1 Mei 2011

~Bab 4~

HARI berganti hari. Hubungan Riana dan Hairie seperti biasa dan masih kekal tersembunyi daripada pengetahuan umum. Begitu juga dengan Khairul, dia kini redha Riana bukan miliknya lagi untuk bergelar seorang kekasih. Mereka masih berkawan rapat dan segala masalah masih diceritakan bersama dan dikongsi berdua seakan tiada perasaan cinta yang wujud di hati.
            “Awak, awak dengan Maria apa cerita ya? Dah lama dah awak tak cerita pasal dia kat saya.” tanya Riana pandang Khairul. Mereka sedang duduk berehat di salah satu meja yang disediakan di situ setelah penat bersenam bersama sebentar tadi. Di atas meja terdapat dua biji botol yang berisi air kepunyaan mereka berdua. Rizman tidak dapat ikut serta seperti kebiasaannya kerana perlu menghadirkan diri untuk satu seminar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
            “Maria? Err.. kami okey aje. Macam biasa.” jawab Khairul pantas. Dia mengambil air botol lalu diteguknya sekali. Sengaja.
            “Bagus la. Senang hati saya bila saya dengar awak dengan Maria okey.” puji Riana tersenyum senang hati walaupun dia belum pernah menatap wajah wanita yang menjadi kekasih hati kawannya itu. Hanya sekadar tahu melalui tutur bicara Khairul.
            Khairul aneh dengan reaksi balas Riana itu. Seakan sedang cuba menyembunyikan sesuatu. “Kenapa? Awak dengan Hairie tak okey ke?” tanya Khairul ingin tahu.
            “Ermm.. tak adalah. Saya dengan dia okey aje la. Awak ni..” geleng Riana tersenyum kelat. Berlagak biasa. Mata pula mula pandang ke lain.
            “Hai.. kata kawan. Cerita la. Saya pun nak dengar jugak.” desak Khairul lagak ingin tahu. Tahu Riana sedang ingin meluahkan sesuatu berkenaan lelaki itu.
            Riana memandang Khairul semula. Keluhan kecil dilepaskannya. “Entah la awak. Hairie tu kan.. macam acuh tak acuh aje dengan saya. Dia macam ada something yang tak kena la. Kadang dia okey dengan saya dan kadang tu pulak, dia macam buat tak tahu aje. Saya pun tak tahu nak cakap apa lagi sebenarnya. Kami ni ibarat macam bercinta pun ada, macam tak bercinta pun ada jugak. Tapi apa yang boleh saya cakap la kan, saya memang dah betul-betul sayangkan dia la awak. Saya takut kalau saya kehilangan dia.” Riana meluah rasa sambil jari mengikat tali kasut sukannya yang kelihatan longgar sedikit. Nada sedikit susah hati.
            Khairul terdiam seketika. Jelas kelihatan Riana terlalu mencintai lelaki itu. Dia tersenyum kembali memandang wajah di hadapannya itu. “Ala..biasa la, orang businessman. Mungkin dia sibuk kut.” kata Khairul. Cuba untuk berjenaka.
            “Hmm. maybe.. Mungkin jugak ini perasaan saya aje kut.” angguk Riana faham. Cuba menyalahkan diri pula kerana berfikiran yang bukan-bukan itu.
Khairul hanya tersenyum kelat. Berharap Riana akan sentiasa bahagia bersama dengan lelaki itu. Walaupun hatinya sendiri masih terseksa.
            “Oh ya awak. Lupa pulak nak cakap. Tak lama lagikan birthday Riz, tau? InsyaAllah.. saya ingat malam hari Sabtu minggu depan, saya plan nak buat birthday party la kat dia sikit. Awak rasa okey tak?” Riana ingin bertanya pendapat Khairul namun lelaki itu hanya tersenyum memandangnya lagak seperti kerang busuk. “Eh! awak ni, kenapa senyum-senyum ni? Saya serius la ni. Okey tak?”
            “Tak la. Okey la tu. Awak memang seorang kakak yang baik, kan? Saya sendiri pun belum tentu lagi boleh buat party hari jadi kat adik saya si Khaisya Fariha tu. Busy sangat.” puji Khairul.
            Riana tersenyum sebentar dengan pujian melambung Khairul itu. “Ala.. tak ada la besar sangat pun, biasa-biasa aje. Makan makan macam tu aje. Riz sekarang kan dah jadi tanggungjawab saya. Sejak ayah kami meninggal, mak yang besarkan kami berdua. Lepas mak meninggal pulak, sayalah yang perlu pikul tanggungjawab saya sebagai seorang kakak dan satu-satunya keluarga yang dia boleh harap.” jelas Riana dengan panjang lebar. Sesekali anak matanya memandang ke arah orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu.
            “Ermm.. siapa pulak yang jaga awak dengan Riz, lepas mak awak meninggal?” tanya Khairul ingin tahu. Lama juga dia tidak bertanyakan soal keluarga Riana walaupun dia tahu kisah kematian ibu bapa wanita itu.
            “Pak su dengan mak su saya. Dulu kami tinggal sekali dengan dia orang kat Muar. Saya malas la nak susahkan dia orang lagi, sebab dia orang pun ada tanggungjawab dia orang jugak. Jadi saya buat keputusan untuk tinggal dan kerja di sini aje selepas saja saya tamat belajar. Lagi pun rumah yang kami duduk tu memang rumah arwah mak dengan ayah. Sayang pulak kalau jual kan? Eh! kejap.. dari tadi asyik saya aje yang bercerita ni. Family awak pulak apa cerita?” tanya Riana tersenyum melihat Khairul. Sedar dia sahaja yang berbual panjang mengenai dirinya. Malah lelaki itu hanya berbicara sedikit.
            Khairul tersenyum angguk. “Family saya? Sihat alhamduliah.. Ibu, Fariha, macam biasa.. Cuma..”
            “Cuma siapa?” tanya Riana aneh bila Khairul tidak menghabiskan kata-katanya. Kelihatan riak wajah lelaki itu berubah saat perkataan ‘Cuma’ itu disebut di bibir.
            “Abang saya.” jawab Khairul tersenyum kelat. Sedikit terselit keluhan hampa.
            Riana mengangguk lagak mengerti. “Oh.. Ermm.. kenapa dengan abang awak tu?” tanya Riana ingin tahu. Lagak ada sesuatu.
