1 Mei 2011

~Bab 5~

            TUDUNG bawal berwarna brown yang dipakai di kepala dipadankan dengan blouse dan gaun berwarna peach. Menaikkan elemen anggun di susuk tubuh Riana. Cermin di meja solek dipandang beberapa kali. Solekkan compact powder dikenakan kemas pada wajah. Tersenyum dia sendiri melihat perubahan dirinya malam ini. Ternyata berbeza dengan sebelum dan selepas.
            ‘Tik! Tik!’ Bunyi mesej masuk kedengaran di telefon bimbit. Pasti mesej daripada Khairul. Tekanya pantas dibuka dan dibaca.
            ‘I’m here..^^y’ (Khairul)
            Bibir Riana mengukir senyum. Cermin solek dipandangnya sekali lagi dan beg tangan di atas katil ditariknya pantas. Dia segera melangkah keluar rumah. Terkejut dia sebentar melihat Khairul yang sedang berdiri memegang sejambak bunga mawar merah. Tersenyum mesra ke arahnya lagak seorang putera raja menanti puteri idaman. Jika nama Hairie Azmin tiada di hati, pasti cair hatinya untuk lelaki di hadapannya itu. Mujur malam ini Rizman tiada di rumah kerana singgah ke rumah kawannya sebentar untuk menyiapkan tugasan sekolah yang diberi. Jika tidak, pasti adiknya itu terkejut dengan lagak abang ipar pilihan hatinya itu.
            “Assalamualaikum..” ucap Khairul tersenyum mesra melihat Riana sedang membuka pintu pagar rumah. Terpukau lagi dia melihat wanita pujaan hatinya itu pada malam ini. Lagak seorang puteri kayangan!
            “Waalaikumusalam..” ucap balas Riana tersenyum sebentar dan mengunci pintu pagar rumahnya yang telah dibuka itu. Dia kalih pandang Khairul semula. Lihat depan-depan. “Err.. Khairul, awak.. awak nampak lain sangat hari ini.” puji Riana memandang ke arah pakaian Khairul yang nampak bergaya daripada kebiasaannya. Tergagap sedikit disebutnya.
            “Ya ke? Kenapa? Terpikat ke?” usik Khairul tersenyum manja.
            “Huh?” Riana membulatkan mata. Alamak malunya! Termakan dengan kata-katanya sendiri tadi.
Khairul memerhati kelakar. Tertawa seketika. “Tak ada, saya gurau aje la. Ermm.. this for you.” kata Khairul sambil menghulurkan sejambak bunga mawar merah ke arah Riana pula.
            “Err.. apa ni?” tunding Riana ke arah bunga mawar merah itu. Mata pandang Khairul. Tidak faham.
“Bunga untuk awak la.” balas Khairul tersenyum mesra. Tangan masih menghulur.
Riana segera mengambil jambangan bunga itu. “Err.. thanks. Tapi kan, bunga ini untuk apa, ya? Saya tak suruh pun awak beli bunga untuk saya?” tanya Riana aneh. Haruman bau bunga di tangannya itu jelas menusuk hidung. Boleh pengsan jika tidak tahan.
            “Awak cakap saya kena berlakon jadi BF awak, kan? So saya tengah berlakon la ni. Silakan tuan puteri Riana Akma.. masuk ke dalam kereta kuda saya ni..” bicara Khairul sambil membukakan pintu hadapan keretanya dengan lagak manja.
Riana jadi tertawa kecil. Geleng kepala dengan telatah Khairul itu. Lantas kaki melangkah masuk ke dalam perut kereta. Mereka berdua bergerak ke destinasi yang ingin dituju.
            “Khairul, terima kasih tau sebab tolong temankan saya ni. Kalau tak ada awak, saya tak tahu la nak cari siapa lagi.” ucap Riana tersenyum manis. Sesekali tangannya memegang lembut bunga-bunga yang tersisip rapi di dalam pelukan lengannya itu. Inilah pertama kali dia menerima bunga daripada seorang lelaki. Malah Hairie tidak pernah pula memberikannya bunga sebelum ini walaupun sudah sebulan lebih mereka bergelar pasangan kekasih.
            “Tak apa. Saya faham.” angguk Khairul tersenyum mesra.
            “Isy.. ini semua sebab Eza, kalau dia tak pandai-pandai pergi booking nama saya dengan Hairie pada Laila, confirm semua ni tak jadi macam ni. Ee.. geramnya..” ngomel Riana panjang lebar. Nada benar-benar geram.
            Khairul yang memandu tertawa dalam hati melihat gelagat Riana yang agak kelakar dan kelam kabut di matanya itu.
            “Err.. Khairul, kalau Maria tanya awak, beritahu dia aje tau yang awak berlakon ni sebab nak tolong saya. Takut nanti dia salah faham pulak. Kalau dia tak percaya jugak, awak boleh suruh dia contact saya terus aje, ya? Biar saya explain pada dia satu-satu, okey?” Riana berkata tanpa henti-henti. Nada cukup serius. Niat memang tidak mahu merosakkan hubungan yang terjalin di antara Khairul dan wanita bernama Maria Akila.
            “Tak apa, saya dah beritahu dia dah pun. Awak jangan risau, okey?” kata Khairul lagak benar. Tersenyum sendiri.
            “Ya ke? Alhamdulillah.. Lega sangat saya dengar. Takut gila saya tadi.” kata Riana kelihatan lega benar . Kembali pandang ke hadapan. Tidak sabar sampai ke destinasi.
            Khairul memandang Riana sekilas. “Riana, kalaulah saya betul-betul ingin menjadi kekasih hati awak. Sudikah awak terima saya?” Khairul tertanya sendiri. Dia pantas menggeleng kepala perlahan. Terasa jauh benar dia berfikiran sebegitu. Kembali fokus pada pemanduannya.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

