1 Mei 2011

~Bab 3~

KELAB malam adalah tempat tarikan para pemuda dan pemudi untuk melepaskan tekanan yang dihadapi mahupun ingin memperolehi ketenangan dunia di situ. Khairul dan Johan melangkah masuk ke dalam kelab itu. Kedengaran muzik rancak sedang berkumandang kuat. Merancakkan hati pelanggan yang ada mahu pun yang sedang baru hendak berkunjung tiba.
“Faiz, kau pasti ke abang kau ada kat sini?” tanya Johan memandang keadaan sekeliling. Mencari susuk tubuh abang kepada sahabatnya itu. Kehadirannya di situ hanyalah bertujuan menemani Khairul mencari abangnya yang dikatakan menghilangkan diri sejak tiga minggu lalu. Tahu benar dengan masalah yang dihadapi oleh kawan baiknya itu ketika ini.
Yes I’m very sure. Kelab malam ni la yang dia nak melabur sangat tu. Harap-harap kita jumpa la dia malam ni.” Mata Khairul meliar mencari kelibat Faizul. Berharap malam ini abangnya ditemui. Jika tidak, pasti rasa susah hatinya kian mendalam jika soal lelaki itu ditanya lagi oleh ibunya.
Johan mengangguk mengerti. Memperkemaskan sebentar cermin mata yang dipakai sambil membuang pandangannya ke arah pelanggan yang semakin lama semakin ramai memenuhi setiap ruangan kelab malam itu. Pelbagai bangsa tidak kira Melayu, Cina atau India. Termasuk bangsa asing, semuanya ada. Mereka berdua masih meneruskan misi mencari. Sesekali bertanyakan soal Faizul kepada pelayan yang bertugas di situ.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
SUASANA di dalam bilik nampak tenang. Muzik yang berkumandang kedengaran sehingga ke ruangan itu. Faizul yang berdada sasa, tinggi lampai dan berkulit sawo matang sedang duduk berurusan dengan rakan kongsinya, Mike yang berbangsa Cina di meja kerja. Lagak serius antara mereka berdua. Sedang serius berbual soal perkembangan kelab malam itu.
‘Tuk! Tuk!’ Kedengaran pintu bilik itu diketuk dan dibuka. Seorang pengawal yang agak berbadan sasa seperti ahli bina badan menghampiri meja mereka berdua. Pengawal yang juga berbangsa Cina. “Boss..” panggil pengawal yang bertugas di kelab malam itu menapak ke sebelah Mike setelah wajah Faizul ditatapnya seketika.
Yes Ricky. Whats up?” balas Mike. Lagak menanti lelaki itu meneruskan kata.
Lelaki itu membisikkan sesuatu di telinga Mike. Mata Mike dengan pantas memandang ke arah Faizul yang hanya memerhati lagak mereka berdua sejak dari tadi.
“Kenapa Mike? Any problem?” tanya Faizul rasa tidak sabar. Seakan ada sesuatu yang tidak kena dengan riak wajah yang dipamerkan oleh lelaki itu. Seperti ada masalah besar.
“Faizul, olang gua ni cakap ada dua olang tengah cari lu kat depan sana.” kata Mike pandang Faizul serius. Slank orang Cina.
“Cari aku?” Faizul kerut dahi. Pandang ke arah pengawal yang bernama Ricky itu. Sedang berdiri tegak di sebelah Mike. Lelaki itu mengangguk kepala sekali. Mengeyakan apa yang dikatakan oleh tuannya itu.
Faizul segera berdiri melangkah ke luar bilik. Ingin melihat dua orang yang dimaksudkan. Seakan menganggunya untuk terus berurus niaga bersama bakal rakan kongsinya itu kelak.
Kelihatan adiknya, Khairul Faiz sedang berbual-bual bersama Johan di meja minum. Dia berhenti dari terus menapak keluar. Berlindung di sebalik satu penjuru. Memerhati tajam ke arah itu. Geram di hati muncul kembali. Menyesakkan jiwanya yang tenang seketika tadi.
“Oh ya.. pasal Riana Akma kau, apa cerita?” tanya Johan mula ubah topik. Teringat perihal wanita idaman teman baiknya itu. Ingin tahu perkembangan terbarunya.
“Riana Akma aku? Macam tu la.” Khairul tertawa kecil. Masih terasa sedikit malu untuk berbicara soal wanita pujaannya itu. Sejak perjumpaan kali kedua dan ketiga bersama wanita itu dia makin jadi tidak keruan. Seakan kata-kata pujangga ‘makan tidak lalu, tidur tidak lena dan mandi tidak basah’ ada kebenarannya juga. Hati sentiasa ada rasa berbunga bila soal wanita itu diingatinya.
“Kau betul-betul serius ke dengan perempuan tu, Faiz?” tanya Johan dengan nada mengusik. Sahaja ingin mengetahui isi hati kawan baiknya itu kerana dia sedar sejak mengenali wanita yang bernama ‘Riana Akma’ itu, Khairul selalu sahaja termenung jauh. Malah perubahannya agak jelas di mata.
“Kalau aku cakap.. yang aku rasa Riana Akma adalah jodoh aku. Kau percaya tak, Jo?” tanya Khairul serius memandang Johan. Bibir tersenyum manis.
“Aku percaya. Apa-apa pun kau kena ingat yang aku sebagai sahabat sejati kau ni sentiasa akan doakan kau yang terbaik, termasuk bersama dengan Riana Akma kau tu, okay bro?” Johan mengangguk percaya. Sempat menaikkan ibu jari tangan kanannya ke arah Khairul. Keningnya pula diangkat tinggi. Brotherhood sungguh!
“Thank you bro. Thank you.” Khairul tersenyum lebar. Jauh di sudut hati berdoa agar kata-katanya itu bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti.
Faizul sejak dari tadi hanya mencuri dengar perbualan rancak antara dua lelaki itu. Dia semakin geram melihat senyuman di bibir Khairul. Senyuman yang buat dirinya rasa dihina. Faizul lantas melangkah merapati Khairul dan Johan dengan lagak angkuh. Seangkuh yang boleh.
“Err.. Abang Faizul?” pantas Khairul menyebut nama itu setelah wajah Faizul ditatapnya penuh. Mematikan perbualan rancaknya bersama Johan sebentar tadi. Wajah yang hampir sebulan menghilangkan diri tanpa khabar berita itu sedang memandangnya geram. Lagak orang tidak puas hati.
“Kau nak apa datang sini?” tanya Faizul bernada kasar. Menganggap kehadiran adiknya itu seakan bawa bencana buat dirinya ketika ini. Mungkin bencana besar jika dibiarkan saja.
“Faiz ada benda nak cakap dengan Abang Faizul sikit.” kata Khairul cuba bernada lembut. Selembut yang boleh.
Johan pula hanya lagak memerhati. Tidak ingin masuk campur di dalam perbualan antara adik-beradik itu. Cukup sekadar menjadi peneman si kawan yang berada di dalam kerunsingan.
“Aku tak nak dengar. Baik kau berambus dari kelab malam aku ni sekarang dengan cara baik, sebelum aku halau kau keluar dengan cara kasar. Buat semak mata aku aje la tengok kau kat tempat aku ni.” Faizul mendengus lagak geram. Berbicara pun lagak seorang samseng. Anak mata menjegil tajam. Benci yang amat.