            “Dalam family saya, dia seorang aje yang lain sikit. Dulu saya dengan dia selalu suka kongsi cerita bersama. Lepak berdua. Tapi dia berubah selepas arwah abah saya dengan teman wanita dia meninggal dua tahun lalu. Dia dah tak macam dulu lagi. Selalu balik lewat malam. Perempuan sana sini. Boleh dikatakan dia ini kaki perempuan jugak la. Selalu jugak la saya nampak dia asyik bertukar perempuan. Entahlah. Dia macam salahkan saya dengan apa yang terjadi. Lepas tu..” Khairul berhenti kata. Segera menggeleng kepala. “Err.. sudahlah Riana, tak best mana pun la kisah hidup family saya ni.” jelas Khairul panjang lebar tanpa meneruskan kata-katanya. Seolah-olah terselit nada kesal dengan perangai satu-satu abangnya itu. Khairul juga teringat kembali rahsianya yang masih tersimpan baik berkenaan status dirinya yang sebenar daripada Riana. Risau jika dia tersasul kata sebentar tadi tentang syarikatnya, Syarikat Suria Trading. Pasti hancur ikatan persahabatannya dengan wanita itu hari ini.
            “Oh.. macam tu. Betul la orang selalu kata kan awak, dalam sebuah keluarga tu pasti ada seorang yang buruk perangainya. Tapi awak, mungkin satu hari nanti dia akan berubah. Who knows? Mungkin sekarang ni dia masih hanyut dalam dunia dia, tapi percayalah.. setiap manusia pasti akan melakukan perubahan dalam hidup. Yang pasti, masa yang tentukannya. Awak pun jangan risau sangat la, ya? Saya pasti abang awak tu akan berubah. Awak pun kenalah selalu berdoa supaya dia cepat-cepat berubah nanti, okey?” kata Riana seakan cuba menangkis perasaan benci Khairul yang lagak cuba hadir terhadap abangnya sendiri itu.
            “Ya. Hope so..” angguk Khairul tersenyum tawar. Turut berharap abangnya itu akan berubah menjadi lebih baik dan melupakan segala peristiwa yang membuat dirinya terasa semakin jauh dengan lelaki itu.
            Riana tersenyum lega. “Ermm.. awak, jadi tau datang rumah saya malam hari Sabtu minggu depan ni? Nanti kalau confirm saya buat, saya text awak, okey? Oh ya. awak bolehlah ajak Maria sekali. Boleh saya kenal dengan dia.” pesan Riana mengingatkan Khairul tentang rancangannya itu.
            “Maria?!” Khairul terkejut mendengar nama itu disebut Riana. Sekali lagi.
            Kepala Riana mengangguk beberapa kali. “Hmm. Maria. Kenapa awak?” tanya Riana kembali. Mula kerut dahi.
            Khairul pantas menggeleng. “Tak. Insyaallah.. Ya, nanti saya ajak dia ya.” angguk Khairul pantas agar Riana tidak terus bertanya. Tidak mahu rahsia terbongkar.
            “Okey. Nanti boleh saya kenalkan awak dengan Hairie jugak. Bila lagi kan kita semua nak jumpa sekali? Okey la awak. Saya rasa saya dah nak kena balik ni, kawan saya Eza nak datang rumah hari ini.” kata Riana sekilas memerhati jam di hadapan skrin telefon bimbitnya yang dikeluarkan sebentar dari poket seluar.
            Khairul dan Riana melangkah menghampiri tempat letak kereta mereka berdua. Riana masuk ke dalam keretanya. Khairul hanya memerhati.
            “Riana, drive safely.” pesan Khairul tersenyum manis. Nada ambil berat.                            
          “Okay. You too. Saya balik dulu, ya? Ingat! jangan lupa ajak Maria sekali tau? Bye awak.. Assalamualaikum..” lambai Riana sambil menghidupkan enjin keretanya dan memandu pergi meninggalkan Khairul yang hanya menggangguk faham.
            “Waalaikumusalam. Mati kau Khairul!” geleng Khairul tersenyum resah. Lambaiannya jadi makin perlahan. Dia buntu. Oh.. tidak!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“JO, kau kena tolong aku! and kau mesti kena tolong aku sama ada kau suka atau tak, okey?” kata Khairul tergesa-gesa setelah Johan memunculkan diri di sebalik pintu pagar rumah teresnya. Khairul bergegas ke rumah sahabatnya setelah agak lama juga dia memikirkan masalahnya itu sendirian.
            “Apa hal ni bro? Kau dah la datang malam-malam buta macam ni kat rumah aku. Kacau aku tidur aje la. Aku ni dah la kerja makan gaji. Lain la kau tu, bos. Boleh la masuk ikut suka hati aje.” bebel Johan sambil mengaru-garu kepalanya. Mata dibuka mengecil. Rambutnya kelihatan sedikit berserabut. Dia hanya memakai kain pelekat tanpa memakai baju. Sesekali menggaru lengannya pula. Hidup membujanglah katakan.
            “Aahh.. aku tak kira! Kau mesti kena tolong aku, Jo. Ini antara hidup dengan mati aku.” tambah Khairul tanpa mempedulikan rengekkan Johan itu.
            “Hmm. macam serius aje problem kau ni. Masuk la dulu. Cerita kat dalam.” kata Johan setelah pintu pagar rumah dibuka. Menjemput Khairul masuk ke dalam rumahnya pula. Khairul tanpa banyak kata segera masuk ke dalam rumah Johan dan lantas berlalu duduk tanpa dipinta. Johan turut sama duduk berhadapan dengan Khairul. “Ermm.. cerita la. Apa masalah kau sampai tak sempat tunggu esok ni?” tanya Johan sambil bersandar ke sisi sofanya. Sempat menguap kecil. Mata di sebalik cermin mata yang dipakai pula masih lagak kuyup.
            “Jo, Riana nak aku ajak girlfriend aku pergi rumah dia la malam hari Sabtu nanti.” kata Khairul berhadapan dengan Johan. Nada seakan risau. Benar-benar risau.
            “Girlfriend kau? Siapa pulak dah?” tanya Johan bersahaja. Seakan malas untuk membalas kata.
            “Ma.. Maria.” balas Khairul lambat. Teragak-agak untuk menyebut nama itu.
            Mata Johan terkebil-kebil seketika. Badan pula ditegakkan dari terus bersandar. “Maria? Maria Akila? Eh! Faiz, kau masih contact dia lagi ke?” tanya Johan yang kembali sedar sepenuhnya setelah nama wanita itu disebut jelas di bibir Khairul.