RIANA dan Khairul sampai ke tempat yang dituju, Hotel Crystal Inn. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam kafe yang tersergam indah di dalam hotel itu. Lagak sepasang kekasih yang kelihatan seperti dua ekor burung merpati putih yang sedang berhenti berehat di satu dahan pokok.
            “Ya selamat datang ke Cafe Crystal Inn Hotel.” ucap seorang penyambut tetamu yang sedang berdiri di hadapan pintu masuk kafe.  Sentiasa bersedia menguntumkan senyuman kepada pelanggan yang berkunjung tiba. Tersenyum mesra memandang Riana dan Khairul.
            “Terima kasih. Err.. kawan saya Nurul Laila Sulaiman ada booking meja di sini.” balas Riana turut menguntumkan senyumannya.
            “Ya sekejap ya saya check. Boleh saya tahu nama penuh cik?” tanya penyambut tetamu itu pandang Riana. Tangan memegang fail berisi senarai nama pelanggan.
            “Riana Akma Rashid.” jawab Riana bernada lancar.
            “Dan pasangannya?” tanya penyambut tetamu itu lagi. Merujuk kepada Khairul.
            Riana kalih pandang Khairul pula. “Err…”
            “Hairie Azmin Haikal.” jawab Khairul tersenyum kelat. Memang dia tahu dia dipinta untuk menyebut nama itu. Namun di hatinya sempat disebut namanya yang sebenar. Khairul Faiz Kamil, nama yang sentiasa akan ada untuk wanita yang berada di sebelahnya itu.
            “Sekejap ya?” pinta penyambut tetamu itu sambil membelek fail nama yang ada di tangannya. “Meja nombor 18, ya? Cik Riana Akma dan Encik Hairie Azmin? Silakan.” sambung kata penyambut tetamu itu dengan penuh mesra. Mula mengorak langkah masuk ke ruang dalam.
            “Ya. Terima kasih.” ucap Riana mengangguk faham. “Jom?” ajak Riana memandang Khairul pula yang dari tadi lagak memerhati gelagatnya sahaja itu.
Khairul mengangguk merngerti dan mereka berdua berjalan mendekati meja bulat yang bernombor 18 itu. Kelihatan Laila, Fika, Dira bersama pasangan mereka iaitu Badri, Omar, dan Zahir telah berada di meja itu. Tengah rancak berbual berenam.
            Laila terpandang kelibat Riana sedang menghampiri mejanya. “Eh! itu pun Riana, rindunya..” kata Laila melambai mesra.
            “Hai korang..” balas Riana melambai mesra kembali. Telah sampai meja yang ingin dituju.
            Mereka berempat bersalaman antara satu sama lain. Agak hampir lima tahun tidak bersua muka sejak menamatkan zaman persekolahan yang manis jika dikenang semula itu.
            “Lamanya kita tak jumpa kan? Korang nampak lain sangat sekarang ni..” kata Riana ke arah ketiga-tiga kawan lama sekolahnya itu. “Err.. by the way.. kenalkan ini Hairie Azmin, my boyfriend.” kata Riana memperkenalkan pula Khairul kepada semua mata yang memandangnya itu. Khairul hanya tersenyum biasa.
            “Oh hai Hairie.. So yang ini la yang Eza beritahu aku tu.” Laila seakan mengangguk kepala melihat Khairul. “Ermm.. mari aku kenalkan pulak.. Yang ini Badri, my husband.. Fika dengan BF dia, Omar and Dira dengan Zahir.” Laila memperkenalkan antara satu sama lain. Mereka berlapan tersenyum lagak menyapa sesama sendiri. “Eh! duduk la sini, Riana.” pinta Laila sambil menunding kerusi kosong di sebelahnya.
Riana tanpa banyak bicara melabuhkan pinggulnya di sebelah tempat duduk Laila. Khairul turut sama duduk  di tempat yang disediakan. Bersebelahan dengan Riana.
Telefon bimbit Riana yang diset ke modevibrate’ bergetar seketika tanda mesej masuk. Mengejutkan dia yang sedang memerhati kawan-kawan yang lain sedang rancak berbual.
‘Riana, sorry aku tak dpt join reunion tu. So sorryyy.(><)^’ (Eza)
            Mesej daripada Eza dibaca di hati Riana satu persatu. Riak wajah berubah mendadak. “Korang sekejap ya? Aku nak buat phone call dengan Eza kejap.” kata Riana tersenyum memandang mereka yang hadir ke situ termasuk Khairul. Hanya memandang lagaknya aneh.
Riana melangkah beberapa tapak daripada meja bulat itu. Tangan pantas mencari nama Eza di senarai panggilannya. Wajah lagak geram. Bibir pula diketap habis. “Hello Eza.” kata Riana setelah taliannya bersambung dengan talian Eza.
            “Riana sorry..” balas Eza bernada perlahan. Suara seakan sedang menahan kesakitan. Kesakitan yang dia tidak pasti tentang apa.
            “Eh! Eza, kau kenapa ni? Suara lain macam aje. Kau sakit ke ni?” tanya Riana segera berubah nada suara. Lagak cemas.
            “Sorry Riana. Aku sengugut la. Kau faham-faham aje la kan. Perut aku sakit sangat ni. Tak tahu la bila nak baik balik ni.” luah Eza dengan nada sakit yang amat.
            “La ya ke? Teruk sangat ke tu?” tanya Riana ambil berat walaupun dia tahu bertapa sakitnya jika benda itu menyerang setiap kaum wanita.
            “Ya. Aku serius tak tahan dah ni. Riana, kau dah sampai sana ke?” tanya Eza lagak ingin tahu juga.
“Hmm.. Aku baru aje sampai dengan Khairul ni..” kata Riana kerana Eza tahu Khairul terpaksa menggantikan tempat Hairie yang tidak dapat menemankannya.
“Oh.. sorry Riana.. Nanti kirim salam aku kat dia orang semua, ya? Cakap aku rindu sangat kat dia orang semua, okey?” pesan Eza. Nada mendatar habis.
            “InsyaAllah. Nanti aku sampaikan. Kau jangan lupa makan ubat tau kalau sakit tu jadi teruk lagi? Air masak pun jangan lupa minum.” pesan Riana pula. Memang sangat prihatin.
            “Okey. Thanks Riana. Sorry ya?” mohon Eza risau jika Riana ambil hati dengan ketidakhadirannya di situ. Tetapi apakan daya sakit yang dialami tidak mampu diatasi.
            “Okey tak apalah. Aku faham. Nanti kalau ada apa-apa, mesej atau call aku, tau? Jangan diam aje. Hmm?” pesan Riana bersungguh-sungguh.
            “Okay dear. Have fun. Bye..”balas Eza bernada perlahan.