“Abang Faizul, ini soal ibu.” Khairul berbicara lagi. Lagak memujuk pula.
Faizul jadi makin tidak puas hati bila soal ibunya itu pula disebut. Dia jadi lemah. Lemah seketika. “Kita cakap kat luar.” arah Faizul melangkah ke luar daripada kelab malam itu. Membuat Khairul dan Johan lagak tercengang seketika. Mereka berdua segera mengorak langkah keluar dari situ. Mengikuti langkah angkuh Faizul.
Faizul, Khairul dan Johan memberhentikan langkah kaki mereka di pintu hadapan kelab malam itu. Saling berpandangan antara satu sama lain. Pelanggan-pelanggan yang keluar masuk ke dalam kelab memerhati mereka bertiga dengan lagak aneh dan tertanya-tanya sendiri. Lagak seperti pergaduhan bakal tercetus sebentar lagi.
“Bila Abang Faizul nak balik rumah? Jenguk ibu. Ibu betul-betul risaukan Abang Faizul sekarang ni, tau tak?” Khairul masih memujuk Faizul. Cuba bernada lembut lagi. Walaupun jauh di sudut hatinya tidak ingin menjejakkan kaki ke situ lagi. Tempat yang penuh dugaan duniawi. Namun bila difikirkan soal ibunya, dia jadi sanggup!
“Kau jangan ingat aku ni macam budak kecil la, Faiz. Ikut suka hati aku la, nak balik atau pun tak. Kau tu siapa nak ajar-ajar aku ni, hah?!” balas Faizul masih ego. Tidak mahu mengalah langsung.
“Abang Faizul.. Abang Faizul tak kesiankan ibu ke? Ibu betul-betul rindukan Abang Faizul kat rumah tu. Abang Faizul balik la, ya? Jumpa ibu sekejap pun jadi la, ya?” pujuk Khairul benar-benar ingin lelaki di hadapannya itu tahu bahawa dia sendiri tidak sanggup melihat ibunya asyik menyebut rasa rindu untuk bertemu dengan abangnya itu lagi. Dia pasti jadi risau.
“Aahh! kau tak payah nak buat drama sedih kau kat sini. Sakit mata aku tengok la. Ini tempat aku. Kau jangan berani-berani nak datang sini lagi, okey? Lebih baik kau blah aje dari sini. Jangan nak tunjuk pandai dengan aku lagi la, Faiz.” Faizul membalas dengan rasa bara di hati lagi. Jari sempat ditunding lurus. Kaki pula mula melangkah ingin masuk ke dalam kelab malam itu semula.
“Faiz bukan nak tunjuk pandai ke apa. Faiz cuma risaukan ibu. Abang faham tak?!” jerit Khairul nada kasar. Buat Faizul terhenti dari terus melangkah.
Faizul mendengus kasar. Kalih pandang semula ke arah Khairul dengan tajam. Setajam yang boleh. “Oh.. risau pasal ibu? Kalau kau risau sangat pasal ibu, kenapa kau tak nak bagi aku duit untuk aku melabur dalam kelab malam ni aje, hah? Kalau kau bagi, aku tak kan keluar dari rumah tu la bodoh!” maki Faizul masih lagak tidak puas hati. Terus menunding jari punca dia bersikap begitu ke arah Khairul. Tepat!
“Abang Faizul, ini bukan soal kelab malam ni ke apa. Ini soal ibu kita!” balas Khairul jadi makin kasar. Geram bila isu kelab malam itu diungkit lagi.
Faizul yang makin ego memandang penuh Khairul. “Kau dengar sini, Faiz. Hari itu kau dah dapat semua harta arwah abah. Aku? Apa yang aku dapat, hah? Cuma bahagian yang tak seberapa tu aje. Kau ingat logik ke, hah? aku sebagai anak sulung dalam keluarga Datuk Kamil Jamaludin dapat banyak ni aje?” tempelak Faizul benar-benar tidak puas hati. Jari telunjuk dan ibu jari tangan kanannya diangkat sebentar. Pamer bentuk bertapa kurangnya jumlah harta yang diberi atas namanya jika dibandingkan dengan nama adiknya.
“Abang Faizul...” Faiz jadi lemah. Dia tahu abangnya itu masih mempertingkaikan harta peninggalan arwah abahnya terhadap dirinya yang dikatakan dapat lebih daripada sepatutnya. Bahkan dia sendiri terkejut dengan cara pembahagian harta itu dibuat.
Tangan Johan segera menangkap lengan Khairul pantas. “Faiz, sudahlah. Jom kita balik. Tak guna cakap dengan orang yang keras kepala macam dia ni.” Johan mula campur tangan. Segera menghampiri Khairul yang lagak tidak mahu mengalah juga itu. Dia sempat pandang sinis ke arah Faizul yang lagak merenungnya tajam sebelum dia mengheret Khairul pergi dari situ. Tidak sanggup lagi melihat kawannya itu terus menjadi mangsa maki hamun lelaki yang berlagak angkuh itu.
Faizul makin bertambah geram memerhati Khairul ditarik pergi dari situ. Sesungguhnya masih banyak benda yang ingin dipersoalkan dengan lelaki itu. Timbul rasa dendam di hatinya semula. “Riana Akma.” Nama itu diluah di bibir Faizul dengan keluhan sinis. Ingin benar tahu siapa gerangan wanita yang disebut-sebut oleh mereka berdua sebentar tadi itu. Soal wanita yang buat adiknya itu tersenyum lebar. Senyuman yang buat hatinya bertambah marah dan sakit. Akalnya pula sedang memikirkan sesuatu. Ligat!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“MACAM mana Megat? Apa hubungan mereka berdua tu?” Hairie menyoal dengan nada tenang sambil berdiri merenung ke luar jendela biliknya. Kelihatan kenderaan sedang berpusu-pusu menuju ke arah destinasi masing-masing. Kedua-dua tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar. Serius.
            “Erm.. mereka just kawan baik. Tapi orang aku cakap Encik Faiz tu macam syok aje kat staf kau tu.” terang Megat yang sedang duduk memandang Hairie. Hampir seminggu dia dipinta mengupah orang untuk menyiasat di sebalik hubungan yang terjalin di antara Riana dan Khairul itu. Bukti dan keputusan yang diterima juga agak membanggakan.
            “Hmm.. Good job! Itu yang aku nak dengar. Aku nak orang kau terus intip mereka berdua. Aku nak tahu segalanya pasal lelaki tu.” arah Hairie mengangguk kepala beberapa kali. Bibir tersenyum sinis.
            “Okay. No problem. Nanti aku update dengan kau lagi.” Megat mengangguk mengerti. Dia turut tersenyum suka. Suka dengan pujian yang jarang diterimanya itu.
Hairie mengalihkan pandangannya ke arah Megat semula. “So Megat, kau rasa.. apa aku patut buat lagi sekarang ni?” Hairie bertanya lagi. Cuba meminta pendapat pula.
            Megat berfikir sejenak. Mata kembali menatap wajah ingin tahu majikannya itu. “Kalau kau masih nak Projek Mega Tiga tu jatuh je tangan syarikat kita, kau kena ikut idea aku, Hairie.”