            “Itu la pasal. Aku tak tahu macam mana nak cerita ni. Tapi aku nak minta kau tolong aku sangat-sangat ni. Tolong call Maria untuk aku boleh tak? Aku segan la dengan dia, bro.” pinta Khairul lagak ternanti-nanti jawapan ‘Okay’ daripada Johan.
            “Eh! Aku pulak? Kau yang pandai-pandai sebut nama dia kat Riana Akma kau tu.. so kau la sekarang kena pandai-pandai call dia. Kalau perempuan lain aku boleh fikir lagi Faiz, tapi kalau dia, sorry bro.. (tangan sempat diangkat) aku tak nak masuk campur dan aku tak ingin pun masuk campur. Nanti dia ingat aku nak ngorat dia pulak. Aku bukannya suka minah tu pun, berlagak semacam aje. Ingat dia tu cantik sangat kut. Mak cik jiran sebelah rumah aku ni lagi cantik daripada dia tau?” balas Johan panjang lebar. Sempat menunding jari ke dinding belakangnya. Lagak tidak berpuas hati kerana dia pernah berselisihan faham dengan Maria, wanita yang sebaya dengannya dan Khairul semasa mereka menuntut di kolej dahulu. Macam-macam hal!
            “Ala Jo.. tolong la aku, bro..” rayu Khairul ingin benar-benar lelaki itu membantunya. Dia jadi buntu.
            Johan menggeleng dan lima jari diangkat tanda tidak mahu. Badan kembali menyandar dan matanya pula ditutup rapat. Tanpa mengendahkan rayuan Khairul itu. Sedikitpun!
            Khairul mengeluh panjang. Mengerti kata-kata Johan itu. Jika A katanya, maka A la jawapannya. Tidak sesekali B,C atau D. Tidak berani menggunakan kuasa yang ada kerana dia seringkali mengingatkan Johan bahawa soal peribadi tidak boleh dicampuradukkan dengan soal kerja. Jadi sendiri mahu ingatlah jawabnya sekarang.
            Nak atau tak nak, Khairul terpaksa menelefon Maria Akila pada malam itu juga. Menebalkan suara. Hampir tiga tahun mereka tidak berhubung sejak salah faham yang telah terjadi. Yang telah menyebabkan mereka berdua membawa haluan hidup masing-masing. Khairul turut menerangkan kepada Maria tentang hal sebenar agar wanita itu faham dan sanggup membantunya kerana mana mungkin dia mencari pelakon wanita lain yang dapat menyamar sebagai Maria Akila dalam masa yang terdekat ini. Pasti rancangannya ketahuan juga nanti.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
PINTU utama dibuka. Khairul melangkah masuk ke dalam rumahnya. Baru pulang dari rumah Johan setelah menyelesaikan kekusutan yang dialaminya seharian itu. Mata memandang ke arah ruang tamu. Kelihatan Faizul sedang duduk menonton televisyen bersama dengan Datin Julia dan Fariha. Setelah genap hampir sebulan dua minggu lelaki itu muncul di situ. Tanpa dijangka.
“Faiz dah balik?” tegur Datin Julia tersenyum manis. Nada ceria. Fariha yang duduk bersila di atas permaidani sedang memerhati bersama buku yang dipegangnya. Mungkin sedang mengulangkaji pelajarannya di situ.
“Ya bu..” angguk Khairul tersenyum balas. Melangkah mendekati mereka bertiga.  Khairul mencium tangan Datin Julia seperti biasa. Fariha hanya memerhati biasa. “Abang Faizul..” Tangan Khairul dihulurkan pula ke arah Faizul yang hanya bermain-main dengan gadget aplikasi Ipad di tangannya. Lagak sengaja buat tidak perasan kehadirannya di situ.
Faizul berhenti dari terus bermain. Dia bangun dari sofa dan berlalu naik tangga ke tingkat atas. Tidak pandang langsung ke arah Khairul.
Khairul jadi terkaku seketika. Sudah agak perangai abangnya itu mesti lagak begitu. Bukan pertama kali dia dilayan sebegitu rupa. Dilayan sama seperti seorang halimunan.
“Faiz..” Datin Julia menggeleng kepala. Berharap Khairul tidak mengambil hati dengan tingkah laku yang ditunjukkan oleh Faizul itu. Fariha hanya tersenyum kelat. Walaupun dia masih tidak mengerti dengan masalah yang menimpa keluarganya ketika ini. Tetapi dia faham dan menganggap itu hanya isu orang dewasa yang dia tidak boleh untuk campur tangan.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
SEBUAH buku nota berwarna kelabu dipegang di tangan. Faizul mengenggam erat buku limanya. Dendam yang tersimpan masih dipendam. Marah dan geram sentiasa ada jika wajah Khairul dipandang. Dia membuka beberapa helaian di buku nota tersebut. Tersisip sehelai surat yang ditulis oleh insan yang dicintainya bernama ‘Shima’. Insan yang telah meninggalkannya di saat dia memerlukan seseorang untuk mengubat hatinya yang sedang sedih. Surat itu turut memberi dia sejuta kesedihan sejak hampir dua tahun yang lalu.

 Sayang, jika you sedang baca surat ini mungkin I tiada lagi di dunia ini. Maafkan I, I terpaksa pergi. Tinggalkan dunia ini. I cuma nak you tahu yang I betul-betul cintakan you. Di hati I hanya ada nama you, Khairul Faizul.
Maafkan I jika ada salah dan silap I pada you selama kita bercinta dan maafkan I di atas kematian abah you. I tahu you terlalu sayangkan dia. I minta maaf sebab tidak dapat berada di sisi you saat you benar-benar memerlukan I.
Faizul, janganlah benci adik you. Dia tak bersalah. Kita memang tak ada jodoh. Terima kasih kerana sudi mencintai I selama ini. Maafkan I Faizul, I really love you and please forgive me.
               Shima
Surat yang ditinggalkan Shima untuk dirinya dipandang lama. Menatap kembali surat terakhir yang ditinggalkan oleh kekasih hatinya itu. Bagi Faizul, Khairul Faiz adalah pembunuh kebahagiaannya. Dia benar-benar pasti!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
KERETA Honda CR-V Khairul berhenti di hadapan pintu pagar rumah Riana. Kelihatan rumah wanita itu yang begitu meriah dengan kehadiran ramai para tetamu. Kebanyakkannya kelihatan sebaya dengan Rizman.