            “Bye.” Talian dimatikan. Niat di hati ingin memarahi Eza tidak kesampaian. Terbit pula rasa kesian di hati bila mendengar Eza bersuara begitu kerana dia juga sering kali merasa sakit yang dialami oleh seluruh kaum hawa di muka bumi itu hampir setiap bulan. Sangat sakit!
            Riana kembali semula ke tempat duduknya. “Err.. Laila, Eza tak dapat datang, tau? Dia tak berapa sihat. Dia kirim salam dan dia ada cakap dia rindu sangat kat korang semua.” kata Riana pandang ke arah Laila dan sempat pandang ke arah Fika dan Dira. Menyampaikan pesan yang diamanatkan oleh Eza kepadanya sebentar tadi.
            Laila berfikir sejenak. Muka berubah masam seketika. “La ya ke? Itu la, dia yang beria-ria sangat nak datang reunion ni. Entah bila la aku boleh jumpa dia lagi, sebab hari Khamis ni aku akan fly to Melbourne.” balas Laila terselit nada sedih.
            “Oh.. kau sambung study lagi ke Laila?” tanya Riana ingin tahu lebih lanjut berkenaan itu walaupun Laila sudah menyampaikan berita itu di laman sosialnya.
            “Yes. Sambung buat Master pulak. So tak apa la. Mungkin tak ada rezeki nak jumpa dia. Okey. Jom kita order makan, ya?” angguk Laila segera memerhati yang lain lagak mendengar dia berbicara sahaja.
            Mereka berlapan mula memesan makanan masing-masing. Ada yang sama dan ada yang pesan lain daripada yang lain. Masing-masing dengan telatah tersendiri. Sambung berbual-bual dan sesekali tertawa mesra bila usikan dan gurauan kedengaran. Hampir kecoh kawasan yang ditempah khas itu.
            “Okey. Sementara kita semua tunggu makanan kita siap ni. Apa kata kalau kita main satu game?” cadang Laila setelah dua orang pelayan kafe itu menghidangkan minuman yang dipesan mereka berlapan.
            “Laila, kau ni.. Tak habis-habis dengan game kau tu la.” sampuk Fika tersenyum geleng memandang Laila.
            “Ya la.. dari zaman-zaman sekolah lagi. Tak berubah langsung, kan?” tambah Dira lagak menyokong kata-kata Fika itu. Tersenyum tawa.
            Laila tarik muka seketika memerhatikan kedua-dua kawan lamanya itu. “Ala.. biar la.. Okey tak Riana, idea aku ni?” tanya Laila memandang ke arah Riana. Minta sokongan Riana pula yang kelihatan diam membisu sahaja.
            Riana terkejut seketika bila nama disebut. Dia pandang Laila sepenuhnya. “Ya. Aku okey aje. Apa nama game ni?” tanya Riana tersenyum manis. Mula berlagak rancak.
            “Let’s Your Man Talks.” sebut Laila teruja sambil menunding jari ke arah Khairul yang sedang asyik menghirup air minumannya.
            “Huh?” Riana kaget. Telan air liur. Pandang ke arah Khairul sebentar. Risau jika tembelang mereka berdua ketahuan. Khairul pula lagak senyum tenang. Tenang yang buat dia rasa bagai nak pitam. Oh tidak!
            “Apa rule game ni, Laila?” Dira menyoal pula. Ingin juga tahu. Zahir di sebelahnya hanya tersenyum memerhati.
            Laila tersenyum seketika. “Senang aje.. BF korang kena cerita kisah perkenalan korang berdua, macam mana korang dua boleh jumpa and then kenapa jatuh hati pada korang. Tapi.. syarat yang paling penting, BF korang aje yang kena cakap semua ni tau. Korang just listen..” terang Laila dengan panjang lebar. Yang lain hanya memerhati. Sesekali mengangguk faham dengan cara permainan itu.
            “Waa.. macam best aje.. Dengar tu sayang?” Fika memandang Omar yang lagak tersenyum menggeleng sejak dari tadi lagi.
            “So.. siapa nak  start dulu ni?” tanya Laila lagak tidak sabar. Pandang semua yang berada di hadapannya termasuk suami yang ada di sebelahnya itu.
            “Apa kata kalau korang empat main Oh-som?” sampuk Khairul lagak cuba beri cadangan. Buat anak mata semua yang hadir pandang ke arah lelaki itu. Lagak berani bersuara akhirnya. Tanpa dipinta.
            Laila berfikir sejenak.Hmm. That’s a good idea. Lama dah tak main, kan? Let’s we start?” sambung Laila dengan anggukan setujunya. Mereka yang lain turut tersenyum angguk. Bersetuju dengan cadangan tiba-tiba Khairul itu.
            Khairul tertawa kecil melihat Riana tertunduk malu. Pasti wanita itu teringat saat dia dan Riana berlawanan Oh-som dahulu. Riana pula hanya tersenyum malu kerana dia tahu Khairul sedang menyindirnya ketika ini. Sangat jelas!
            Semua wanita berempat itu termasuk Riana berlawanan Oh-som. Air, burung dan batu. Nombor satu berpihak kepada Fika dan diikuti dengan Laila, Dira dan Riana. Riana sedikit melepas nafas lega bila dia berada di nombor giliran yang terakhir. Berharap agar Khairul dapat menyusun kata-katanya nanti. Tidak mahu terkantoi!
            “Okey. Sebenarnya Fika ni junior saya masa belajar kat kolej dulu. Masa final year tu baru saya berani nak tegur dia. Even masa tu saya tahu ramai member cakap yang Fika ni jual mahal sikit orangnya.” kata Omar tersenyum memandang Fika yang sedang memerhati dia berbicara sahaja itu.
            “Memang pun..” sampuk Laila tersenyum usik buat Fika tertawa senyum.
            “Saya jatuh hati pada Fika sebab Fika seorang yang penyayang dan setia dengan saya. Even saya tahu, ramai yang tergila-gilakan dia masa tu. At the end, she choose me. Thank you sayang..” sambung Omar memandang Fika mesra. Terasa diri cukup bertuah.
            “Okey. Pertama kali saya jumpa Laila masa di majlis tunang kawan saya. Tapi masa tu saya tak berapa berani nak tegur dia. Lepas saya jumpa dia kali kedua di majlis kahwin kawan saya tu, barulah saya betul-betul berani nak tegur dia and then kami pun mula la berkenalan. Alhamdulilah.. sekarang kami dah pun berumah tangga hampir setahun. Saya jatuh cinta dengan dia sebab dia manis dan suka buat orang ketawa. For me,  dialah Laila Majnun saya. Jodoh yang ditetapkan oleh Allah untuk kami berdua.” bicara Badri panjang lebar buat Laila tersenyum bahagia.