            Perbualan mereka berdua dilanjutkan lagi. Segala yang dirancang perlu diatur dengan teliti agar matlamat utama dapat dicapai dengan cemerlang.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“SELAMAT pagi Kak Syida.” ucap Riana ketika melalui hadapan meja Kak Syida sebelum berlalu ke mejanya seperti biasa. Cuti dua hari hujung minggunya yang lalu dirasakan cukup puas sebagai pekerja Syarikat Gema Holding untuk beristirehat di rumah. Melepaskan penat dari lima hari waktu bekerjanya.
            “Selamat pagi. Hah! Riana, nanti kejap kejap!” Kak Syida segera meninggalkan mejanya dan berlari mendapatkan Riana yang baru hendak duduk.
            “Kenapa Kak Syida? Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Riana aneh. Kerutan di dahi wanita itu jelas kelihatan di matanya.
            “Memang banyak yang tak kena ni. Akak nak tanya, Riana ada buat apa-apa silap tak masa persidangan kat Syarikat Delima hari itu? Ada apa-apa yang berlaku ke hari tu?” pantas Kak Syida bertanya tanpa perlu berselindung. Lagak masalah besar sedang melanda.
            “Buat silap?” Riana berfikir sejenak tentang pertanyaan itu. “Ermm.. tak ada rasanya.” geleng Riana bersahaja sambil meletakkan briefcase coklat yang dibawanya di atas meja. “Kenapa Kak Syida tanya ni?” tanya Riana jadi aneh. Fokus sebentar dengan ibu beranak dua itu.
            Kak Syida mencebirkan mulutnya. “Tak ada la. Pagi-pagi lagi sebelum Encik Hairie masuk bilik dia, dia cari Riana tau? Dia pesan kalau Riana dah sampai, cepat-cepat pergi jumpa dia. Tak pernah pulak dia nak panggil Riana awal pagi sebelum ni.” jelas Kak Syida kelihatan aneh. Otak masih ligat berfikir.
            “Isy.. betul ke, Kak Syida? Ini yang buat saya rasa seram sejuk ni, Kak Syida. Entah-entah.. Encik Hairie nak berhentikan saya kerja apa?” Riana mula meneka tujuannya dipanggil. Takut mula menerpa di hati. Fikiran pula sudah mula masuk perkara yang bukan-bukan.
            Kak Syida pantas melambai tangan kanannya sambil kepalanya digeleng beberapa kali. “Eh! Tak kan kut.” nafi Kak Syida tidak bersetuju dengan kata-kata Riana itu. Seakan tidak relevan.
            “Ermm.. saya masuk bilik dia dulu la, ya Kak Syida?” kata Riana sambil bangun. Malas berteka-teki lagi. Dia terus bangun melangkah ke arah bilik majikannya itu. Kak Syida turut sama ikut.
            “Okey. Nanti jangan lupa report kat Kak Syida, okey?” pesan Kak Syida setelah Riana berada di hadapan pintu bilik majikannya. Nada berbisik.
Riana hanya mengangguk faham. Pintu diketuk. Dua kali.
“Masuk!” Panggilan masuk kuat kedengaran dari dalam bilik. Riana kalih pandang sebentar ke arah Kak Syida yang seakan ternanti-nanti. Tangan segera memulas tombol pintu dan pintu ditolak ke dalam.
            Riana melangkah masuk ke dalam dan pintu ditutup semula. Kelihatan Hairie yang seakan sedang menanti Riana di mejanya. Fail kerja di tangan sedang terbuka luas. “Ya Encik Hairie. Kenapa Encik Hairie nak jumpa dengan saya? Ada apa-apa masalah ke?” Riana bertanya satu persatu. Rasa risau ada pada nadanya.
            Hairie yang sedang menanti segera menganggukkan kepala. “Ya Riana. Sila duduk kejap.” arah Hairie menuding jari ke arah kerusi di hadapannya.
            Riana hanya mengangguk faham lalu duduk menghadap majikannya tanpa banyak soal. Inilah pertama kali dia duduk berhadapan dengan lelaki itu setelah hampir tiga tahun lebih dia berkhidmat di situ. “Tolong.. Janganlah kau pecat aku. Please..” Riana meminta dalam diam. Hatinya gelisah tetapi wajahnya sengaja nampak tenang. Jika benar dia dibuang kerja, pasti susah hidupnya nanti kerana dia terlalu sayangkan kerjanya ini dan dengan kerja ini jugalah yang memberi dia sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan bersama Rizman. Fikirnya jauh.
            “Awak tahu kenapa saya panggil awak ni?” Hairie menyoal dengan nada serius setelah menutup fail kerjanya. Mata memandang Riana tepat. Lagak seorang polis yang baru ingin memulakan siasatan ke atas pesalah yang dia sendiri tidak tahu apa kesalahannya.
Riana hanya menggelengkan kepalanya perlahan. Sememangnya itu yang ingin diketahuinya sejak dari tadi lagi.
            Hairie terdiam sebentar. Sengaja mencipta unsur suspen di saat itu. “Erm.. sebenarnya ada sesuatu yang perlu saya beritahu awak, Riana. Dah lama sangat saya nak beritahu awak benda ni.” Hairie mula melembutkan suaranya. Sedikit demi sedikit. Seakan ingin meluahkan sesuatu.
            “Err.. apa dia Encik Hairie? Cakap la..” balas Riana makin bernada perlahan. Hairan seketika dibuatnya melihat gelagat lelaki itu. Sukar dijangka.
            Hairie memandang Riana lama. “Ermm.. saya nak cakap yang saya dah lama sukakan awak, Riana.”
            “Huh?” Riana terpana setelah satu persatu ayat luahan hati Hairie yang didengar diamatinya. Wajah lelaki itu ditenung. Matanya pula tidak berkebil. “Suka aku? Dah lama? Biar betul mamat ni? Aku mimpi ke ni, ya Allah?” jerit Riana di dalam hati. Sekuat yang mampu. Seakan tidak percaya dengan luahan berani daripada bibir lelaki yang cukup dihormati di hadapannya itu.
            “Saya harap awak sudi jadi girlfriend saya. Saya.. saya cintakan awak, Riana.” tambah Hairie lagi selepas melihat tiada sebarang reaksi lain daripada wanita bertudung yang berada di hadapannya itu selain hanya dengan reaksi terkejut dan merenungnya dalam.
            Riana jadi serba tidak kena. Serba salah pun ada. Dirinya mula ditimpa rasa resah dan cuba memikirkan balasan kata yang perlu dipertuturkan kepada majikan yang selama ini dihormatinya itu. Segera.
            “Riana..” panggil Hairie perlahan mengejutkan Riana yang masih ligat berfikir itu.
            “Bagi saya satu minggu, boleh Encik Hairie?” Riana segera membalas sambil mengangkat tegak jari telunjuknya. Masih di dalam nada perlahan.
            “Satu minggu?” tanya Hairie inginkan kepastian. Sedikit aneh bila dipinta sebegitu.
Riana mengangguk pasti. Bibir cuba mengukir senyum. “Ya. Satu minggu aje.”
“Hmm.. baiklah. Satu minggu.” angguk Hairie pula lambat. Teragak-agak.
            “Saya keluar dulu ya, Encik Hairie?” Riana segera meminta izin untuk keluar. Dia perlu keluar segera menahan degupan jantungnya yang semakin dikecam hebat itu. Tidak mahu terus menjadi mangsa renungan lelaki itu.
            Hairie mengangguk sekali lagi tanda setuju membuatkan Riana melangkah ingin keluar dari situ. “Riana..” panggil Hairie tiba-tiba setelah Riana melangkah dalam beberapa tapak mendekati pintu.
