak nak lelaki itu terus berasa bersalah. Dia juga tidak kisah jika Khairul tidak berniat menceritakan selebihnya kepadanya kerana pasti abang iparnya itu telah berubah. Mungkin dendam yang dimaksudkan di dalam surat Eza itu adalah dendam sebelum permohonan maaf yang diucapkan kepadanya. Dia mengucap syukur. Berharap tindakannya itu betul. Untuk kebaikan semua pihak.
“Okey la. Jom sayang, kita masuk tidur. Dah lewat dah ni.” ajak Khairul sambil mengenggam tangan isterinya itu.
“Err.. abang tidur la dulu, ya? Sayang nak ambil angin sikit kat luar ni.” pinta Riana tersenyum biasa membalas pandangan suaminya itu.
“Baiklah, abang masuk dulu. Sayang jangan tidur kat sini pulak, ya?” usik Khairul manja buat Riana tertawa sebentar.
Khairul bangun dan masuk ke dalam rumah. Membiarkan Riana terus-terusan melayan perasaan sedihnya sendiri.
Riana memerhati Khairul berlalu masuk ke dalam rumah. Kalih pandang pula pada cahaya di sebalik bulan yang terang. Sudah lebih seminggu Eza kembali ke rahmahtullah. Berdoa jasad Eza aman di alam sana. Dia sempat mengimbau kembali saat-saat manis bersama sahabat karibnya itu sehingga tidak sedar masa pantas berlalu. “Eza, kau tetap kawan aku walau apa pun yang berlaku.” Riana berbicara sendiri sambil bibirnya menguntum senyuman manis memandang ke arah langit yang kebiruan gelap itu. Memeluk tubuh erat. Sejuk!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~