            “So sweet..” kata Fika tersenyum memandang Laila yang lagak tersentuh mendengar kata-kata manis Badri itu.
“Saya pun nak doakan agar awak belajar dengan baik masa di Melbourne nanti, ya? Saya akan sentiasa support awak supaya cita-cita awak selama ini akan tercapai. InsyaAllah..” tambah Badri lagi tersenyum indah.
            Laila memegang tangan Badri seketika. Terasa diri cukup bertuah dipertemukanm dengan suaminya itu. “Thanks you so much sayang.” ucap Laila manja.  Dia kalih pandang ke arah Dira pula. “Okay next. Dira..” sebut Laila sambil tunding jari ke arah Dira yang sejak dari tadi mendengar mereka berbual.
            Zahir sedikit terkejut bila dicuit Dira. Dia pandang semua. “Ermm.. Dira ni sebenarnya adik kepada kawan lama saya, Dani. Sama la macam cerita cinta Badri dengan Laila tadi. Kami pun jumpa masa di kenduri kahwin abang Dira ni. Dira ni seorang yang suka sangat merajuk. Sebab tu saya jatuh hati pada dia.” luah Zahir tertawa sindir.
            “Eh! mana ada la? You yang suka merajuk, okey?” Dira tarik muka sambil menampar perlahan tangan Zahir yang diletakkan di atas meja.
Masing-masing yang memerhati ketawa geli hati melihat aksi itu.
            “Okay. Last last.. Riana..” kata Laila setelah berhenti ketawa dengan gelagat kawan-kawannya itu sambil menunding jari ke arah Khairul yang dari tadi hanya memerhati lagak mereka berbicara soal cinta.
            Riana pula jadi kaget bila namanya disebut. Semua mata pandang ke arah Khairul. Menanti lelaki itu berbicara pula.  Riana tertunduk malu sekali lagi.
            “Kedai buku.” kata Khairul dua patah. Mata memandang Riana mesra yang berada di sebelahnya. Riana pula kembali memandang Khairul dengan riak sedikit terkejut. Menanti lelaki itu meneruskan kata.
            “Huh? Kedai buku?” Fika mula menyampuk. Tanya dengan lagak tidak sabar.
            “Ya. Kami bertemu di sebuah kedai buku. Masa tu, saya beli buku untuk adik saya. Riana pun sama. Beli buku untuk adik dia. Kami tertukar buku selepas bayar di kaunter. Buku saya ada pada Riana dan buku Riana ada pada saya.” sambung Khairul dengan penuh lagak tenang.
            “Lepas tu apa jadi?” tanya Dira pula menunjukkan minat dengan gaya percakapan lambat Khairul itu tadi.
            “Lepas tu saya ada la tinggalkan sekeping nota. Nota tu saya tulis nombor phone saya. Saya hanya tunggu dia call.” sambung Khairul bernada lembut lagi. Mata sesekali memandang Riana  yang sedang terdiam membisu itu.
“Dia call tak?” tanya Laila pula tidak sabar.
“Dia call la sayang. Kalau tak, tak kan la dia jumpa Riana sekarang ni.” sampuk Badri pula tersenyum geleng dengan gelagat tidak sabar isterinya itu. Buat Laila tarik muka sekejap ke arah suaminya itu. Yang lain hanya tertawa kelakar.
Khairul mengangguk kepala. “Ya. Dia call saya dan kami decide untuk jumpa, untuk tukar balik buku tu. Kami berdua berjumpa dan masa tu saya sedar saya dah mula jatuh hati pada dia. Then kami pun decide untuk couple, kan sayang?” Khairul pandang ke arah Riana pula yang sejak dari tadi lagi hanya memandang dia berbicara panjang soal itu.
             “Huh?” Riana terpinga sebentar. Pandang Khairul dengan tanda soal. “Sayang?” Terkejut bila mendengar Khairul memanggilnya sebegitu. Yang lain memerhati Riana berkata balas. Pandangan ke arah Khairul mati. “Err.. ya.” angguk Riana lambat buat yang lain tersenyum suka. Mengeyakan kata-kata Khairul itu. Tidak sangka Khairul berkata benar mengenai perkenalan mereka berdua itu. Sangkaannya Khairul mungkin menipu, ternyata jauh sekali.
            “Waa.. macam drama pulak kan cinta korang dua ni, Riana?” kata Dira memandang Riana. Nada mengusik
Mereka yang mendengar menganggukkan kepala. Seolah-olah masih memikirkan kesahihan cerita di bibir Khairul itu.
“Jadi apa yang menyebabkan awak jatuh cinta pada Riana, kawan kita orang ni?” tanya Laila lagak sengaja. Mata jegil ke arah Riana seketika.
            Riana kalih pandang Laila. “Laila..” bisik Riana. Menjegil mata kembali.
            “Saya jatuh cinta dengan Riana sebab bagi saya, dia wanita lain daripada yang lain. Senyuman dia boleh buat saya tersenyum sendiri. Mata dan hati saya sentiasa rasa tenang setiap kali saya memandang dia. Saya gembira dan rasa bahagia kerana dapat bertemu dan berkawan dengan dia.” Khairul meluahkan rasa di hati. Meluahkan rasa kenapa Riana menjadi pilihan hatinya. Bibir tersenyum indah saat dia mengungkapkan kata-kata itu. Tidak sangka dia mampu berbuat begitu ketika dan saat ini.
            Riana pandang Khairul lagi. Tersentuh seketika hatinya melihat lelaki itu ketika ini. Entah mengapa!
            Laila tersenyum gembira. “Alahai.. sweetnya..” Laila terpandang pula dua orang pelayan lelaki dan wanita yang datang menghampiri meja mereka. “Eh! Tu.. makanan kita semua dah sampai pun. Kena dengan timing, kan?” kata Laila membuatkan permainan tadi tertamat dengan sendirinya.
Kedua-dua pelayan itu mula menghidangkan makanan yang dipesan mereka berlapan. Masing-masing menikmati hidangan itu dengan penuh berselera bersama pasangan masing-masing. Kecuali Riana! Ya, hanya dia sahaja yang lagak hilang selera sejak dari tadi. Hatinya pula jadi tidak tenang. Takut dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Risau jika benar. Pada masa sama terpaksa meneruskan lakonannya bersama dengan Khairul. Oh tidak!