            Riana pantas memusingkan badannya memandang Hairie. “Ya Encik Hairie?” sahut Riana dengan suara mendatar. Terkejut seketika bila namanya dipanggil semula. Entah apa pula yang ingin diluahkan lelaki itu pun dia tidak pasti.
            “Saya harap perkara ini biarlah antara saya dengan awak sahaja yang tahu. Kalau boleh, saya harap awak tak ceritakan perkara ini pada pekerja-pekerja saya yang lain, ya?” pinta Hairie dengan nada selembut yang boleh. Bibir cuba untuk tersenyum mesra memandang wanita yang sedang berdiri di hadapannya itu.
            Riana mengangguk lagak faham dan pantas keluar dari bilik pejabat lelaki itu. Riana duduk di tempatnya semula. Kak Syida yang sejak dari tadi ternanti-nanti di luar segera mendapatkan Riana apabila terpandang lagak wanita itu melepasi tempatnya. Seakan resah semacam.
            “Riana, kenapa ni? Riana betul kena pecat ke?” tanya Kak Syida sedikit gelisah. Mana tidaknya, Riana telah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Jika benar sangkaannya itu, pasti dia turut sama terasa tempiasnya kerana dia yang meminta Riana menggantikan tempatnya untuk Projek Mega Tiga itu. Pekerja-pekerja lain yang berhampiran turut memandang mereka berdua dengan tanda soal di minda tetapi tidak berani masuk campur. Lagak sibuk dengan kerja masing-masing.
            Riana hanya menggeleng kerana masih terkejut. Lagak memikirkan sesuatu.
“Habis tu, kenapa akak tengok muka Riana pucat semacam aje ni?” tanya Kak Syida lagi. Risau.
            “Tak ada apa-apa la, Kak Syida. Riana okey aje.” jelas Riana tersenyum tenang memandang wanita yang dalam usia lingkungan tiga puluh tahun itu.
            “Betul ni? Habis tu, kenapa Encik Harie panggil Riana tadi?” soal Kak Syida makin serius. Inginkan kepastian.
            Riana berfikir sejenak. “Err.. tak ada ni.. Encik Hairie nak Riana emailkan nota dari Syarikat Delima pasal persidangan hari itu.” Riana segera menghidupkan komputernya agar Kak Syida tidak terus-terusan menyoalnya. Walaupun sebenarnya dia teringin benar berkongsikan hal itu. Dia memang tidak dapat menceritakan perkara itu kepada Kak Syida walaupun sedikit kerana Hairie telah berpesan padanya. Mana mungkin dia melanggar janjinya sebentar tadi pada lelaki yang dihormatinya sejak sekian lama itu.
            “Oh.. ya ke? Ingatkan apalah tadi. Risau akak.” sambung kata Kak Syida menarik nafas lega. “Ermm.. akak pergi buat kerja dulu la, ya?” kata Kak Syida tersenyum lega. Hilang segala persoalan di mindanya bila mendengar jawapan Riana.
Riana mengangguk tersenyum kelat. Namun di hatinya kini masih tidak aman. Masih berkocak. Riana jadi serba tak kena. Fikiran mula merunsing. Memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku untuk tempoh satu minggu ini.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“APA?! Dia kata dia suka kau? Dia dah lama suka kat kau?” tanya Eza terkejut setelah diberitahu Riana soal luahan hati majikan kawannya itu. Dia singgah di rumah Riana pada malam itu seperti kebiasaannya. Melepaskan rindu.
            Nureza Tarmizi atau lebih dikenali dengan nama Eza, kawan sekelas Riana sejak dari Tingkatan Satu lagi dan mereka mula rapat apabila masuk ke Tingkatan Tiga. Kini, Eza berkerja sebagai seorang guru mata pelajaran Bahasa Malaysia di sebuah sekolah rendah. Jika dia mempunyai kelapangan masa, pasti rumah Riana akan menjadi tempat persinggahannya.
Riana pantas meletakkan jari telunjuk di bibir. Mata pandang Eza tajam. “Isy kau ni Eza.. Slow la sikit, Riz ada tu.” Riana membisik kata dengan riak wajah bimbang. Bimbang jeritan kecil Eza sebentar tadi itu didengari Rizman walaupun pintu biliknya telah lama ditutup rapat. Namun adik lelakinya itu sedang asyik menonton televisyen rancangan kegemarannya di ruang tamu sambil buku nota sekolah setia berada di tangan. Mengintai ke arah itu bila iklan menerpa.
Eza berubah rupa tiba-tiba. Dari riak wajah terkejut berubah ke riak wajah kehairanan pula. “Tapi pelik la.. Kau kata kau baru sembang lama dengan dia dalam sehari, itu pun atas urusan kerja. Tak kan la dia dah lama suka kat kau?” Eza mula meluahkan rasa sedikit kehairanan di hati dengan cerita yang disampaikan dari mulut kawan baiknya itu. Lagak seperti tidak masuk akal.
“Hmm.. itu la. Aku pun rasa pelik jugak ni. Aku rasa dia syok kat aku dalam diam kut.” Riana lagak meneka sendiri. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru sekali. Dia sendiri hairan. Mana tidaknya, lelaki yang sepanjang dia bekerja.. tidak pernah berbual berdua ataupun berjumpa untuk satu jangka masa yang lama boleh meluahkan rasa cinta di hati kepada dirinya yang dirasakan tidaklah terlalu cantik atau menarik hati untuk disukai dalam masa terdekat itu. Inikan pula dicintai. Mungkin pepatah ‘Cinta itu Buta’ boleh diguna pakai di dalam situasi pelik di antara dia dan majikannya itu. Fikirnya galak!
            “Fuyoo.. so romantic! Macam tak percaya aje. So apa jawapan kau, Riana?” Eza tiba-tiba berlagak senang hati mendengar cerita dari mulut Riana itu pula. Kedua-dua tangannya pula ditepuk.  Memang cepat benar riak wajahnya berubah.
            “Jawapan aku? Ermm.. aku minta tempoh seminggu.” Riana membalas dengan nada bersahaja. Mata kembali memerhati ruangan laman sosial Facebook di muka skrin laptop. Itulah hobinya bila mempunyai kelapangan masa di sebelah malam. Berchatting dengan kawan-kawan lama. Kadang kala hanya membaca status terkini setiap kenalannya. Pelbagai cerita dikongsi bersama. Suka mahu pun duka.
            “Apa? Seminggu aje?” ulang tanya Eza kembali. Nada inginkan kepastian.
            Riana mengangguk kepala beberapa kali. “Hmm. Seminggu aje. Kenapa? Kau nak berapa minggu?” soal Riana mula angkat kening melihat lagak kawan baiknya itu. Sungguh mengelirukan!
            “Kalau aku la Riana, kan? Tak payah kata seminggu, sesaat pun aku tak sanggup, tau?” Eza membalas dengan lagaknya. Bibir pula tersenyum nakal. Seolah-olah sedang berimaginasi sendiri.
            “Isy.. kau ni pelik la, Eza..” balas Riana jegil mata seketika ke arah Eza.
            “La.. dia kan lelaki yang kau cerita kat aku dulu muka dia macam pelakon Jericho Rosales daripada Filiphine yang nama apa tu? Shukri.. Shukri Yahaya. Haa.. Handsome sangat tu beb. Rugi oh.. kalau kau tak terima cinta dia.” kata Eza lagak teruja seketika. Jari sempat mencuit lengan Riana yang berada di hadapannya itu.