            “Itu perempuan yang you cakap tu? Manis orangnya, tak sangka pulak taste you perempuan bertudung.” kata Maria setelah memandang Riana yang sedang tersenyum manis di hadapan pagar rumah seakan menanti ketibaan mereka berdua.
Khairul terdiam seketika. Wanita yang berambut pendek paras bahu di sebelah tempat duduknya itu dipandang. Dia tahu pasti Maria sedang menyindir dirinya. “Maria, I harap you...” Khairul cuba ingin mengatakan sesuatu tetapi pantas sahaja dicelah Maria.
            “Jangan risau Faiz, I ingat janji I.” balas Maria sambil membuang ikatan tali pinggang keledar yang membaluti badan. Dia segera melangkah keluar dari perut kereta dengan lagak selamba.
            Khairul hanya menuruti langkah Maria dan berharap wanita itu tidak memecahkan rahsianya kepada Riana. Maria Akila sememangnya seorang wanita yang baik dan tiada cacat celanya. Teringat lagi saat pertemuan dia dan Maria yang diatur oleh kawan baik Maria sendiri. Namun mungkin hubungan antaranya dengan wanita itu tiada jodoh. Hanya sekejap cuma.
            “Hai Riana, I Maria.. Maria Akila.” ucap Maria sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat mesra bersama Riana. Perkenalan pertama mereka berdua.
            “Hai Maria. Terima kasih kerana sudi datang. Hai Khairul.” senyum Riana membalas dengan mesra dan turut memandang ke arah Khairul yang berdiri di sebelah Maria. “Mereka berdua ni memang secocok!” detus hati kecil Riana pantas.
            “Hai..” balas Khairul pula tersenyum manis dengan membimbit hadiah yang dibawa keluar bersama sebentar tadi.
            Rizman yang sedang berborak dengan rakan-rakannya segera mendekati mereka bertiga. “Abang Khairul..” Rizman segera bersalaman dengan Khairul. Tersenyum suka melihat lelaki itu memunculkan diri di situ.
            Khairul tersenyum mesra. “Haa.. Riz. Ini, selamat hari jadi.  Hadiah dari Abang Khairul dengan kawan abang ni, Kak Maria.” ujar Khairul sambil menghulurkan hadiah tersebut kepada Rizman. Maria dan Riana hanya memerhati mesra.
            “Err.. terima kasih Abang Khairul. Terima kasih Kak Maria.” balas Rizman tersenyum suka. Sempat memandang ke arah Maria.
“Sama-sama. Selamat hari jadi ya?” ucap Maria pula tersenyum manis.
          “Riz, Riz pergi layan kawan-kawan Riz tu dulu, ya? Nanti akak bawa keluar pencuci mulut dari dapur, okey?” pesan Riana memandang ke arah Riz. Sempat menunding jari ke arah kawan-kawan adiknya itu. Lagak mereka sedang menunggu untuk berbual-bual dengan lelaki muda itu pula.
            “Baik kak.” angguk Rizman patuh lalu beredar meninggalkan mereka bertiga.
            Riana segera menjemput Khairul dan Maria masuk ke dalam ruang tamu rumahnya. Mereka berdua hanya menurut. Masing-masing dengan lagak tersendiri. “Ermm.. awak berdua duduk sini dulu la, ya? Saya nak sediakan pencuci mulut sekejap kat dapur tu. Maria, jangan malu-malu tau, macam rumah sendiri, okey?” kata Riana memandang ke arah Khairul dan Maria. Dia segera berlalu ke dapur. Membiarkan pasangan kekasih itu di ruang tamu.
            Maria tersenyum mengangguk faham. Kalih pandang Khairul selepas melihat Riana meninggalkan mereka berdua. “Khairul? Tak pernah pulak I dengar orang panggil you Khairul before ni. Setahu I, you lebih suka dengan nama Faiz than Khairul, kan?” kata Maria sedikit terkejut bila Riana memanggil lelaki itu dengan nama Khairul sebentar tadi.
            Khairul hanya mendiamkan diri. Memang benar kata Maria, dia tidak suka nama dia dipanggil dengan nama Khairul. Jika ada yang memanggilnya sebegitu, pasti ditegurnya. Namun sejak dia bertemu dengan Riana, dia lebih senang wanita itu memanggilnya dengan nama Khairul daripada Faiz. Terasa berbeza sedikit. Riana sendiri pun pernah bertanyakan tentang hal yang sama sebelum ini tetapi wanita itu tidak ambil kisah sama ada Khairul atau Faiz. Yang penting orangnya tetap sama. Yang akan sentiasa menjadi kawan baiknya.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“RIANA, nak saya tolong apa-apa tak?” tanya Maria memunculkan diri di ruang dapur rumah Riana itu. Lagak seakan bosan berada di ruang tamu.
Riana yang sedang memotong buah tembikai sendirian sedikit terkejut memandang ke arah Maria. “Eh! Maria, awak tu kan tetamu. Duduk aje la kat depan tu.” kata Riana berhenti memotong buah seketika.
            Maria tersenyum manis. Dia telah berada di hadapan meja makan. “Tak apa. Saja nak tolong awak ni. Tak manis pulak tengok awak buat kerja sorang-sorang kat dapur ni.”
            “Apa yang tak manisnya pulak ni? Isy awak ni.. Ermm.. okey la. kalau macam tu, awak tolong saya ambilkan piring kat bawah kabinet tu, boleh tak? Saya nak letak buah yang saya potong ni.” tunding Riana tersenyum ke arah kabinet dapur yang berada di satu penjuru ruang dapur itu.
            Maria pandang ke arah tundingan jari Riana itu sekejap. “Okey boleh. Mana? Sini, ya?” tanya Maria menunding ke arah salah satu bahagian kabinet dapur itu. Lagak ingin membantu sungguh.
            “Ya. Ambil tiga tau.” angguk Riana tersenyum memandang lagak Maria yang beria-ria membantunya itu sambil tangan kembali memotong buah tembikai dengan berhati-hati.
            Maria membawa keluar tiga piring dari dalam kabinet lalu kembali menghampiri Riana. “Ermm.. Khairul ada cerita pada saya pasal boyfriend awak, Hairie. Dia dah datang ke?” tanya Maria sambil meletakkan piring yang diambilnya itu ke atas meja. Memulakan perbualan bersama dengan wanita yang bernama Riana Akma itu.
            Riana mengangguk tersenyum. “Ya.. dia tak dapat datang la. Dia busy sikit hari ini. Katanya kena jumpa kawan lama.” jawab Riana sesekali melihat ke arah Maria yang sedang asyik memerhatinya itu.