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

KERETA dipandu pulang. Sejak dari tadi Riana hanya mendiamkan diri. Entah kenapa dirinya dihimpit dengan rasa segan untuk mengeluarkan kata-kata. Tidak seperti kebiasaannya. Pasti ada saja yang ingin dikongsikan bersama dengan Khairul jika dirinya belum menjejakkan kaki di depan pagar rumahnya.
            “Kenapa awak diam aje?” tanya Khairul setelah hampir lima minit dia memandu kereta keluar dari hotel. Tangan masih kekal mengawal stereng kereta. Dia sendiri perasan Riana seakan membisu sahaja lagaknya.
            “Huh?” Riana terpinga seketika. Pandang Khairul. “Tak ada apa-apa.” geleng Riana tersenyum kelat buat Khairul memandang ke hadapan semula. Terus fokus pada pemanduannya. “Err.. Khairul..” panggil Riana buat Khairul kalih pandang seketika ke arahnya semula.
“Ya?” sahut Khairul pantas. Menanti Riana meneruskan kata-kata.
“Kalau saya tanya awak ni, awak jangan fikir bukan-bukan, ya?” kata Riana. Nada terselit risau. Risau jika lelaki itu tersalah anggap dengan kata-katanya nanti.
“Apa dia? Tanya aje la..” soal Khairul. Bibir hanya tersenyum manis.
Riana terdiam seketika. Dia pandang Khairul penuh. “Tadi masa awak cerita apa yang kawan saya tanya tu, betul ke?” Riana memberanikan diri untuk bertanya juga. Nada takut-takut. Mendatar habis.
Khairul mengangguk kepala beberapa kali. “Betul la. Kan kita jumpa kat kedai buku? then saya pun tinggalkan sekeping nota yang ada nombor phone saya kat awak. Awak call saya dan kita terus decide untuk jumpa dan lepas tu kita mula jadi kawan, kan?” balas Khairul dengan bersahaja panjang lebar. Bibir pula hanya tersenyum mesra. Mengingati jelas saat itu kembali.
Riana segera menggeleng kepala. “Tak. Bukan yang tu. Maksud saya, yang awak dah mula jatuh hati pada saya tu..” tambah Riana lagi. Nada katanya menjadi lambat. Risau jika Khairul berfikiran yang bukan-bukan terhadap dirinya nanti dan juga risau jika itu adalah benar. Pasti hatinya ditimpa rasa bersalah terhadap lelaki itu selepas ini. Pasti sangat!
“Oh yang tu..” Khairul lambat membalas. Lagak berfikir buat Riana ternanti-nanti. “Tak adalah. Saya tipu aje..” geleng Khairul. Bibir tersenyum kelat pula.
Riana segera meletakkan tangan ke dada. Mengurut perlahan. “Fuhh..” Nafas pula dilepas perlahan bersama bunyi di mulut. Lagak lega. “Awak memang pandai berlakon la Khairul tadi. Pandai sangat! Kalaulah nama awak ada pada senarai Anugerah Bintang Popular untuk tahun ini la, kan? Saya orang pertama yang beli surat khabar dan vote nama awak. Serius.” kata Riana bersungguh-sungguh sambil menepuk tangannya beberapa kali. Ibu jari sempat diangkat lagak kagum dengan lakonan Khairul sebentar tadi. Benar-benar menjadi!
Khairul hanya tersenyum sendiri. Senyum tawar. “Riana, kalaulah awak tahu yang tadi itu luahan hati saya yang sebenar, bukan hanya lakonan. Mahukah awak terima cinta saya, Riana?” bisik hati kecil Khairul. Dia pandang ke hadapan semula. Membuang jauh fikirannya itu. Hati seakan makin terseksa.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

‘TUT.. Tut..’ Interkom Khairul berbunyi. Menyedarkan dia yang sedang asyik menyemak fail kerjanya. Lagak sedang sibuk.
            “Ya Suzy?” Khairul menekan punat interkomnya sebentar. Tangan kembali menulis dan  mata menyemak kertas.
            “Encik Faiz, Encik Hairie Azmin daripada Syarikat Gema Holding ingin berjumpa dengan Encik Faiz sekarang.”
            Tangan Khairul berhenti menulis apabila nama lelaki itu jelas disebut setiausahanya. Sangat jelas! “Hmm.. baik Suzy, bawa dia masuk.” arah Khairul dengan nada serius.
            “Baik Encik Faiz.” jawab Suzy faham. Talian interkom dimatikan.
            “Kenapa dia datang sini? Nak marah aku pasal jumpa Riana ke? tapi kami just kawan.” Khairul pantas tertanya-tanya sendiri. Cuba meneka tujuan kedatangan lelaki itu ke syarikatnya. Mungkin buat pertama kalinya.
            ‘Tuk! Tuk!’ Ketukan pintu kedengaran setelah beberapa saat dia menanti dengan teka-teki sendiri. Khairul pandang tepat ke arah pintu itu. “Masuk!” arah Khairul mengeyakan pintu biliknya dibuka. Pintu ditolak dari luar. Kelihatan Hairie berdiri bersebelahan Suzy. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam bilik itu. Khairul dan Hairie saling berpandangan antara satu sama lain.
            “Terima kasih Suzy.” ucap Khairul sebelum Suzy melangkah pergi meninggalkan mereka berdua di dalam bilik itu. Dia pandang ke arah Hairie pula yang lagak sedang berdiri tegak di hadapan meja kerjanya. “Ya Encik Hairie Azmin, selamat datang ke Syarikat Suria Trading. Jemput duduk.” kata Khairul tersenyum bangun dan menghulurkan tangan untuk berjabat mesra sebagai tanda perkenalan pertamanya tetapi sayang sekali, tidak diendahkan Hairie. Lelaki itu hanya berjalan terus ke bahagian tingkap jendela biliknya. Sempat tersenyum sinis memandang sekeliling bilik itu. Lagak seakan menyindir.
            Khairul terpaku. Tangannya perlahan-lahan diturunkan. Segala persoalan mula muncul lagi di dalam mindanya tentang ketibaan lelaki itu di syarikat milik arwah ayahnya ini.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“SUZY, tu siapa yang ada kat dalam bilik bos kita tu?” tanya Johan yang kebetulan lalu di kawasan itu. Dia seakan melihat ada tetamu yang tak diundang masuk ke dalam bilik Khairul sebentar tadi.
            “Kau apa kisah?” Suzy membalas lagak selamba. Kembali menyambung kerjanya.
            “Mestilah aku kisah, Suzy. Bos kan bestfriend aku. Mana la tahu, itu orang jahat ke.. Apa-apa hal nanti, aku jugak yang susah tau?” balas Johan berlagak hero di hadapan wanita itu.
            “Ya la tu Encik Johan Johari. Itu Encik Hairie Azmin, dari Syarikat Gema Holding.” Suzy mencebirkan bibirnya sambil menyambung kembali kerjanya yang terhenti. Lagak malas melayan kerenah lelaki itu.
            “Encik Hairie Azmin? Dia nak apa datang sini?” kata Johan mula serius bertanya bila Suzy menyebut nama lelaki itu dengan jelas.
            Suzy berfikir sejenak. Bibir dicebir. “Entah, dia nak jumpa dengan Encik Faiz la kut. Kau tanya la Encik Faiz nanti. Tapi kan, dia handsome tau, Jo?” kata Suzy tiba-tiba tersenyum suka tatkala perihal Hairie disebutnya.
            “Eh! Mamat macam tu kau kata handsome, Suzy? Please la.. aku lagi handsome tau, cuma kau tu aje tak perasan.” Johan lagak memuji dirinya. Tali leher di kolar baju sempat dikemaskan sedikit kedudukannya.
            Suzy mencebir bibirnya sekali lagi. “Erk eleh perasan! Dah la Jo, aku ada banyak kerja nak kena buat ni. Kau ni.. tak ada kerja ke? Pergi la buat kerja kau tu, asyik nak menyibuk aje kerja kau, kan?” rungut Suzy sambil menyelak failnya kasar. Bibir pula digigit lagak geram.
            “Ya la ya la.” Johan segera beredar dari meja Suzy. Matanya masih mengintai-intai ke arah bilik Khairul, memikirkan perkara yang mungkin dibincangkan oleh mereka berdua di dalam bilik itu. Penasaran sungguh!