Riana teringat kembali dengan perbualannya bersama Eza berkenaan hal itu. Ya, memang dia pernah memberitahu Eza tentang rupa bentuk lelaki itu. Serupa pelakon daripada negara jiran Malaysia.  “Ya. Aku tahu la tu. Tapi Eza..”
            “Okay. Look here, Riana. Aku nak tanya kau ni,  kau suka kat dia tak sekarang ni?” celah Eza sambil memegang kedua-dua belah bahu Riana agar dia memandang tepat ke arahnya. Ayat Riana sebentar tadi tidak jadi disambung.
            Riana terdiam seketika. “Ermm.. suka la jugak.” Riana menjawab lambat. Nada sedikit teragak-agak. Rasa malu pula tiba-tiba.
            “See.. Suka jugak, kan? So what are you waiting for? On aje la. Lagi pun kau kan masih single and mingle, nak tunggu siapa lagi Cik Riana oi..?” cadang Eza makin teruja kerana telah lama dia tidak mendengar kisah cinta Riana dan inilah peluangnya memainkan peranan sebagai kawan baik. Yang sentiasa akan berada di waktu suka dan duka.
            “Ya la. Itu aku tahu, tapi dia bos aku la, Eza.. bos aku. Kalau aku couple dengan dia, macam mana pulak pekerja-pekerja lain? Apa pulak dia orang semua kata nanti?” Riana mula mengeluh. Perkataan ‘bos aku’ bernada mendatar. Lagak berfikir panjang kesan dan akibat jika dia berpasangan dengan lelaki yang bernama ‘Hairie Azmin Datuk Haikal’ itu. Sudahlah tampan, berpangkat anak datuk pula. Pasti ramai sahaja yang akan berasa iri hati nanti jika dia menerima kata cinta lelaki itu. Lagak tidak sekufu pun ada!
Eza menggelengkan kepala sebentar. Jari pula sama ikut. Lagak tidak setuju dengan apa yang dipersoalkan oleh Riana itu. “Haloo Riana.. Open your eyes okay! Apa nak kisah orang kata? Yang suka tu.. kau dengan dia, bukannya dia orang. Mulut orang, ala.. bukannya boleh tutup pun.”
Riana jadi keliru dengan perasaannya sendiri. Jika difikirkan balik, betul juga tentang apa yang diperkatakan oleh Eza itu. Kalau dah suka, buat apa tunggu lagi, kan? Cakap aje la suka, tak perlu fikir orang lain. Jika tidak, merana diri. Fikiran Riana jadi makin tidak kena. Oh tidak!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“FAIZ, aku rasa kau kena berterus-terang la dengan Riana tentang perasaan kau kat dia. Sampai bila kau nak pendamkan perasaan kau tu. Tak kan kau nak tengok dia disambar orang lain kut.” Johan mencadang lagak serius. Dia sudah sedia maklum dengan perasaan Khairul terhadap wanita pilihan hati yang hampir sebulan dikenalinya itu. Walaupun dia tidak pernah berbual dan hanya sekadar pernah melihat wajah wanita itu dari jauh tetapi dia dapat membuat tekaan wanita itu pasti baik orangnya. Pasti dapat membahagiakan hati kawan baiknya itu kelak.
            “Itu aku tahu, tapi aku takut la, Jo.” Khairul mula meluahkan rasa hati. Sambil memusing-musing straw di dalam gelas air limau aisnya. Sesekali air di dalam gelas itu dihirup perlahan. Wajah Riana yang dijumpainya baru-baru ini masih segar di dalam bayangan fikiran. Seolah-olah dia telah dijangkiti penyakit mabuk cinta. Mungkin bakal ke tahap angau dan gila bayang jika tidak dicegah dari awal lagi.
            “Takut? Kau tu lelaki la bro, mana boleh takut. Being gentleman la..” ujar Johan sedikit tertawa kecil dengan jawapan balas Khairul itu. Lagak tidak boleh diterima pakai.
Khairul melepaskan keluhan kecilnya. Dia memandang Johan kembali. “Aku takut Jo, aku takut kalau Riana tak terima aku. Aku lebih sanggup kalau dia tak terima aku lebih dari seorang kawan, daripada aku terpaksa kehilangan dia sebagai kawan. Yang tu aku memang tak sanggup.” Khairul jadi serius. Kepala sempat digeleng beberapa kali. Cuba menidakkan kesan jika dia jadi terlalu berani. Dia lebih rela berkawan dengan Riana andai itu takdir yang tertulis di antara dia dan wanita itu. Sungguh!
            “Tapi Faiz, tak salah kalau kau cuba. Mana tahu, Riana pun ada perasaan sama macam kau ke? Jangan nanti korang berdua main tarik tali sudah la.”
Johan masih lagak mendesak. Mendesak Khairul untuk jadi berani. Buat Khairul fikir sendiri. Benar juga kata Johan. Tidak salah kalau dia mencuba!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
KHAIRUL dan Riana berjogging bersama dan ditemani Rizman di sisi. Bersantai di Taman Rekreasi, Tasik Y, Batu Pahat. Itulah aktiviti yang sering dilakukan mereka sekiranya mempunyai kelapangan masa pada sebelah waktu pagi di hari cuti hujung minggu mereka berdua. Ditambah pula cuti hujung minggu sekolah. Pasti tiada halangan.
            “Riana, saya ada nak cakap something kat awak la.” kata Khairul yang sedang berjogging seiringan dengan Riana. Mengubah topik perbualannya bersama wanita itu tadi. Rizman pula telah diarah ke sebuah kedai. Membeli minuman seperti yang dipinta oleh Khairul sebentar tadi. Inilah peluang yang dirasakan cukup terbaik untuk berbicara soal hatinya kepada wanita itu. Selepas itu, rahsia tentang status dirinya yang sebenar juga akan dibongkar di bibir sendiri. Biar Riana tahu yang dia benar-benar ikhlas mencintai dirinya. Tanpa ada unsur sebarang penipuan lagi.
            “Ya ke? Eh! sama la dengan saya, awak. Ada perkara penting jugak yang saya nak share dengan awak ni.” Riana membalas dengan tersenyum manis. Dia senang berkawan dengan Khairul. Senang dengan sifat memahami yang ada di dalam diri lelaki itu.
            “Khairul, entah-entah betul kata Jo. Dia pun ada hati kat kau. Dia pun mungkin nak luahkan perasaan dia kat kau.” Khairul mula meneka sendiri. Bibir mula tersenyum nakal.
            “Khairul?” panggil Riana aneh melihat Khairul lagak termenung seketika. Dia memperlahankan larian kecilnya itu.
            Khairul tersedar dari lamunannya sendiri. Pandang Riana kembali. “Ya?”
            “Awak okey tak ni?” tanya Riana sedikit aneh dengan reaksi Khairul itu tadi.
            “Okey. Saya okey aje.” Khairul memberhentikan langkah larian perlahannya membuatkan Riana turut sama berhenti. Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain. “Ermm.. kalau macam tu biar saya dululah yang beritahu awak, ya?” tambah Khairul lagi lagak teruja. Dia merasa tidak manis pula jika Riana yang memulakan luahan itu dahulu kerana dia seharusnya menjadi lelaki sejati. Fikirnya panjang.