            “Oh I see..” angguk Maria faham dan terus memandang lagak Riana memotong buah.
            “Maria, awak nak tahu tak? Dulu masa saya mula-mula kenal Khairul, dia banyak cerita pasal awak kat saya tau? Nampak sangat yang dia betul-betul sayangkan awak, Maria.” terang Riana panjang lebar. Memang nama Maria tidak pernah terlupa disebut di bibir Khairul selama mereka keluar berdua atau bertiga dengan Rizman. Mesti ada sahaja yang dibualkan mengenai perempuan yang bernama Maria Akila itu.
            “Oh ya ke? Tak tahu pulak saya. Ermm.. Riana, Khairul tu bagi awak la kan.. macam mana orangnya, ya?” tanya Maria. Nada ingin tahu
            “Dia?” Riana berfikir sejenak. “Ermm.. dia baik hati, suka tolong orang, pandai buat lawak. Awak tak payah risau Maria kalau dapat lelaki macam tu, hidup awak pasti bahagia. Percayalah cakap saya ni.” terang Riana sekilas tersenyum memandang Khairul yang sedang berbual-bual mesra dengan Rizman di ruang tamu. Memang itulah yang dilihatnya sejak berkenalan dengan Khairul. Yang membuat hari-harinya sentiasa gembira.
            “Ermm.. kalau awak Riana, awak suka dia?” tanya Maria teragak-agak. Sekadar ingin mengorek rahsia hati wanita itu.
            Riana pandang Maria aneh. Berhenti sebentar dari terus ligat memotong buah tembikai itu. “Maria, soalan apa ni?”
            “Tak, I just tanya kalau, tak salah kan?” balas Maria tidak mahu buat Riana rasa sangsi dengan kata-katanya. Janji yang diungkap kepada Khairul perlu dipatuhinya sebaik mungkin.
Riana mengangguk lagak faham. “Okey ‘kalau’. Kalau saya, tentu saya akan lebih suka dia. Bagi saya, Khairul Faiz seorang lelaki yang sempurna dan tak ada salah kat mana pun. Saya rasa kalau saya bersama dengan dia, macam tak layak pulak.” balas Riana terselit nada tawa kecil buat Maria berfikir sejenak. Suasana di antara mereka berdua jadi diam seketika. Masing-masing hilang kata. “Err.. sudahlah Maria. Sekarang ini hubungan awak dengan dia, bukannya kalau saya suka dia tu. Awak ni..” geleng Riana masih tertawa. Hatinya terasa serba salah pula menjawab pertanyaan pelik Maria itu tadi. Pasti wanita itu sedang berfikiran yang tidak enak ketika ini.
            “Eh! tak adalah. Saya tanya aje. Ermm.. adik awak Form Five, kan sekarang? Macam mana dengan SPM? Dia dah ready ke?” tanya Maria lagak ingin mengubah topik pula.
            Riana yang menyambung kembali kerjanya tersenyum seketika sambil tangan meletakkan hirisan buah tembikai ke atas piring. “Hmm.. alhamdulilah. Rasanya dia dah ready. Tengok dia pun, rajin ulang kaji.” kata Riana apabila teringatkan soal pendidikan Rizman. “Ermm.. okey dah siap. Jom kita hidang buah ni kat depan.” kata Riana sambil meletakkan hirisan buah tembikai terakhir yang dipotongnya ke dalam piring.
            “Okey. Mari sini saya tolong angkat piring ini, ya?” kata Maria sambil mengangkat salah satu piring yang berisi buah tembikai yang dipotong oleh Riana itu. Riana hanya tersenyum memandang gelagat ringan tulang wanita itu.
            Mereka berdua keluar dari ruang dapur dan sama-sama menghidangkan makanan pencuci mulut itu di luar rumah. Kelihatan beberapa orang kawan Rizman lagi yang datang berkunjung ke rumahnya itu. Tidak putus-putus.
             “You borak apa dengan Riana tadi?” tanya Khairul seakan berbisik setelah merapati Maria yang sedang berdiri sambil memegang gelas air. Mematikan pandangannya terhadap Riana yang sedang asyik melayan kawan-kawan Rizman di halaman rumah. Dari tadi lagi Khairul hanya memerhatikan tingkah laku dua wanita yang bertakhta di hatinya itu. Cuma bezanya dulu dan sekarang.
            “Ada la. Hal perempuan, you mana boleh tahu.” balas Maria tersenyum berlagak. Dia kalih pandang sekejap ke arah Khairul yang dia sedar mata masih lagi sedang asyik pandang ke arah Riana. Tidak berkebil sedikitpun lagaknya. Maria mula mengeluh perlahan. “Sampai bilalah kita nak macam ni, ya?” tanya Maria memandang ke arah Riana kembali. Memandang raut wajah Riana yang sedang sibuk melayan tetamu-tetamu di bahagian itu. Sempat memuji di dalam hati dengan sifat peramah wanita bertudung bawal itu.
            Khairul jadi kaget mendengar keluhan Maria itu. Jiwa jadi gusar. “Err.. Maria, maaf la kalau you tak suka. I boleh...”
            “Faiz, ini Maria. Bila I berjanji, I akan buat. Past is past and I pun dah bertunang. Tak kan nak mengharapkan you aje. Tentu sampai sudah I tak kahwin, nanti tak laku pulak, kan?” celah Maria tersenyum sinis memandang Khairul yang lagak terdiam seketika itu. “Tapi I just nak nasihatkan you sikit, lupakan dia aje la Faiz. Tak guna you seksa diri you untuk semua ni.” sambung kata Maria mula melangkah mendapatkan Riana semula. Berniat untuk membantu wanita itu melayan tetamu yang kelihatan semakin bertambah itu.
            Khairul hanya memerhati lagak Maria dari jauh. Keluhan dilepas perlahan. Kali ini sudah masuk kali kedua dia diminta untuk melupakan Riana tetapi hatinya berat untuk berbuat begitu walaupun dia pernah beberapa kali mencuba.
            Khairul mula berlagak biasa setelah kelihatan Riana pula seakan ingin menghampiri dirinya. Maria pula kelihatan beredar masuk ke dalam rumah.
            “Hai..” sapa Riana tersenyum manis setelah Khairul dihampirinya.
“Hai..” senyum balas Khairul melihat wanita kesayangannya itu sedang berdiri bersebelahan dengannya. Sentiasa ada rasa terkesima di hatinya untuk wanita itu.