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“HAH! Surat perjanjian? Apa maksud kau ni?” Khairul tersentak seketika. Hairie Azmin, lelaki yang pada mulanya disambut dengan rasa hormat dan sopan sebentar tadi tetapi kini tidak lagi. Bahasa formal antara mereka berdua telah pun bertukar menjadi bahasa tidak formal. Dengan sendirinya!
            “Yup. Surat perjanjian antara aku dan kau, dan taruhannya.. Riana Akma.” balas Hairie sekilas memandang Khairul yang masih setia berdiri di sisi mejanya itu. Menyebut jelas nama Riana. “Aku tahu, apa perasaan kau pada Riana dan tentu kau nak tahu jugak, kan? Apa perasaan aku pada dia..” sambung Hairie yang kini melangkah menuju ke kerusi di hadapan meja Khairul. Melabuhkan pinggulnya dengan sesuka hati. Membiarkan Khairul yang masih berdiri memandangnya tajam. “Aku? tak sukakan dia. Cinta? jauh sekali.” kata Hairie dengan lagak sombongnya.
            “Habis, kenapa kau cakap yang kau suka dia? Kau cinta dia?” Bertalu-talu pertanyaan itu keluar dari mulut Khairul. Lagak sepucuk pistol memuntahkan pelurunya dua tiga kali. Menginginkan jawapan dari mulut lelaki yang hanya dikenali melalui wanita idaman hatinya itu.
            “Because I have a plan.” jawab Hairie dengan lancar. Wajah masih selamba.                     
            “What?” Khairul kerut dahi. Makin tidak mengerti dengan kata-kata sinis lelaki di hadapannya itu. Seakan cuba bermain kata.
            “Kau tentu tahu, kan? Projek Mega Tiga, Syarikat Delima mungkin bakal jatuh kat tangan syarikat kau ni tak lama lagi..” ujar Hairie semakin memandang tepat ke arah Khairul. Penuh dengan rasa dendam.
            “Jadi apa kaitannya dengan Riana?” balas Khairul pantas. Kasar.
            “Riana Akma? Banyak kaitan dia. Bagi aku, dia hanya umpan yang telah siap dipasang di mata kail dan hanya tunggu masa untuk diberi makan pada ikan yang bijak macam kau ni aje.” Hairie menunding jari ke arah Khairul yang seakan tidak percaya dengan apa yang diungkapkan dari mulutnya itu. Khairul masih tidak faham apa yang cuba diperkatakan oleh Hairie itu. Masih lagak menanti penjelasan penuh lelaki itu. “Macam ini la Encik Khairul Faiz, ya? Tak perlulah aku nak apa orang kata tu, berkias-kiasan dengan kau.” Hairie berhenti kata sebentar. Dia mengeluarkan sehelai kertas dari briefcase berwarna hitam yang dibawanya bersama lalu diletakkan di atas meja. Ditolak ke hadapan Khairul. “Ini surat perjanjian. Aku hanya nak Syarikat Suria Trading tarik diri dari bertanding untuk projek tu. Senang aje, kau just sign kat sini.. and back off from that’s competition.” sambung kata Hairie sambil tunding jari ke arah satu ruangan kecil di dalam kertas itu.
            “Kalau aku tak nak?” Khairul bersahaja membalas sekilas memandang surat perjanjian itu.
Hairie tersenyum sinis seketika. “Good question! Kalau kau tak nak? Ermm.. apa aku boleh buat? Dah kau tak nak kan? Riana terpaksalah aku…”
            “Kenapa dengan Riana? Apa kau nak buat dengan dia, hah?!” celah Khairul dengan pantas. Seakan Hairie sengaja berbicara lambat mengenai tindakannya itu jika dia tidak melakukan apa yang dipinta. Hati terpalit nada geram. Seakan ingin melempang dan membelasah lelaki di hadapannya itu di saat ini juga.
            “Chill bro.. chill.. Aku bukan nak bunuh dia. Don’t worry. I’m not desperate to doing something crazy like that. Ermm.. aku hanya akan mungkin, mungkin seksa perasaan atau hati dia ke.. Kau tentu tahukan yang Riana Akma tu cinta gila kat aku sekarang ni? Tak kan dia tak pernah cerita kat kau pasal aku kut?” balas Hairie dengan tersenyum sinis. Bermain pula dengan kata-katanya. Cukup provokasi!
“Entah la awak. Hairie tu kan.. macam acuh tak acuh aje dengan saya. Dia macam ada something yang tak kena la. Kadang dia okey dengan saya dan kadang tu pulak, dia macam buat tak tahu aje. Saya pun tak tahu nak cakap apa lagi sebenarnya. Kami ni ibarat macam bercinta pun ada, macam tak bercinta pun ada jugak. Tapi apa yang boleh saya cakap la kan, saya memang dah betul-betul sayangkan dia la awak. Saya takut kalau saya kehilangan dia.”
Kata-kata Riana dahulu membuat Khairul berfikir sejenak dan pandang Hairie tajam. “Baik! Aku akan tarik diri, tapi apa jaminan kau?” tanya Khairul lagak setuju tetapi ingin juga tahu pulangan dan jaminannya.
            “Ermm.. jaminan aku? Riana akan bahagia selama bersama aku. Lepas aku dapat projek tu, aku akan lepaskan dia balik pada kau. Bukan lama mana pun kan, just tinggal lagi dua bulan aje projek tu nak bertukar milik. Lagi pun kau jangan risau. Selama dua bulan ni, kau boleh aje kalau nak jumpa Riana kat belakang aku. Aku tak kisah pun. Sebab lepas dua bulan, aku bagi la dia balik pada kau dengan rasminya. Lagi pun apalah sangat projek biasa macam ni, kat syarikat besar ni, kan?” balas Hairie terselit sindiran sambil memerhati sekeliling bilik itu. Lagak sungguh angkuh!
            Khairul mendengar penuh teliti kata-kata jaminan Hairie. “Aku boleh sign surat ni tapi aku nak kau janji dengan aku satu perkara.” Khairul mengangkat satu jari telunjuknya. Mata pandang tepat ke arah lelaki itu. Dia benar-benar serius.
            “Okay. No problem. Anything, apa dia?” Pantas Hairie bertanya. Lagak sudah tidak sabar lagi menanti surat itu ditandatangani.
            “Tak. Cuma satu aje. Kau kena jaga Riana dengan baik selama dua bulan ni, jangan sakitkan hati dia dan paling penting, jangan biarkan air mata dia jatuh walaupun setitis. Boleh kau janji?” pinta Khairul serius. Mata dikerling tajam ke arah Hairie.
            “Ala.. that’s small matter, bro. Okey aku janji!” lafaz Hairie bersahaja.
            “Aku pegang janji kau.” Khairul mula duduk di kerusinya semula. Sebatang pen ditariknya perlahan. Mata melihat kembali surat perjanjian itu dengan penuh teliti. Hati membaca laju ayat-ayat yang tertulis. Tertulis nama penuh dia, Hairie dan Riana di dalam isi kandungannya. “Riana, maafkan saya..” detus pantas hati Khairul sambil menurunkan tandatangannya di atas surat perjanjian itu.
            Hairie pula terukir senyuman di bibir. Rancangannya satu persatu mula berjalan seperti yang dirancang. Kertas yang ditandatangani Khairul ditariknya pantas. Pandang sekilas. “Jangan risau, Riana akan sentiasa selamat dengan aku, dan aku akan ingat janji aku pada kau tu. Okey.. Encik Khairul Faiz Datuk Kamil. Aku gerak dulu. Thanks for this..” Hairie tersenyum sinis sambil mengambil kembali surat perjanjian tersebut. Dia segera bangun dan melangkah keluar meninggalkan Khairul keseorangan yang lagak sedang melayan perasaan berkecamuk seperti dihempap batu-bata itu. Sungguh sakit!