            “Opp opp chupp! Mana boleh macam ni, tak adil la awak. Kita main Oh-som, nak tak? Macam mana? Ada berani ke?” soal Riana tersenyum nakal. Kening sempat diangkat. Dia sengaja ingin mengusik Khairul yang kelihatan seolah-olah ingin benar meluahkan perkara itu.
            “Oh-som?” Khairul kerut dahi. Lama tidak mendengar perkataan itu disebut. Kali terakhir mungkin semasa zaman kanak-kanaknya. Permainan tangan yang cukup mengirangkan.
            Riana mengangguk sekali. “Hmm. tapi yang ni.. kita main air, batu dengan burung aje, okey?” bilang Riana sambil menunjukkan cara permainan melalui gerak tangan kanannya kepada Khairul yang setia memerhati itu.
            “Okey!” angguk Khairul pantas. Hanya tersenyum melihat telatah Riana itu. Itulah salah satu bahagian sifat di dalam diri wanita itu yang berjaya menawan hati kecilnya sekarang. Sifat mencuit hati.
            Mereka berdua beralih kaki ke sebuah bangku yang terdapat di kawasan taman reakreasi itu. Melabuhkan pinggul masing-masing di situ. Duduk berhadapan antara satu sama lain. Perlawanan Oh-som dimulakan dengan baik. Air, batu, burung dan akhirnya kemenangan berpihak kepada Riana. Khairul terpaksa mengaku kalah jua akhirnya.
            “Err.. okey. Awak nak tahu tak, Khairul? Sekarang ni saya rasa saya pun dah jatuh hati la awak.” Riana mula memberitahu Khairul tentang isi hatinya. Masing-masing memandang antara satu sama lain.
            “Oh.. ya ke.. Ermm.. siapa lelaki yang bertuah tu?” Sengaja Khairul bertanya kerana pasti namanya akan disebut. Tentu indah rasa hatinya mendengar ungkapan itu. Walaupun pada hakikatnya dia yang ingin memulakan luahan soal hati itu terlebih dahulu.
            “Hairie Azmin, anak pemilik syarikat tempat kerja saya.” Sebut bibir Riana lancar. Mata pandang tepat Khairul.
            “Hairie Azmin?” Khairul terpaku. Hatinya mula berkecai bila pasti itu bukan namanya.
            Riana mengukir senyum. Kepala diangguk sekali. “Hmm.. Macam tak sangka pulak, kan? Encik Hairie tu boleh luahkan perasaan dia pada saya. Dia cakap selama ni dia suka dan cintakan saya. Saya sendiri pun terkejut awak. Awak boleh imagine tak? Dah hampir tiga tahun saya kerja dengan Syarikat Gema Holding tu, alih-alih dia pula orang yang dapat buat saya jatuh hati.” Riana terus bercerita. Tanpa perlu berselindung lagi. Sesekali kepala digeleng dan bibir tersenyum tawa sendiri. Hati lagak begitu terharu. Dia senang meluahkan soal hatinya itu kepada Khairul kerana baginya lelaki itu memahaminya. Sama seperti Eza.
            “Ya. Macam tak percaya..” luah Khairul. Tersenyum tawar. Terselit nada kecewa yang amat dalam. Menyesal tak sudah.
            “Haa.. tu kan? Kawan saya Eza pun cakap macam tu jugak, macam tak percaya aje Encik Hairie tu boleh sukakan saya. Dah lama pulak tu.” Riana tersenyum sendiri lagi. Nada terlalu suka.
            Khairul hanyut dengan ombak kekecewaannya sendiri kerana sangkaan Riana mungkin menyebut namanya tersasar sama sekali. Harapan hanya tinggal harapan. Kata-kata Johan ada benarnya juga kerana kekasih hatinya itu kini telah disambar orang. Orang yang dia kenal.
            “Khairul, tadi awak kata awak pun ada something kan nak beritahu saya? Apa dia? Cepat la share, turn awak pulak sekarang.” Riana menyoal buat Khairul kembali kepada jasadnya yang asal setelah dihanyut begitu jauh sebentar tadi.
            “Err.. saya.. saya…” tergagap-gagap Khairul membalas. Mata masih memandang Riana. Tiada idea. Sungguh!
            “Faiz, aku rasa kau kena berterus-terang la dengan Riana tentang perasaan kau kat dia. Sampai bila kau nak pendamkan perasaan kau tu?”
Khairul teringat kembali cebisan kata-kata sokongan Johan kepadanya seketika. Seolah-olah kata itu memberinya semangat untuk bangkit semula. Bangkit dari terus jatuh.
            “Saya apa?” Riana masih ternanti-nanti. Aneh dia melihat kawan lelaki yang duduk di hadapannya itu. Seolah-olah sedang menyusun ayat.
            “Saya dah couple dengan Maria.” Lancar sahaja Khairul menjawab. Tanpa sedar dia telah menyebut nama Maria Akila, insan yang pernah hadir di dalam hidupnya suatu ketika dahulu.
Riana membulatkan biji matanya. “Really? Serius awak? So means.. awak dah luahkan perasaan awak tu pada dia?” tanya Riana lagi ternanti-nanti. Sedikit terlopong mendengar pengakuan tiba-tiba lelaki itu. Tangan sempat diangkat mengatup mulut yang terlopong itu.
            Khairul mengangguk lambat. Cuba untuk senyum. Sehabis boleh!
            “Wow! Syukur alhamdulilah. Akhirnya awak berjaya jugak luahkan perasaan awak tu pada Maria. Kan saya dah banyak kali kata, dia pasti sukakan awak jugak, Khairul. Ermm.. macam kebetulan pulak, kan? Saya dengan Hairie dan awak pula dengan Maria.” Riana makin tersenyum ceria. Gembira kerana menyangkakan doanya selama ini agar cinta sembunyi Khairul terhadap wanita yang bernama Maria Akila itu diterima baik dan dimakbul oleh Maha Yang Berkuasa.
          “Jo, maafkan aku. Aku tak dapat luahkan perasaan aku kat dia. Dia milik orang lain, Jo. Dia milik orang lain.” Khairul hanya memandang Riana yang begitu teruja mendengar pengakuannya sebentar tadi. Impiannya untuk memiliki insan yang berada di hadapannya itu musnah sama sekali dan dia hanya mampu memandang wajah insan itu mengecapi kebahagiaan yang pernah diimpikannya. Sungguh terseksa dan pedihnya yang amat.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“SAYA setuju.” Riana mengangguk perlahan. Senyuman pula terukir di bibir. Pertemuan makan malam pertama antara dia dan Hairie pada malam ini memberi jawapan untuk soalan yang tertangguh dari minggu lepas.
            “Betul? Awak setuju jadi girlfriend saya?” Hairie ulang kembali pertanyaannya. Merenung dalam wajah Riana. Inginkan kepastian dengan jawapan yang didengarnya itu.
            Riana mengangguk sekali lagi. Tersenyum manis. Cukup tempoh seminggu. Dia telah buat keputusan. Keputusan yang bakal mengubah status hatinya selepas ini.
            “Yes! Terima kasih. Terima kasih Riana.” Hairie lagak menjerit kecil. Lagak teruja sungguh. Buat hati Riana kembali terpaut mesra.
            “Saya yang patut ucap terima kasih pada awak. Sebab awak sudi mencintai saya. Dah lama pulak tu.” ungkap Riana tertunduk malu. Sesungguhnya dia tidak sedar ada juga insan yang sudi mencintai dirinya selama ini.