            “Khairul sorry tau lambat sikit ni. Awak tunggu sekejap aje lagi, ya? Eza kawan saya tu dia tak datang lagi.” kata Riana terintai-intai ke arah luar rumah. Menanti ketibaan Eza pula.
            “Tak apa. Saya tak kisah la.” balas Khairul tersenyum faham.
            “Khairul, saya tengok Maria tu baik orangnya kan? Cantik dan rajin pulak tu.” puji Riana suka melihat sikap dan perwatakan wanita yang baru dikenalinya itu.
            Khairul tersenyum manis. “Awak pun apa kurangnya..”
“Eh! ya la tu. Maria tu tadi kan, dia cuba nak korek rahsia awak daripada saya tau?” kata Riana lagak berbisik pula.
            “Oh ya ke? Pasal apa?” tanya Khairul pantas. Mula rasa risau kembali jika rahsianya ketahuan.
            “Pasal awak la. Tak kan pasal saya pulak. Nampak sangat awak dua memang sepadan. Happy tengok awak berdua macam ni.” puji Riana dengan nada lega. Sentiasa berdoa agar hubungan kawan baiknya itu dirahmati-Nya.
            Khairul mula memandang sekeliling. “Ermm.. Hairie tak datang lagi ke?” Khairul cuba ubah topik. Tidak mahu nama Maria terus sahaja disebut. Dia juga ingin benar melihat Hairie. Sejak dari tadi lagi dia cuba mencari kelibat lelaki itu namun tidak kelihatan di matanya.
            “Ermm.. dia tak dapat datang. Dia sibuk sikit, kena jumpa kawan lama. Tapi dia ada la jugak belikan hadiah untuk si Riz tu..”
            Khairul mengangguk faham. Sedikit kecewa. Teringin dia berhadapan dengan lelaki itu saat ini. Ingin melihat sejauh mana kebahagiaan yang mampu diberikan kepada wanita yang dicintainya separuh nyawa itu.
            “Itu la. Tak dapat saya nak kenalkan dia pada awak lagi, kan?” Riana turut terselit nada hampa kerana teringin benar dia memperkenalkan Hairie kepada Khairul.
            “Ya. Tak apa.. Mungkin lain hari.” balas Khairul tersenyum hampa.
            “Ya. Eh! haa.. itu pun Eza. Panjang umur dia.” kata Riana setelah kelibat kereta Eza sedang berhenti berhadapan dengan pintu pagar rumah.
Eza segera bergegas menuju masuk ke halaman rumah Riana. Lagak kelam kabut sungguh. “Riana Riana. Sorry aku lewat. Traffic jam gila la tadi.” kata Eza dengan nada sedikit tercungap-cungap. Membetulkan tudungnya sebentar.
            “Kau ni Eza, selalu macam ni kan? Nasib baik aku tunggu kau tau.” balas Riana geleng kepala sebentar. Mereka berdua bersalaman antara satu sama lain seketika. Riana kalih pandang ke arah Khairul sebentar. “Oh ya Khairul,  kenalkan inilah kawan baik saya Eza.. Cikgu Eza.. Dan Eza, ini Khairul Faiz. Yang aku cerita tu.” kata Riana memperkenalkan Eza kepada Khairul.
            “Hai. Saya Eza.” kata Eza memperkenalkan diri. Lagak sedikit terpesona memandang Khairul.
            “Khairul.” angguk Khairul tersenyum sopan.
            “Okey. Jomlah kita pergi sana. Potong kek. Maria pun dah keluar tu.” ajak Riana apabila terpandang Maria yang telah berada di bahagian makanan.
            Riana memperkenalkan pula Eza kepada Maria dan seterusnya mereka meneruskan dengan acara potong kek. Hari jadi Rizman disambut dengan sederhana dan dijamu dengan makanan yang disediakan sendiri oleh Riana. Khairul dan Maria meneruskan rancangan mereka berdua itu. Berlagak sepasang kekasih di mata Riana. Sesekali mereka berempat berbual-bual kosong dan tertawa suka.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“OKEY la Riana, kami balik dulu, ya?” ucap Maria sambil bersalaman dengan Riana. Khairul memerhati tenang. Cepat sungguh masa dirasakan berlalu.
            “Okay. Maria, thanks tau sudi datang ni. Lain kali sudi-sudilah datang ke rumah saya ni lagi, ya?” ucap balas Riana tersenyum senang hati.
            “InsyaAllah. Nanti mana tahu kenduri kahwin awak dengan Hairie pulak ke.. Jangan lupa jemput saya dengan Khairul, ya?” kata Maria sempat menjeling sinis ke arah Khairul. Sengaja dia ingin menyebut nama lelaki itu. Buat Khairul tersenyum kelat seketika.
Riana tersenyum malu mendengar kata-kata itu. “InsyaAllah. Awak dengan Khairul pun sama jugak, ya?”
Maria memandang sekeliling sebentar. “Err.. Eza mana, ya Riana?” tanya Maria setelah pasti kelibat Eza hilang pada pandangan matanya.
            “Eza? Tadi dia ada kat situ.” kata Riana tunding jari ke arah satu penjuru. “Aik! hilang pulak dah. Maybe dia masuk dalam ke washroom kut.” teka Riana tersenyum sendiri.
            “Oh tak apalah. Kirim salam saya kat dia aje la nanti, ya?” balas Maria mengangguk faham.
            “InsyaAllah. Ermm, Khairul, drive kereta tu hati-hati tau?” pesan Riana memandang Khairul pula. Sejak dari tadi lelaki itu hanya diam membisu. Sepatah ditanya sepatah dijawab.
            “Okey. Terima kasih Riana. Saya balik dulu.” angguk Khairul tersenyum biasa.
            Riana memandang kereta Khairul berlalu pergi setelah kedua-duanya masuk ke dalam perut kereta. Senyum di bibir melihat perkembangan hubungan mereka berdua itu. Riana melangkah ke meja di halaman rumahnya itu. Beramah mesra dengan kawan-kawan Rizman pula yang kebanyakkannya ingin mula berangkat pulang.
            “Riana, Khairul dengan Maria dah balik ke?” tanya Eza setelah merapati Riana yang sedang mula mengemas.
            “Dah. Baru aje. Kau pergi mana tadi?” tanya Riana kembali. Tangan ligat mengumpul cawan-cawan kertas yang telah diguna.
            “Aku pergi bilik air. Sakit perut la.” kata Eza sambil memegang perutnya.