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

DARI jauh Johan hanya melihat Hairie berjalan keluar meninggalkan bilik Khairul dengan lagak senang hati. Dia lantas memasuki bilik kawannya itu. Kelihatan Khairul sedang menunduk berbantalkan kedua-dua belah lengannya menyentuh meja. Menutup mukanya. Seakan kecewa.
            “Faiz, apa hal mamat Gema Holding tu datang sini tadi?” tanya Johan ingin benar tahu.
            “Keluar Jo, aku tak ada mood nak cakap sekarang ni.” pinta Khairul dengan nada perlahan tanpa melihat Johan. Tidak mahu kawannya itu melihat wajahnya yang sedang ditimpa rasa duka ini.
            Johan terkejut seketika dengan jawapan balas Khairul itu. “Eh! Kenapa dengan kau ni, Faiz? Apa yang dah berlaku, bro?” Johan masih bertanya. Dia jadi makin risau. Dia seakan berani pula ingin melangkah menghampiri meja lelaki itu.
            “Aku kata keluar! Keluar la!” tengking Khairul dengan nada marah sambil bangun menunding jarinya ke arah pintu bilik. Dia tidak perlukan teman berbual pada saat ini kerana hatinya sendiri masih belum puas dipujuk. Serius!
            “Okay. Rileks okay.. Aku keluar.. aku keluar.” Johan akur dengan permintaan Khairul. Dia faham dengan khendak sahabatnya itu yang mahu ruang dan masa. Johan segera melangkah keluar daripada bilik pejabat Khairul. Cuba untuk memberi ruang itu.
~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~
“SUZY, batalkan semua temu janji saya hari ini, okey?” arah Khairul sekilas memandang Suzy selepas hampir 10 minit dia menyepikan diri di dalam biliknya itu.
            “Baik Encik Faiz.” angguk Suzy faham. Sedikit aneh dengan lagak tergesa-gesa majikannya itu. Tidak berani pula ingin menyoal kenapa dan mengapa.
            Khairul masih lagi menjadi perhatian Johan. Sejak dari tadi. Dia jadi tidak senang duduk. Segera menghampiri Suzy apabila Khairul melangkah pergi. “Suzy, bos pergi mana tu?” tanya Johan serius. Mata masih mengintai kelibat Khairul yang menanti di depan muka pintu lif.
            “Entah. Dia suruh aku batalkan semua temu janji dia hari ini.” kata Suzy tanpa memandang Johan sambil tangannya menulis sesuatu di atas buku nota jadual kerja majikannya itu.
            Johan melepaskan keluhannya. “Faiz.. Faiz..” geleng Johan sendiri. Mata memandang bayangan Khairul menghilang di syarikat itu. Risau dengan gelagat teman baiknya itu.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