            “Err.. ya..” Hairie tersenyum kelat. “Tapi Riana, saya masih nak awak rahsiakan hubungan kita ini daripada pengetahuan pekerja-pekerja saya yang lain, ya? Sampai masanya nanti, saya sendiri akan beritahu mereka semua, okey?” Hairie menambah kata buat Riana mendongakkan kepala. Memandang Hairie dengan tanda tanya di kepala.
            “Ermm.. maaf awak,  boleh saya tahu kenapa tak?” Riana mula rasa aneh. Sudah masuk kali kedua lelaki itu berpesan kepadanya tentang perkara yang sama.
            Hairie mula telan air liur. “Tak, bukan apa. Saya just tak nak nanti mereka semua salah faham dengan kita berdua aje. Ya la.. office kan? Saya takut nanti ada mulut-mulut yang tak manis kat office tu.. I just want to be profesional. Saya harap awak faham.” Hairie membalas lagak tenang. Tidak mahu Riana menghidu rancangannya kelak.
            “Okey. Saya faham.”  Riana mengangguk tersenyum. Kini dia sudah mula faham. Jika boleh itulah kemahuannya, lagi pun ada bagusnya juga hubungan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan pekerja-pekerja lain, tidaklah nanti dia berasa segan atau kekok jika berselisih atau bertembung dengan lelaki yang berperanan sebagai majikannya itu kelak. Lebih-lebih lagi daripada pengetahuan Kak Syida, pasti heboh satu syarikat jadinya nanti.
            Riana dan Hairie menghabiskan masa mereka berdua dengan menikmati hidangan makan malam di kafe yang dipilih oleh lelaki itu sendiri. Mereka turut mengenali latar belakang diri masing-masing. Bagi Riana, hatinya kini telah diberi ruang untuk lelaki itu mula bertapak. Namun, lain pula bagi Hairie, yang merasakan inilah saatnya dia memulakan rancangan yang diilhamkan oleh Megat, kawannya itu. Rancangan yang bakal membawa kepada pulangan yang besar kepada syarikatnya kelak.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
BRO, Purnama Sakti nak sambung kontrak dengan kita. Jadi esok kita kena pergi tengok tapak projek dia orang kat Jalan Zabedah tu. Kau rasa kita patut pergi sana pukul berapa?” tanya Johan sambil memandang fail yang dipegangnya. Di jarinya pula tersisip sebatang pen yang sempat dipusing beberapa kali. Namun, lain pula yang dipandang Khairul. Walaupun fail di tangannya itu terbentang luas di hadapan tetapi isinya tidak langsung menarik perhatian Khairul. Yang ada hanya luahan hati Riana tempoh hari dan kelukaan yang berbekas di hatinya kini. “Faiz. Faiz.. Wey!” Johan memukul perlahan fail yang dipegangnya ke atas meja apabila pasti Khairul seakan tidak peduli dengan pertanyaannya itu. Bunyi pukulan itu juga kuat kedengaran.
            “Huh? Apa dia?” Khairul kembali tersedar dari lamunan panjangnya. Pandang Johan dengan lagak terpinga-pinga.
            “Apa dia? Kau ni pening ke apa? Kau dengar tak aku cakap apa tadi?” tanya Johan mula rasa geram. Geram bila disoal kembali dengan lagak begitu.
            Khairul mengangguk kepala beberapa kali. “Ya. Aku dengar.. dengar.” balas Khairul memandang kembali fail di tangannya itu. Acuh tak acuh.
            “Okey. Apa yang aku cakap tadi?” Johan cuba menguji. Lagak menanti kata balas kawannya itu sahaja.
            Khairul berfikir sejenak. “Kau nak balik, kan? Okey. No hal. Baliklah..” balas Khairul bersahaja. Tersenyum angguk memandang Johan semula.
            Johan terkejut seketika. “Hah? Balik? Asytafirullahalazim.. Faiz Faiz.. Lain yang aku cakap, lain pulak yang kau jawab.” geleng Johan seakan tidak percaya itu jawapan yang keluar dari mulut Khairul. Memang langsung tidak menjawab soalannya. Sedikit pun! Nampaknya hampir sepuluh minit tadi mulutnya tidak henti-henti berkumat-kumit lagak jampi seranah, hanya sekadar menghabiskan air liurnya sahaja. Johan jadi lagak tidak puas hati melihat Khairul masih lagi berlagak acuh tidak acuh dengannya. “Okey! Kita tutup fail ni kejap..” Johan segera bangun merampas fail di tangan Khairul. Dia menutup fail itu dan failnya sendiri turut dilayan lagak sama. Ditutup dan diletak kemas ke atas meja. Johan pandang tepat ke arah Khairul setelah duduk di tempatnya semula. “Sekarang kau cerita kat aku, bro.  Apa yang dah mensasulkan kepala otak kau sekarang ni. Ini kalau tak lain tak bukan, mesti pasal Riana Akma kau tu lagi, kan?” teka Johan seakan dapat mengagak perubahan sikap Khairul itu. Pasti wanita itu jadi puncanya lagi. Punca sahabatnya itu termenung jauh dan hilang fokus tentang kerja.
            Khairul hanya melepaskan keluhan berat. Keluhan yang dapat didengar jelas bunyinya. Dia bangun dari tempat duduknya dan menapak ke arah jendela di dalam bilik itu perlahan-lahan. Mata memandang langit kebiruan yang tenang jauh nun di atas sana. Tetapi hatinya kini tidak setenang langit itu. Bergelora habis! “Riana, dia dah jadi kepunyaan orang lain la, Jo.” Khairul mula membalas dengan nada perlahan namun bicaranya itu masih mampu menusuki gegendang telinga Johan yang masih duduk. Duduk setia mengekori gerak-geri Khairul itu.
            “Apa?! Betul ke bro? Err.. kau dah beritahu dia pasal perasaan kau tu?” tanya Johan lagak sedikit terkejut.  Dia mula berdiri melangkah menghampiri Khairul. Ingin benar tahu.
Khairul pandang Johan pantas. “Untuk apa, Jo? Untuk apa aku beritahu dia semua tu? Untuk dia tinggalkan aku? Tak, aku tak kan cakap. Sebab aku tahu kalau aku cakap, aku pasti akan kehilangan dia, Jo.” jelas Khairul ingin sahabatnya itu tahu bahawa sesungguhnya dia tidak mahu berpisah dengan wanita yang bernama ‘Riana Akma’ itu. Dia tidak mahu!
            Johan terdiam seketika. Lagak berfikir sejenak. “Err.. dia dengan siapa, bro?” Johan berani bertanya. Ingin juga tahu gerangan lelaki yang telah berjaya mencuri hati wanita idaman kawan baiknya itu. Cepat sungguh disambarnya!
            “Hairie Azmin.” jawab Khairul dua patah. Kepala dialih semula ke arah tingkap jendela. Sepenuhnya.
            “Apa? Hairie Azmin Datuk Haikal daripada Gema Holding?” teka Johan lagak terkejut lagi. Inginkan kepastian kerana nama itu sahaja yang dia dapat tangkap setakat ini.
            Khairul pandang Johan seketika. Seakan mengeyakan tekaannya itu. Keluhan sedih dilepas lagi. Kini Johan pula melepaskan keluhannya tetapi tidaklah seberat Khairul. Dia dapat menyelami isi hati sahabat baiknya itu kerana dia sudah banyak kali bercinta dan berpisah. Dia tahu perasaan yang dialami oleh lelaki itu ketika ini. Pasti sangat sedih!