            Riana tersenyum geleng sebentar.  “Ermm kau ni.. owh ya.. dia orang dua kirim salam kat kau tadi.”
            “Waalaikumusalam. Ermm.. Riana, kau tak cerita kat aku pun, ya?” kata Eza sempat melaga bahu dengan Riana.
            “Cerita? Cerita apa pulak ni?” tanya Riana pelik. Kembali menyambung kerjanya.
            “Yang Khairul tu handsome gila..” kata Eza lagak tersengih pula.
            “Kau ni kan Eza, pantang tengok lelaki handsome sikit. Mula la tu, kan? Oh ya.. kawan yang kau kata nak kenalkan kat aku tu mana? Tak ajak dia datang sekali ke tadi?” tanya Riana teringat dengan kenalan Eza yang ingin diperkenalkan kepadanya itu.
“Itu la. Aku dah ajak dah, tapi tertiba aje dia ada hal. Oh ya.. nama penuh Khairul apa erk?” tanya Eza tetiba.
“Khairul Faiz Bin Kamil. Kenapa?” jawab Riana dengan nada hairan.
            Eza mengangguk kepala dan selepas itu menggelengkan kepala pula. “Hmm.. tak ada apa-apa.. Nama pun handsome. Eh! yang girlfriend dia tu nama Maria Akila, ya?  Cantik la Maria tu. Aku tengok dia orang dua tu memang sepadan sangat, kan?” puji Eza ubah topik pula.
            “Kau pun rasa benda yang sama jugak ke? Happy sangat aku tengok dia orang dua tu tadi. Sweet sweet aje.” Riana tersenyum sendiri. Gembira dengan perkembangan cinta kawan lelakinya itu.
            “Erk eleh.. kau dengan  Hairie pun okey apa. Hairie Azmin Datuk Haikal. Anak datuk kut.  Cuma tu la, aku aje tak jumpa-jumpa dia lagi ni. Ermm.. okey la Riana. Aku nak gerak dah. Dah lewat dah ni.” kata Eza lagak ingin pulang pula.
            “La.. nak balik dah ke? Ermm.. tapaw la lauk ni dulu. Banyak aku masak ni. Kat periuk tu pun ada lagi tau?” kata Riana lancar. Sempat membuat mimikan mukanya.
            “Ya ke? Kalau macam tu aku nak ayam sambal ni la. Esok boleh panaskan aje. Sedap la kau masak Riana.” puji Eza tersenyum suka. Menunding jari ke salah satu mangkuk yang berisi sisa Ayam Masak Sambal.
            “Resepi arwah mak aku. Dah jom. Tapi sebelum tu, tolong aku angkat mangkuk ni pergi masuk dapur dulu, ya Cikgu Eza?” kata Riana sambil menghulurkan mangkuk-mangkuk sisa lauk di atas meja itu ke arah Eza.
            Eza segera mencapainya. “Okey Cikgu Riana. No problem.” angguk Eza mengerti. Membalas usikan teman baiknya itu.
            “Kau nak banyak ke sikit lauk ayam sambal tu?” tanya Riana. Kaki mula melangkah masuk ke ruang dapur. Sekilas memandang Eza yang turut sama membantu.
            “Sikit sudah la. Aku sorang aje pun kat rumah tu.” balas Eza tersenyum geleng.
            “Okey kejap, ya?” angguk Riana faham sambil meletakkan mangkuk-mangkuk sisa yang diangkatnya ke atas meja makan sebentar. Eza turut sama berbuat begitu.
Eza melabuhkan pinggul sebentar di atas kerusi yang terdapat di situ setelah selesai membantu. Melihat Riana sedang mencedok lauk ayam sambal yang dimasaknya ke dalam bekas. “Oh ya.. Asytafirullahalzim Riana, aku boleh lupa pulak benda ni.” kata Eza tiba-tiba setelah asyik memerhati Riana sedang mencedokkan lauk masuk ke dalam bekas yang dipegang.
           Riana jadi berhenti dari terus mencedok masuk lauk. Pandang Eza pantas. “Apa dia?” tanya Riana lagak aneh. Cukup suspen!
            “Kau ada buka FB tak tadi?” tanya Eza tanpa menjawab soalan. Masih berkelakuan aneh. Menanti pula Riana berbicara berkenaan dengan FB yang merujuk kepada ‘Facebook’ itu.
            “FB?” Riana berfikir sejenak. “Hari ni tak ada. Aku sibuk sikit. Tapi semalam ada la. Kenapa?” tanya Riana lagi sekali. Makin bertambah aneh wajahnya.
            “Reunion yang Laila cakap tu. Dia ada tag nama kau jugak, kan?” ujar Eza mula berlagak cemas.
            “Reunion? Kejap!.” Riana berhenti terus dari kerjanya itu. Pandang tajam ke arah Eza pula. “Eza, jangan cakap kat aku yang kau dah…” Riana segera menunding jari ke arah Eza. Lagak cuba meneka dengan suara mendatar sahaja.
            Eza hanya mengangkat kening. Gigi pula ditayang habis. Tersengih. Seolah-olah tahu apa yang dimaksudkan dengan reaksi Riana itu.
            “Eza!” jerit Riana geram. Dia sudah dapat mengagak reaksi balas Eza itu. Eza telah pun bersetuju bagi pihaknya untuk keluar ke perjumpaan yang dirancang oleh kawan lama mereka, Laila. Malah siap menghantar nama dia dan Hairie kepada kawan lamanya itu. Tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Bukan dia tidak ingin pergi tetapi disebabkan nota ringkas yang diterima membatalkan niatnya itu. Sungguh geram!
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
Hye girls.. Lama dah tak jumpa korang, lets plan our Poli Reunion!!!..
Tarikh : 11/8/2013
Tempat :  Cafe Crystal Inn Hotel.
Kalau confirm date ni pm aku ya?
@Fika @Riana @Eza @Dira

P/s: Mesti bawa BF macam yang kita janji dulu.
Kalau dah kahwin mcm aku, of course la kena bawa your hubby J
By Laila & lovely husband, Badri.

Ayat yang dihantar Laila ke bahagian halaman media sosialnya di Facebook dibaca lagi. Entah kali ke berapa. Terasa saja ingin menolak jemputan itu ketika ini tetapi Eza telah pun menempah namanya dan nama Hairie. Malah tanpa pengetahuannya. Apabila disoal siasat. Jawapanya hanya satu, nak buat kejutan katanya. Nak tak nak, Riana terpaksa ikut serta kerana mereka berlima pernah berjanji dahulu bahawa perjumpaan semula setelah tiga tahun pasti wajib dibuat.