MAAFKANLAH ku tak bisa hidup. Tanpa kamu. Fahamilah ku tak mampu terus. Tanpa kamu. Bagaimanaku nanti.. Bila tiada menganti.. Yang ku harap hanya kamu. Saja..’ Suara nyanyian Faizal Tahir, Hanyut berkumandang dari telefon pintar Khairul yang terletak di atas meja tulisnya. Memecah kesunyian di dalam bilik tidurnya itu untuk seketika waktu. Lagu itu terselit juga sedikit kisah cintanya. Seakan sedang menghanyutkan kebahagiaannya sebelum ini.
            Khairul merapati meja di sisi katilnya. Melihat skrin telefon pintarnya yang tertera nama ‘Riana Akma’ yang sedang menjerit minta diangkat. Wajahnya kembali sayu.
            “Chill bro.. chill.. Aku bukan nak bunuh dia. Don’t worry. I’m not desperate to doing something crazy like that. Ermm.. aku hanya akan mungkin, mungkin seksa perasaan atau hati dia ke.. Kau tentu tahukan yang Riana Akma tu cinta gila kat aku sekarang ni? Tak kan dia tak pernah cerita kat kau pasal aku kut.”
“Baik! Aku akan tarik diri, tapi apa jaminan kau?”
            “Ermm.. jaminan aku? Riana akan bahagia selama bersama aku. Lepas aku dapat projek tu, aku akan lepaskan dia balik pada kau. Bukan lama mana pun kan, just tinggal lagi dua bulan aje projek tu nak bertukar milik. Lagi pun kau jangan risau. Selama dua bulan ni, kau boleh aje kalau nak jumpa Riana kat belakang aku. Aku tak kisah pun. Sebab lepas dua bulan, aku bagi la dia balik pada kau dengan rasminya. Lagi pun apalah sangat projek biasa macam ni, kat syarikat besar ni, kan?”
            “Maafkan saya, Riana. Maafkan saya..” detik hati kecil Khairul. Perasaan bersalah mula menyelubungi dirinya. Dia hanya terduduk bersandarkan birai katil. Memandang telefon pintar yang masih tidak jemu berdering minta diangkat. Tanpa dia sedar, setitis air mata mengalir perlahan di pipinya. Seakan terseksa dirasa di jiwanya.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“MACAM mana? Dapat tak?” tanya Eza yang dari tadi hanya melihat kelakuan Riana yang berada di hadapannya. Mereka berdua berada di salah sebuah restoran makanan yang sering dikunjungi bersama. Makanan telah siap dihidangkan di atas meja dan sedia dinikmati bersama.
            Riana menggelengkan kepala. “Tak angkat. Entah la, ini dah masuk kali kelima dah aku call ni. Dia tak angkat pun..” keluh Riana yang masih tidak berhenti mencuba menelefon Khairul. Beberapa kali papan kekunci telefon bimbitnya ditekan.
            “Ala biarlah. Dia busy kut.” balas Eza sambil menyudu bihun goreng masuk ke dalam mulutnya. Mengunyah perlahan.
            “Busy? Tak kan kut. Sebab sebelum ni kalau aku call, tak pernah pula dia tak angkat. Risau la aku beb.” ujar Riana menafikan kata Eza dengan riak wajah kegelisahannya. Kepala sempat digeleng perlahan.
            “Isy kau ni Riana.. Macam la Khairul tu boyfriend kau, nak risau-risau pulak.” balas Eza lagak tidak puas hati dengan kata-kata Riana itu. Mulut sempat dicebirkan.
            Riana masih menanti. Dia mencebirkan bibir. “Hmm.. mungkin dia ada hal kut.” kata Riana sekadar ingin menyedapkan hatinya sendiri sambil meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Menyambung kembali menikmati makanannya yang hampir sejuk itu.
            Eza terdiam seketika. Kepala lagak ligat berfikir. “Ermm.. aku pelik la dengan kau ni, Riana. Kenapa erk kau nak sangat kenalkan dia kat aku?” tanya Eza mula bernada sangsi. Mulutnya masih mengunyah bihun goreng.
            “Saja.” jawab Riana sepatah. Menghirup pula air minumannya.
            “Erm.. hari itu masa birthday adik kau kan dah kenalkan dia kat aku? Ermm.. Hairie? Bila pulak kau nak kenalkan dia kat aku?” tanya Eza teringat sebentar akan teman lelaki kawan baiknya itu. Masih belum bersua muka seperti yang dipinta.
            “Hairie? Ermm.. nanti-nanti la. Dia pun bukan kau tak tahu, busy aje selalu.” balas Riana sekilas memandang Eza. Seakan malas untuk berbicara mengenai lelaki itu.
            “Ala.. tak kan la hujung minggu pun busy jugak kut.” kata Eza tidak puas hati dengan alasan itu. Tidak relevan!
            “Entah la Eza. First tu dia okey aje dengan aku, tapi dua tiga hari ini.. dia macam busy aje. Ermm.. aku rasa maybe pasal dia buzy handle projek besar syarikat tempat kerja aku tu kut.” balas Riana lagi dengan panjang lebar. Membuat ulasan berkenaan andaiannya itu.
            “Oh..” angguk Eza sekadar mengerti urusan yang dijalankan oleh syarikat tempat kerja sahabatnya itu.
            “So.. students kau macam mana?” tanya Riana ingin tahu. Lama juga Eza tidak menceritakan soal pelajar yang berada di bawah bimbingannya. Jika tidak dulu, pasti ada sahaja cerita di sebalik kerenah budak-budak sekolah yang tidak mendengar kata dan melawan habis.
            “Student aku macam tu la. Tapi sekarang tak banyak dah buat hal. Takut kena gantung sekolah la kut.” balas Eza bersahaja. Berpengalaman selama lima tahun di dalam bidang pengajaran cukup mengajar dia erti kecekalan seorang guru.
            “Ya ke? Baguslah. By the way, kau ada kata kat aku, yang kau nak kenalkan aku pada teman lelaki kau, kan? Siapa dia?” tanya Riana ubah topik lagi bila soal teman lelaki Eza terlintas di dalam benak fikirannya. Tiba-tiba.
“Faizul.” jawab Eza sepatah. Bibir tersenyum rapi.
“Faizul?” ulang kata Riana. Pertama kali dengar nama itu disebut di bibir Eza.
“Hmm.. itu la aku ada ajak dia datang sini tadi. Tapi dia ada hal penting pulak kena handle. Family matter.”
Oh I see.. dia kerja apa?” tanya Riana lagi sekadar ingin tahu.
“Kerja sebagai penyelia kat kilang papan biasa aje. Tapi kan Riana, aku happy gila dengan dia. Kau tau, dialah lelaki pertama yang faham aku. Aku tak pernah rasa semua tu masa aku couple dengan Syukur dulu. Tak sama langsung beb. Seriusly!” Panjang lebar Eza bercerita. Lagak benar-benar gembira dengan pertemuannya bersama lelaki bernama Faizul itu.
“Baguslah kalau macam tu..” angguk Riana lega mendengar kata-kata itu. Tahu benar mengenai bekas teman lelaki Eza sebelum ini. Dia juga risau jika Eza bertemu lagi dengan lelaki yang hanya tahu mempermainkan perasaannya sahaja. Sesungguhnya dia tahu Eza seorang wanita yang amat setia dan akan mencintai seorang lelaki itu sepenuh hatinya.
“Ermm.. next time, ya? Aku janji nanti kalau dia free,. aku kenalkan dia kat kau ok..”
            Mereka meneruskan perbualan sambil menikmati hidangan malam yang menyelerakan. Rizman tidak dapat bersama kerana ingin berada di rumah mengulang kaji pelajarannya kerana hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi peperiksaan yang dinantinya bakal menjelma.

~><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><.--.><~

“KAK, minggu depan kan nak tak kalau kita ajak Abang Khairul pergi tengok wayang cerita ni? Baru keluar panggung ni.” kata Rizman teruja. Menunding jari ke arah peti televisyen yang sedang menayangkan sebuah iklan berbentuk filem. Filem aksi negara barat.
            Riana memandang seketika ke arah iklan tersebut. “Tengok la nanti.. akak tanya Abang Khairul, ya?” angguk Riana tersenyum mengerti. Sekilas memandang iklan itu.
            “Okey.” balas Rizman. Mengangguk mengerti. Kembali pandang ke kaca televisyen.
Riana berfikir sejenak. Telefon bimbitnya di atas meja tamu di tarik pantas.
            ‘Kalau awk free, awk call sy balik. Bye.^^’ (Riana)

Mesej ditaip dan dihantar ke nombor telefon Khairul. Berharap lelaki itu dapat membalasnya. Riana binggung dengan sikap lelaki tu sejak kebelakangan ini. Seakan ada sesuatu yang tidak kena.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SeLaMaT DaTanG SeMua~
Harap kOrang sudi baca nOvel kedua ciptaan ima ni. And JANGAN LUPA KOMEN ya.. ~_0

(Bagi kOrang yang Tak Ada blog, boleh pilih NAme/URL ( URL tu ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER kOrang) untuk beri komen pd blOg ima ni k. Terima Kasih~

Jumpa lagi ya~

Karya Nukilan ,

Karya Nukilan ,

~Memory Blog~

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Follower ima ~