            “Sabar aje la bro, ya? Mungkin dia bukan jodoh kau.” balas Johan sambil menepuk perlahan dua kali belakang badan Khairul. Ayat itu sahajalah yang mampu terucap di bibirnya kerana dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang menimpa sahabatnya itu. Dia sendiri buntu.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
HAIRIE dan Riana keluar makan malam setelah Hairie menjemputnya dari rumah. Ini kali kedua pertemuan makan malam mereka berdua dalam tempoh seminggu ini. Tanpa pekerja atau soal syarikat. Hampir sepuluh minit berlalu. Masing-masing dengan lagak tersendiri menjamah makanan yang sedia terhidang di sebuah kafe pilihan Hairie itu.
            “Hairie, kau kena layan Riana macam kekasih kau sendiri. Tanya pasal family dia, apa yang dia suka dan yang paling penting.. buat dia rasa yang kau betul-betul dah fall in love dengan dia.”
            Hairie teringat sebentar nasihat Megat padanya. Perlu melayan Riana lagak seperti kekasih agar rancangannya itu berjalan seperti yang dirancang tanpa ada pihak yang dapat menghidu. “Err.. Riana, awak stay dengan siapa, ya?” tanya Hairie tersenyum mesra memandang Riana yang sedang asyik menikmati makanannya. Mula memainkan watak yang dipegangnya.
            “Ya? Ermm.. saya stay dengan adik saya Rizman, dia Form Five tahun ni.” jawab Riana sedikit kaget. Perasaan malu menyelubungi dirinya sejak dari rumah lagi. Sedikit gementar bila berhadapan dengan lelaki yang telah membuat hatinya berdetik itu.
            “Oh I see..” angguk Hairie lagak mengerti. Kembali menyambung makan.
            “Awak pulak?” soal Riana memberanikan diri. Ingin juga tahu mengenai latar belakang Hairie walaupun kebanyakkan perihal lelaki itu dia sudah sedia maklum.
            “Saya? Saya stay dengan family saya. Papa, mama dan kakak saya.” balas Hairie berlagak biasa sambil menjamah makanannya.
            “Oh.. Hmm.. dah lama dah saya tak tengok Datuk Haikal. Dulu dia ada jugak datang office, kan?” kata Riana teringat akan ayah lelaki itu. Jarang sekali dia menatap wajah Datuk Haikal menyinggah ke Syarikat Gema Holding.
            “Ya. Papa saya sibuk sikit sekarang sebab uruskan business di Amsterdam. Handle cawangan Syarikat Gema Holding di sana.” ujar Hairie benar. Tidak boleh menipu soal latar belakang keluarganya itu. Pasti ketahuan juga nanti.
“Oh.. rajin jugak dia, ya?”
“Ya. Tapi dia pun tak berapa sihat sekarang ni. Ada sakit jantung.”
            “Oh.. bahaya jugak tu.. Adik-beradik sebelah arwah ayah saya pun ada sakit jantung jugak tau? Tapi masih kuat lagi. Asyik nak kerja aje. Sama la macam papa awak.” kata Riana bernada ceria. Tanpa henti.
Hairie hanya mengangguk dengar. Terasa menyesal pula beritahu Riana tentang perkara itu.
 “Ermm.. sedap kan makanan kat sini? Pandai awak pilih tempat.” puji Riana sekadar ingin berbual dengan lelaki itu.  Lagak mulut masih tidak mahu duduk diam. Berbicara saja.
            “Ya.” angguk Hairie tersenyum kelat lagi. Makanannya terus dijamah. Sekilas melihat ke arah jam tangan di pergelangan lengan tangan kirinya. Berharap masa pantas berlalu pergi agar wajah wanita di hadapannya itu tidak dilihat lagi. Tidak ingin dia terus berpura-pura. Terasa sungguh bosan!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“KAK, Sabtu ni kita jadi keluar jogging dengan Abang Khairul tak?” tanya Rizman kalih pandang Riana yang sedang asyik melipat baju. Rizman sedang duduk mengunjur di atas sofa. Menonton televisyen rancangan aksi.
            “Err.. akak tak mesej dia pun lagi. Kenapa Riz tanya? Minggu depan Riz ada hal ke?” tanya Riana aneh. Tangan masih melipat baju yang diangkatnya sebentar tadi.
            “Tak ada. Saja tanya. Ermm.. Riz suka la Abang Khairul tu. Dia baik, kan kak?” kata Rizman. Nada seakan ingin memuji lelaki itu.
            “Ya. Dia memang baik.” angguk Riana tidak menafikan hal itu. Khairul memang seorang kawan yang baik yang sentiasa buat dia merasa selesa untuk berkongsi cerita.
            “Ermm.. kenapa akak tak couple dengan Abang Khairul aje erk? Lagi pun Riz suka kalau Abang Khairul tu jadi abang ipar Riz.” tambah Rizman seolah-olah telah lama ingin memperkatakan hal itu. Lagak benar-benar.
            Tangan berhenti digerak. Riana pandang Rizman tepat. “Ermm.. Riz ni dah Solat Maghrib ke belum ni? Dari tadi asyik tengok TV tu aje.” tanya Riana cuba ubah topik. Lagak rasa tidak puas hati seketika memandang adiknya itu.
            Rizman kalih pandang semula ke arah kakaknya itu. Lagak tersengih.
            “Dah. Pergi solat cepat. Tutup TV tu. Tak baik tau lengah-lengahkan solat ni.” pesan Riana serius. Dapat meneka tindak balas adiknya itu.
            “Okey kak.” Rizman lagak menurut kata. Segera bangun menutup televisyen yang sedang bersiaran itu. Terus berlalu masuk ke dalam bilik tidurnya.
Riana tersenyum senang hati seketika. Terasa beruntung mempunyai adik seperti anak muda itu. Sentiasa mendengar kata dan tidak mudah melawan kata-katanya. Tangan pula kembali bergerak semula. “Aku couple dengan Khairul?” Riana bertanya sendiri dengan mimikan muka. Tangan pula ditunding ke arah mukanya sendiri. “Memang tak la.” sambung Riana pantas tersenyum menggeleng. Tidak sangka Rizman boleh berfikiran sebegitu kerana tidak terlintas langsung di hatinya untuk berpasangan dengan Khairul atau menjadi kekasih lelaki itu kerana dia tahu Khairul mencintai Maria yang belum pernah bersua muka dengan wanita itu lagi.
Tangan berhenti melipat baju. Dia kalih pandang pula pada meja tamu. Mencapai telefon bimbit yang diletakkan di situ sebentar tadi. Papan kekunci telefon segera ditekan. Mesej ditaip pantas. Bibir mengikut rentak taipan. Tanpa suara.
            ‘Khairul, sabtu ni jogging jom?’< Riana >
            Riana tunggu sebentar. Menanti mesejnya dibalas.
            ‘Tik! Tik!’ Bunyi mesej masuk. Pantas dibukanya.
            “Ok. Set. (^^)y” < Khairul >
            Kiriman balas Khairul dibaca Riana. Bibir tersenyum senang hati. Geleng kepala. Tangan kembali melipat baju yang hanya tinggal separuh sahaja di dalam bakul itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~