Telefon bimbit dipegang. Nama ‘Hairie’ pada senarai nama yang dihubungi dicari pantas dan disentuh butang panggilan. “Hello” panggilan bersambung. Suara Hairie kedengaran di dalam talian. “Hello. Assalamualaikum awak.. Err.. awak sibuk ke tu?” tanya Riana nada takut-takut. Takut menganggu masa teman lelakinya itu.
            “Ya sibuk la sikit.. Ada apa awak call saya ni?” tanya Hairie bersuara aneh.
            “Err.. tak. Saya just nak tanya, malam lusa ni awak free tak?” tanya Riana. Cuba berkias-kiasan dahulu.
            “Lusa? Hari Selasa. Kenapa ya?” tanya Hairie kembali tanpa menjawab soalan.
            “Err.. kawan lama saya Laila, dia ajak buat reunion. So saya ingat saya nak minta awak teman saya. Itu pun kalau awak free..” jelas Riana satu persatu. Sebut kata ‘free’ mendatar habis.
            “Ermm.. sorry Riana. Lusa saya ada dinner meeting dengan supplier dari Thailand. Kami bakal discuss soal barang kemasukan daripada sana bulan depan.”
            “Oh.. Err.. kalau macam tu tak apalah. Maaf ya? saya ganggu awak malam-malam macam ni?”
            “Riana.. sorry ya?” kata Hairie seolah-olah nada bersalah kedengaran pada suaranya di talian.
            “Eh! Tak apa awak. Saya faham. Okey la. Selamat malam. Jumpa esok.” balas Riana segera. Takut Hairie makin bertambah bersalah lagi.
            “Okey. Selamat malam.”
            Talian dimatikan. Riana melepaskan keluhannya. Memang sudah agak itulah jawapan yang bakal diterimanya. Tidak terkejut langsung. Dia kembali fikir sejenak. Mencari jalan untuk keluar dari masalah yang dihadapinya ketika ini. Mesti ada!  “Khairul?!” Terpancul nama itu di bibir Riana. Wajah berubah bentuk. Tersenyum sampai ke telinga kata orang. Pantas nama ‘Khairul’ pula dicarinya pada senarai nama dan ditekan butang mesej. “Cuba la..” kata Riana sendiri sambil menaip mesej di telefon bimbitnya. Dia lebih selesa bermesej dengan lelaki itu daripada bercakap di dalam talian.
            “Asslmkum Khairul, 11/8 ni awak free x?” < Riana >
            “InsyaAllah free. Knp?” < Khairul >
Khairul membalas mesej tidak sampai seminit Riana menanti. Riana pula menaip lambat. Teragak-agak.
            “Kawan saya ajak buat reunion.” < Riana >
             Butang ‘Send’ ditekan dan Riana menanti balasan mesej itu seketika.
            ‘Ingatlah diriku yang pernah ada di sampingmu. Ada di waktumu. Ada di hatimu. Ku ingat dirimu yang pernah hadir di sampingku. Temani waktuku. Temani hatiku.’ Deringan lagu duet daripada Chandra dan Sheila Majid iaitu ‘Ingatlah diriku’ pula berkumandang di telefon bimbit Riana. Nama ‘Khairul’ terpapar pada kaca skrin. Bikin Riana terkejut seketika. “Hello.” Riana memulakan perbualan setelah meletak telefon bimbitnya dekat dengan cuping telinga. Segera.
            “Hai.. Reunion apa? Siapa yang ajak?” tanya Khairul ingin tahu. Tersenyum manja.
            “Laila, kawan sekolah lama saya. Awak nak tahu tak, Khairul? Eza kawan saya tu pandai-pandai aje pergi booking nama saya dengan Hairie untuk reunion tu. Tak tanya saya pun. Geramnya..” Riana meluahkan rasa geramnya kepada lelaki itu. Panjang lebar.
            “Ala.. awak pergi aje la..” balas Khairul tertawa kecil mendengar cerita Riana itu. Pasti kelakar jika wajah itu dilihatnya ketika ini.
            “Masalahnya awak, dia orang nak saya datang dengan BF saya.” kata Riana mula bangun melangkah ke meja solek. Lagak melihat muka sendiri berbicara menerusi telefon bimbit.
            “BF? Boyfriend? Hairie awak kan ada. Awak ajaklah dia. Settle problem!” kata Khairul lagak mudah.
            “Hairie? Kalau saya boleh ajak dia, buat apa la saya mesej awak ni. Ermm..  Sebenarnya inilah masalahnya ni. Saya dah call dia tadi, tapi dia tak free lusa ni sebab ada dinner meeting dengan client dari Thailand so..”
            “So awak nak saya teman awak la ni, ya?” sambung Khairul seolah-olah tahu apa yang ingin diperkatakan Riana itu.
            “Ya dan termasuk berlakon jadi teman lelaki saya. Untuk satu hari itu aje. Itu pun kalau awak sudi dan awak free la. Kalau awak tak free, tak apalah.. saya pergi seorang aje la. Tak bawa BF pun tak apalah kut rasanya.” balas Riana sedikit nada hampa. Bunyi seakan putus harapan.
            “Okey.” balas Khairul sepatah.
            “Okey?” ulang tanya Riana seakan tidak percaya.
            “Okey. Saya teman awak.. termasuk berlakon jadi Hairie. Hari Selasa ini, kan?” kata Khairul jelas di telinga.
            “Serius ni?” Riana terpinga-pinga pula. Tanya lagi.
            “Ya. Saya serius Riana.” balas Khairul tersenyum sendiri. Sempat menggeleng.
            “Thanks Khairul.. Thanks sangat-sangat awak. Ya. Hari Selasa ini. Nanti kalau dah confirm date tu, saya direct call awak, okey? Thanks again Khairul.” ucap Riana lagak suka. Lagak menjerit kecil.
            “Okay. Your most welcome. Selamat malam.” ucap Khairul masih tersenyum senang hati.
            “Okey. Selamat malam. Bye..”
            “Bye.”
            Talian dimatikan. Khairul tersenyum sendiri. Kalendar di dinding biliknya itu dipandang. Tidak sabar menanti hari berubah. Malam ini tidak lena juga dibuatnya memikirkan soal wanita pujaan hatinya itu. Entah kali ke berapa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~